analisisBERITA: Serangga sebagai makanan - apakah kelebihan & faktor kesihatannya?
SINGAPURA: Agensi Makanan Singapura (SFA) baru-baru ini membenarkan import 16 jenis serangga sebagai makanan, termasuk pelbagai jenis cengkerik, belalang, ulat dan lebah.
Bagi masyarakat Melayu, memakan serangga semesti suatu perkara agak aneh buat masa ini.
Tentu berita tersebut menimbulkan pelbagai pertanyaan termasuk mengapa hidangan serangga kini dibenarkan sebagai makanan? Apakah kelebihan serangga sebagai makanan? Bagaimana soal alahan atau kesihatan berkaitan serangga.
Walaupun budaya memakan serangga masih asing bagi Singapura, ia perkara biasa bagi banyak negara lain seperti China dan Mexico.
"Cara mereka makan makanan serangga ini seperti macam makanan Melayu - tahu tak ikan bilis sambal? Sama sepertinya cuma bukan ikan bilis, ia di diletakkan serangga belalang. Rasanya semua sama. Sambal. Ada limau nipis. Itulah antara salah satu caranya orang Mexico memakan serangga.
"Saya pernah rasa juga serangga seperti belalang itu dan rasanya sedap," kongsi pakar pemakanan dan pembimbing kesihatan dari Chi Longevity, Amirah Rahmat.
BOLEH BANTU KAWAL PARAS GULA & LIPID
Dari segi saintifik, selain kaya dengan protein, serangga-serangga tersebut juga mengandungi pelbagai mineral termasuk zat besi, zink dan omega-3. Malah, ada juga ciri perubatan.
"Kandungan dalam serangga tersebut dapat mengawal kadar ataupun paras lipid dan juga paras gula. Jadi dapat membantu seseorang itu daripada menghadapi kolestrol tinggi ataupun kencing manis. Juga, (ia) mempunyai ciri antiradang ataupun antioksidan. Jadi boleh dapat kurangkan radang dalam badan," jelas Cik Amirah.
Sejak Agensi Makanan Singapura (SFA) memberi lampu hijau untuk menjadikan serangga sebagai makanan pada Isnin lalu (8 Jul), beberapa restoran dan pemain industri yang mengimport serangga sudahpun menyatakan minat untuk menawarkan hidangan atau produk serangga.

Orang ramai boleh membelinya di pasar raya atau menjamunya di restoran seawal pertengahan bulan ini.
Namun, sejauh mana masyarakat Singapura sudah bersedia untuk menjamu makanan berintikan serangga?
"Saya rasa (memakan) serangga bukanlah salah satu budaya (pemakanan) masyarakat kita ataupun masyarakat yang lain. Ia akan susah untuk diterima oleh golongan masyarakat Melayu ataupun masyarakat yang lain. Geli. Bentuknya lain, tidak ada isi. Macam mana nak makan kalau caranya sama dengan bila dia hidup?," ujar Cik Amirah sambil menambah bahawa cara hidangan serangga disediakan penting bagi membangkitkan selera orang ramai.
"Maksudnya bukan saja secara penuh atau seluruh serangga tetapi ia boleh juga terdapat dalam bentuk serbuk. Kalau cara dihidangkan sama dengan cara apa yang kita sudah dibiasakan, jamuan yang kita selalu makan ataupun lebih kreatif menghidangkannya, mungkin orang akan lebih terbuka untuk memakan serangga tersebut."
LANGKAH WASPADA BERHUBUNG IMPORT & PENJUALAN SERANGGA
Dalam satu surat pekeliling yang dilihat Mediacorp, hampir 100 produk serangga boleh diimport bagi tujuan makan.
Ini termasuk keropok, manisan seperti cokelat, pasta dan malah juga minyak serangga.
SFA menyatakan syarikat-syarikat yang ingin menjual serangga diproses perlu melabel produk itu dengan betul.
Pihaknya juga akan menjalankan pensampelan bagi memeriksa keselamatan makanan tersebut.
Sekalipun dinilai sebagai selamat, hakikatnya, serangga suatu makanan baharu di Singapura.
FAKTOR ALAHAN YANG PERLU DIPERTIMBANGKAN?
Jadi, adakah sebarang langkah waspada yang perlu diambil apabila memakannya? Bagaimana pula dengan faktor alahan dan sebagainya?
"Tidak ada kajian yang menunjukkan seseorang itu ada alahan ataupun tidak boleh makan kerana alergi terhadap serangga. Ini juga sesuatu bidang penting yang harus diteliti bagi penyelidikan kerana ia sesuatu yang baharu di Singapura. Saya rasa kajian harus lebih kuat tentang alergi. Buat masa sekarang ini, mungkin belum lagi dapat tahu secara luasnya alahan apa ataupun alergi yang seseorang itu ada yang tidak dapat (membuatkan dia) memakan serangga.
"Jadi, saya rasa buat sementara, mungkin lebih bagus untuk kita memakan sesuatu yang sudah disediakan di restoran ataupun di kedai makan kerana mereka sudah tahu macam mana untuk menghidangkan serangga tersebut," nasihat Cik Amirah.
Buat masa ini, SFA menyatakan sebarang jenis serangga di luar senarai diluluskan itu perlu menjalani penilaian bagi memastikan ia selamat dimakan sebelum menerima kebenaran untuk diimport, diternak, diproses mahupun dijual.
SUMBER ALTERNATIF PROTEIN LEBIH MAMPAN
Serangga disifatkan oleh Pertubuhan Makanan dan Pertanian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sebagai protein alternatif yang lebih mampan berbanding daging.
Ini kerana ia melepaskan gas rumah hijau lebih rendah apabila dibiak.
Dalam erti kata lain, jelas Cik Amirah, nisbah penukaran makanan untuk serangga adalah rendah.
Bermakna, serangga tidak memerlukan jumlah makanan yang banyak untuk tumbuh menjadi sumber protein buat manusia atau haiwan.
"Tapi kalau untuk sumber protein yang lain seperti daging lembu misalnya, lagi banyak sumber (diperlukan) untuk kasi makan daging kepada lembu tersebut untuk mendapatkan sumber protein untuk dimakan. Jadi itu adalah salah satunya. Kalau kita nak cakap tentang iklim, perubahan alam sekitar, ini adalah caranya," terang Cik Amirah.
Kini, Singapura menyertai Kesatuan Eropah (EU) serta negara-negara seperti Australia, New Zealand, Korea Selatan dan Thailand yang turut membenarkan pengambilan spesies serangga tertentu atas dasar kandungan nutrisinya.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.