analisisBERITA: Semakan gaji asatizah masjid & madrasah dialu-alukan. Bagaimana pula nasib yang selainnya?
Lebih 80 peratus asatizah tempatan sudah meraih gaji dalam lingkungan Garis Panduan Gaju Umum (CSG), dedah Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam Masagos Zulkifli di Parlimen baru-baru ini.
SINGAPURA: Lebih 80 peratus asatizah tempatan sudah meraih gaji dalam lingkungan Garis Panduan Gaju Umum (CSG), dedah Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam Masagos Zulkifli di Parlimen baru-baru ini.
Memastikan gaji mereka lebih sejajar dengan penanda aras nasional adalah bagi mengiktiraf peranan dan sumbangan asatizah.
Naib Presiden PERGAS, Ustazah Kalthom Muhammad Isa, berkongsi reaksi mengenai perkembangan positif tersebut bersama analisisBERITA.
"Semasa diungkapkan di Parlimen tentang gaji para asatizah, kita memang mengalu-alukanlah. Sebenarnya, benda-benda yang macam gini sudah kita fikirkan sewaktu COFA dulu. Saya pun di dalamnya untuk membincangkan apa peluang-peluang yang asatizah ada dari segi bidang-bidang kerja.Maka kami pun memikirkan kalau kita hendak adakan kerja, bagaimana tangga gaji?"
Tambah Ustazah Kalthom, lebih-lebih lagi bagi asatizah muda yang berhadapan dengan lebih banyak komitmen dan tanggungjawab.
"Di situ ada cabaran asatizah kerana kemudian lepas itu mereka adakan PCICS. Bermakna selepas asatizah balik dari luar negara, dia kena belajar lagi setahun. Di MUIS, mereka buat satu program lagi setahun. Jadi kita kena fikirkan, mereka sudah banyak berkorban, jadi macam mana tangga gaji?"
Semakan gaji asatizah - bagaimana nasib pendakwah bebas?

Kini gaji 80 peratus asatizah secara purata sudah meningkat antara lima hingga 12 peratus.
Namun, ianya terbatas kepada mereka yang bertugas di masjid dan madrasah.
Bagaimana pula dengan asatizah lainnya, contohnya para pendakwah bebas atau 'freelance' seperti Ustazah Kalthom sendiri?
Kita buat kerja-kerja lain lagi, banyaklah. Cuma kena rajin. Masjid-masjid untuk pembimbing kuliah, gaji pun ada setengah mereka sudah naikkan habuan dekat masjid. Contoh, Ghufran pada tahun 2019 dia S$70 dollar dikasi elaun. 2010 dinaikkan S$100, tahun 2025 dia dinaikkan S$130 elaun untuk satu kali mengajar.Begitulah tangga gaji yang mereka pun naikkan sedikit demi sedikit untuk asatizah yang mengajar di masjid. Contohlah, yang saya boleh berikan. Maka memerlukan kita rajin untuk mempelbagaikan usaha."
Disebabkan jawatan sepenuh masa di madrasah dan masjid agak terbatas, ramai asatizah yang melakukan pelbagai tugas sampingan bagi memenuhi keperluan kehidupan.
Sebahagian juga tidak ingin terikat dan lebih memilih untuk bergerak sendiri, terutama di kalangan generasi muda.
"Ramai sekarang keluar sebagai 'freelance', mereka buat syarikat sendiri. Ada juga mereka pelbagaikan dengan membawa orang pergi haji dan sebagainya. Mestilah kena buat seperti itu. Kita nampak anak-anak muda yang banyak balik dari luar negara dan dia bekerjasama antara mereka dan buka pusat-pusat pendidikan. Itu semua menjana pendapatan sendiri. Sebagai pendakwah bebas, kita perlu memahami, kita punya gaji tidak akan tetap. Itu kita punya pilihan sendiri, kerana kita yang pilihkan, maknanya ada plus-minus lah."
Pelbagai usaha dilakukan untuk tingkatkan kemahiran asatizah

"Kita ada peluang macam-macam, sekarang ada online. Kalau ajar Qur'an dekat rumah mungkin harga tinggi, kita ada sekarang dekat online. Itu lebih berbaloilah, maknanya lebih murah, berbanding datang ke rumah. Jadi asatizah kena belajarlah untuk mendidik dari segi online juga. Itu mereka sudah kuasai semasa COVID-19, sampai sekarang. Kemudian ada AI sekarang kita perkenalkan kepada asatizah. MUIS pun keluarkan kursus-kursus dia berkenaan dengan AI ini.Dari sudut bahasa, generasi yang sekarang ini masih lagi berbahasa Melayu. Yang kita mungkin kena sediakan adalah untuk generasi yang akan datang dalam bahasa Inggeris."
Ustazah Kalthom akur, golongan asatizah juga perlu meningkatkan cara, strategi dan pendekatan mereka dalam meyampaikan bimbingan agama.
Menerusi usaha sedemikian, diharap mereka akan kekal relevan dengan nilai pasaran turut meningkat.
"Dari segi pemikiran kritis, bagaimana kita membawa masyarakat kita kepada pemikiran kritis itu sangat-sangat penting. Misalnya, meningkatkan kemahiran dalam nilai pasaran terkini, pemikiran kritis itu dalam membawa unsur-unsur agama kita ini bagaimana kita mengeluarkan yang sejajar dengan keperluan semasa. Contohnya, sekarang adalah bulan Ramadan, jangan asyik sebut tentang puasa saja kan, tapi sejarah-sejarah yang kaya yang berlaku pada bulan Ramadan. Juga, jangan satu arah sahaja, bermakna kita memberi sahaja, tanpa mengambil kira apa yang masyarakat perlukan dari segi pemikiran, sudut pemahaman, mungkin juga bahasa."
Asatizah perlu terus tingkatkan kemahiran & kepakaran agar kekal relevan

Demikian kesimpulan Ustazah Kalthom dalam merumuskan topik perbincangan.
"Untuk mendidik masyarakat perlu perlahan-lahan menunjukkan bahwa kepentingan agama pada diri mereka. Bahawa tanpa perlu diminta, tanggung jawab mereka untuk memakmurkan institusi pendidikan Islam. Penting bagi kita memikirkan dengan sejajarnya kedudukan mereka, peranan mereka sebagai asatizah bagi menangani berbagai lapisan masyarakat. Wajar untuk kita mempertingkatkan gaji mereka agar mereka tidak keletihan karena terlalu banyak kerja yang harus dibuat, tapi dapat fokus kepada satu kerja dan dapat menyara kehidupan dan juga keluarga."
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.