Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

analisisBERITA: Sejauh mana Seksyen 165 Kanun Keseksaan khusus untuk penjabat awam?

Anggaran Waktu Membaca:
analisisBERITA: Sejauh mana Seksyen 165 Kanun Keseksaan khusus untuk penjabat awam?

Mantan Menteri Pengangkutan S Iswaran tiba di Mahkamah Tinggi pada 24 Sep 2024 bagi permulaan perbicaraannya. (Gambar: CNA/Jeremy Long)

Ekoran kes S Iswaran dan Ong Beng Seng, Seksyen 165 Kanun Keseksaan menjadi sorotan.

Encik Iswaran sudahpun disabitkan di bawah seksyen tersebut.

Apakah yang perlu difahami orang ramai mengenai kesalahan di bawah Seksyen 165 itu?

Melihat kepada hukuman yang dijatuhkan dalam kes S Iswaran, sejauh mana orang ramai atau pertubuhan kini perlu bersikap lebih berhati-hati dalam soal memberi dan menerima hadiah?

Dalam analisisBERITA, peguam Abdul Rahman Mohd Hanipah, Pengarah Urusan ARLC Legal, berkongsi pandangan beliau berhubung persoalan ini.

Menurut beliau, secara umum, Seksyen 165 ditujukan kepada para pegawai serta penjawat awam, yang mana, menjadi satu kesalahan bagi mereka untuk mendapatkan atau menerima hadiah, walaupun tiada balasan diharapkan atau diberi.

"Apa yang kita harus faham, ini lain daripada situasi di mana kes-kes yang terlibat dengan kes rasuah dan sebagainya kerana dalam situasi ini, selagi hadiah itu diberikan kepada seseorang yang bekerja dalam perkhidmatan awam, ini sudah boleh menjadi satu kesalahan. Tidak perlu buktikan adanya imbalan ataupun adanya konspirasi, adanya keinginan untuk bersatu padu untuk melakukan satu kesalahan, selagi dia menerima hadiah tersebut, ini dah boleh menjadi satu kesalahan."

Takrifan pegawai awam dalam Kanun Keseksaan justeru lebih luas

Namun menurut peguam berpengalaman itu, para pemimpin sektor swasta yang dilantik ke dalam lembaga pengarah Badan-Badan Berkanun, Syarikat Berkaitan Pemerintah (GLC) atau jawatankuasa yang ditubuhkan pemerintah juga tidak terlepas daripada Seksyen 165.

"Sebenarnya takrifan penjawat ataupun pejabat awam ni memang ada dalam kanun keseksaan. Ini dalam Seksyen 21. Jadi, ini termasuk badan berkanun dan sebagainya, bagi tujuan bertugas untuk sektor awam. Jadi, definisi itu dalam Seksyen 21 Kanun Keseksaan ini memanglah luas. Bagi saya, kalau kita hendak berkhidmat dalam bidang pemerintahan dan sebagainya, kita hendak kena faham bahawa integriti itu adalah satu perkara yang sangat-sangat penting dan akan diletakkan kepentingan yang sangat tinggi."

Lantas timbul persoalan, ekoran kes Iswaran, mungkinkah ia nanti menjadi hambatan kepada para pemimpin di luar sektor awam untuk tampil berkhidmat di dalam pelbagai entiti yang berkait rapat dengan pemerintah?

Encik Abdul Rahman tidak yakin kesannya akan sejauh itu.

"Saya tidak rasa yang ini akan menjadi satu penghambat. Sangat penting untuk kita memahami bahawa definisi ini walaupun luas tidaklah mendalam sangat yang sampai tahap di mana orang tidak boleh terimanya kerana ini harus diadakan untuk memastikan bahawa kebebasan perkhidmatan awam terus menerus akan ada."
 

Seksyen 165 perlu bagi melindungi kod amalan perkhidmatan awam SG

Mahkamah Tinggi Singapura. (Gambar: Try Sutrisno Foo/CNA)

Encik Abdul Rahman turut menarik perhatian, kesalahan di bawah Seksyen 165 sangat jarang berlaku di Singapura.

Oleh itu, beliau tidak melihat ianya dikuatkuasakan secara meluas, kecuali dalam kes-kes tertentu.

"Kita hendak kena faham, penjawat awam pun manusia juga. Mereka juga bekerja, mereka juga ada kawan-kawan, mereka juga akan ada individu yang mereka kenal. Mereka akan ada transaksi atau perhubungan dengan orang di luar. Kalau kita hendak menyalahkan semua orang gitu-gitu sahaja memanglah menjadi satu yang akan lagi menyusahkan mereka, lagi-lagi bila mereka bekerja untuk kebaikan masyarakat umum."

Lagi pula, sudah tersedia dalam prosedur operasi standard atau SOP bagi semua penjawat awam apabila diberi hadiah.

Namun dalam pelaksaan sehari-hari, mungkin terdapat perkara yang samar-samar atau kurang jelas, akur peguam Abdul Rahman.

Masalahnya, kadang-kadang kita hendak kena anggarkan nilainya. kita hendak kena tengok barang ini, dia lebih $20 ke, lebih $50, ke macam mana dan sebagainya. Tetapi pada saya, yang senang sekali, dari istilah Inggeris, 'Err on the side of caution'. Kalau kita tidak pasti, isytihar sahaja. Tidak menjadi masalah kalau kita isytihar. Serahkan kepada jabatan yang sepatutnya, biar mereka tentukan apa yang hendak dilakukan atas hadiah ini, jadi saya tidak terbabit, itu sahaja."

Tambah Pengarah Urusan ARLC Legal itu, mungkin SOP serta peraturan sedia ada boleh disemak semula, agar memberi gambaran lebih jelas berhubung penerimaan hadiah atau sagu hati.

"Mungkin kita boleh lebih mendalami lagi kalau situasi di mana pejabat awam itu perlu terlibat dalam situasi niaga, merundingkan kontrak, perolehan. Adakah mereka perlukan perlindungan yang lebih mendalam, ataupun diberikan kelonggaran yang lebih. Ini satu perkara yang mungkin boleh dipikirkan dengan secara yang lebih mendalam. Tetapi definisi yang saya katakan tadi tetap relevan, bila awak ambil jawatan awam, awak kena faham yang ini adalah satu perkara yang menuntut integriti cukup tinggi."

Terdapat hikmah di sebalik kes perbicaraan S Iswaran

(Gambar: Nathan Magindren/CNA)
Dalam mengimbas kes melibatkan mantan anggota kabinet S Iswaran, terdapat hikmah di sebaliknya, kata Encik Abdul Rahman sebagai menggulung hujah.

"Kita harus faham yang sebenarnya Seksyen 165 ini untuk memastikan bahawa kita ada kod amalan yang baik untuk perkhidmatan awam. Untuk memastikan perkhidmatan awam kita tidak boleh terima hadiah-hadiah dan sebagainya daripada orang awam, tidak boleh menerima rasuah dalam bentuk apa pun. Saya rasa hakikat di Singapura ini kita memang ada undang-undang yang sangat mantap untuk memastikan bahawa kita punya perkhidmatan awam dilindungi dengan baik, adalah sesuatu yang kita harus bangga."

S Iswaran merupakan menteri kabinet pertama Singapura dihukum penjara sejak merdeka, dan orang pertama disabit dengan kesalahan di bawah Seksyen 165.
 
Sumber : BERITA Mediacorp/at
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan