Skip to main content

Singapura

analisisBERITA: Sejauh mana Program Pelatih baharu benar-benar membantu & berdaya tahan?

Pemerintah bakal memperkenalkan semula Program Pelatih atau 'Traineeship' bagi lulusan Institut Pengajian Tinggi (IHL) — daripada ITE hinggalah ke universiti.

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Pemerintah bakal memperkenalkan semula Program Pelatih atau 'Traineeship' bagi lulusan Institut Pengajian Tinggi (IHL) — daripada ITE hinggalah ke universiti.

Mengumumkan demikian semasa Rapat Umum Hari Kebangsaan pada Ahad lalu (17 Ogos), Perdana Menteri Lawrence Wong berkata langkah itu sebagai menangani keprihatinan tentang isu mendapatkan pekerjaan, di tengah-tengah prospek ekonomi yang suram.

PERTAMA KALI DIPERKENAL SEMASA COVID-19

Semasa pandemik global COVID-19 menular pada awal 2020, pasaran pekerjaan teruk terjejas.

Maka, pemerintah melancarkan Program Pelatih SGUnited pada Mac tahun berkenaan bagi lulusan yang baru tamat pengajian dari ITE, politeknik dan universiti serta dari institusi lain.

Skim enam bulan itu memberi mereka peluang latihan sambil bekerja selama enam bulan, dengan elaun antara S$1,100 hingga S$2,500.

Pemerintah membiayai 80 peratus kosnya sementara syarikat pula membiayai 20 peratus.

MANFAAT PROGRAM PELATIH

"Daripada menganggur, mereka dapat membina pengalaman kerja yang sangat berharga. Kedua, ini yang saya rasa lebih penting, ia mengekalkan momentum pembelajaran. Walaupun belum dapat kerja tetap, kemahiran mereka terus diasah dan ditingkatkan," kata Ketua Pegawai Eksekutif SSA Group, Suhaimi Salleh.

Pakar pembimbing kerjaya, Cik Cindi Wirawan, berkata program yang dilaksanakan tatkala COVID-19 itu sudah berhasil mencegah apa yang digelarnya sebagai "generasi hilang".

"Walaupun banyak perusahaan berhenti merekrut, lulusan tetap lewat program itu dan dapat kesempatan untuk membangunkan kemahiran, rangkaian dan keyakinan diri. Banyak yang akhirnya masuk ke pekerjaan tetap ketika ekonomi pulih," kata pengasas agensi Cindi W itu kepada BERITA Mediacorp.

Program itu memberi manfaat kepada lebih 11,500 lulusan ITE, politeknik dan universiti semasa tempoh dua tahun ia dilaksanakan.

Bahkan, 81 peratus daripada mereka yang selesai menjalani Program Pelatih SGUnited pada Ogos 2021 berjaya mendapatkan pekerjaan tetap.

LANGKAH "STRATEGIK" KEMUDI EKONOMI TIDAK MENENTU

Kini, ekonomi dunia sekali lagi mengalami kegenjotan besar ekoran tarif pentabiran Presiden Amerika Syarikat Donald Trump, menyebabkan syarikat-syarikat terjejas untuk menangguhkan rancangan peluasan perniagaan serta kurang atau tidak mengambil pekerja baharu.

PM Wong akur, ramai lulusan bimbang tidak akan mendapat pekerjaan.

Lantaran itu, beliau mengumumkan program pelatih baharu yang dibiayai pemerintah akan dilancarkan - juga untuk lulusan ITE hingga universiti.

Encik Suhaimi menyifatkan pengenalan semula program itu sebagai satu langkah "proaktif dan strategik" dalam mengemudi suasana ekonomi yang kabur.

"Pemerintah bantu tanggung kos latihan dan gaji pelatih. Jadi syarikat boleh 'test-drive' dan latih bakat baharu mereka itu tanpa komitmen kewangan yang besar di peringkat awal.

"Ini dapat menggalakkan lebih banyak syarikat perniagaan, terutama syarikat-syarikat SME, untuk terus melabur dalam bakat-bakat baharu walaupun dalam keadaan ekonomi yang tidak menentu ini.

"Pada masa yang sama, bagi pelatih, ia memberikan akses yang agak baik kepada peluang latihan bermutu," ujar beliau.
Pekerja pejabat di Daerah Pusat Perniagaan (CBD) Singapura.(Gambar fail: iStock)
JANGAN DIANGGAP TENAGA KERJA "MURAH"

Namun, kedua-dua pengamat itu menekankan bahawa majikan tidak seharusnya mengambil kesempatan ke atas program tersebut atau menganggapnya sebagai akses kepada tenaga kerja "murah".

Sebaliknya, mereka perlu melakarkan struktur latihan kerja yang mampu menambah nilai kepada pembangunan si pelatih agar dia dapat menyumbang secara bermakna dalam pasaran kerja kelak.

Ini komen Cik Cindi: "Majikan punya tanggungjawab untuk melihat program pelatih sebagai pembangunan bakat, bukan buruh murah.

"Saya waktu itu pernah ada satu klien. Dia ada ikuti Program Pelatih SGUnited dan dia bilang dia tidak diberi latihan, tidak diberi bimbingan dan tugas-tugas yang diberi juga tidak sesuai dengan yang yang dinyatakan dalam huraian kerja.

Bagi Encik Suhaimi pula, para majikan juga janganlah mempunyai pola pemikiran mendapatkan "pekerja sementara yang murah".

"Sebaliknya mereka perlu fikir: Bagaimana saya boleh melatih pelatih ini supaya mereka layak dan bersedia untuk diambil bekerja dalam syarikat saya ini dan menyumbang kepada pertumbuhan syarikat pada masa hadapan?

"Mungkin juga, pemerintah boleh menimbangkan satu insentif untuk majikan yang berjaya menggajikan sejumlah besar pelatih mereka itu," ungkap Encik Suhaimi.

FAKTOR-FAKTOR YANG PERLU DITIMBANGKAN MAJIKAN

Beliau menambah, mempunyai kurikulum berasaskan kemahiran yang jelas dan gandingan mentor yang berdedikasi, pelatih boleh mencapai ke satu tahap di mana mereka benar-benar bernilai untuk diambil bekerja serta diserap ke dalam syarikat berkenaan.

Bagaimanapun, Cik Cindi menarik perhatian bahawa tidak semua majikan berada dalam kedudukan kewangan yang baik atau menghadapi "kekangan bajet" untuk menawar pelatih berpotensi sebuah peranan tetap bersama organisasinya.

"Itu tidak menjadi masalah tetapi mereka mesti memberi pelatih kesempatan untuk mendapatkan kemahiran, menimba pengalaman yang mereka boleh tambahkan ke resume dan juga mesti memberi mereka sedikit pendedahan kepada industri dan rangkaian karyawan yang boleh membantu mereka untuk masa depan."

SIKAP YANG PERLU ADA PADA PELATIH

Jika begitu halnya, Cik Cindi berkata pelatih harus berfikiran terbuka dan mungkin boleh membuat aturan alternatif bersama organisasi penganjur program untuk diambil bekerja sambilan, secara kontrak atau peranan berasaskan projek sehingga ada kesempatan bagi sebarang tawaran tetap.

Beliau juga memberi nasihat bahawa, hakikatnya, kemahiran sahaja tidak cukup untuk membuatkan majikan menyerap seseorang pelatih sebagai pekerja tetap di hujung program tersebut.

Mereka juga perlu menyerlah dari segi personaliti dan sikap kerja untuk kekal berdaya saing.

"Jadi mereka (majikan) bukan hanya cari kemahiran. Mereka juga lihat sikap anda, pemikiran anda dan mereka juga mesti senang kerja dengan anda," kata beliau.
Gambar fail yang menunjukkan latar langit Singapura. (Gambar: AFP/Roslan Rahman)
MEMBANTU DAYA SAING SG

Pada akhirnya, program itu mempersiapkan Singapura menghadapi kesan kelembapan ekonomi yang diramalkan.

Encik Suhaimi berkata ia tidak hanya membantu untuk mengurangkan kadar pengangguran tetapi juga mengekalkan daya saing ekonomi negara.

"Daripada kehilangan kemahiran tenaga kerja baharu yang mungkin berlaku jika program ini tidak dilaksanakan, kita sebenarnya terus melatih dan meningkatkan kemahiran mereka.

"Apabila ekonomi pulih nanti, kita akan ada sekumpulan pekerja yang sudah terlatih, berpengalaman dan bersedia untuk memacu pertumbuhan dengan serta-merta, baik untuk syarikat mahupun negara," ungkap Encik Suhaimi.

Perincian program pelatih yang baharu ini belum didedahkan.

Namun PM Wong sudahpun menyatakan, Pasukan Bertindak Daya Tahan Ekonomi Singapura (SERT) akan berkongsi butirannya dalam masa terdekat.
Sumber : BERITA Mediacorp/FZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita