Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

analisisBERITA: Sejauh mana 'pengesahan identiti penjual berisiko' langkah baik cegah penipuan?

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Membeli-belah menerusi media sosial semakin popular. Namun realitinya, ramai pembeli sudah menjadi mangsa penipuan.

Maka itu, berkuat kuasa Rabu (26 Jun), platform online Facebook dan Carousell yang mengendalikan kegiatan e-niaga dikehendaki mengesahkan identiti penjual dan pengiklan 'berisiko', bersandarkan rekod yang dikeluarkan pemerintah.

Langkah itu sebahagian daripada peruntukan pusingan kedua di bawah Akta Bahaya Jenayah Online (OCHA).

Jadi, sejauh mana langkah mengesahkan identiti 'penjual berisiko' suatu langkah penting dan berkesan demi mengurangkan berleluasanya kes-kes penipuan di Singapura?

MENCEGAH KES PENIPUAN E-NIAGA

Hakikatnya, penipuan e-niaga kini meningkat lebih 100 peratus - daripada lebih 4,760 kes pada 2022 kepada hampir 9,800 kes pada 2023.

Menurut Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA), kes penipuan itu secara amnya melibatkan penjualan barangan dan perkhidmatan secara online, yang kemudian tidak dihantar walaupun pembayaran sudah dibuat.

Lantaran itu timbul keperluan untuk mengambil langkah lebih ketat demi melindungi para pembeli online.

Sebagai permulaan, platform online Facebook Marketplace dan Carousell kini mesti melaksanakan pengesahan identiti bagi para penjual 'berisiko'.

Ketua Program Keselamatan Awam dari Sekolah Sains Kemanusiaan dan Tingkah Laku, Universiti Sains Kemasyarakatan Singapura (SUSS), Prof Madya Razwana Begum Abdul Rahim, menyifatkannya sebagai satu langkah baik yang melindungi para pengguna.

"Ia satu inisiatif yang boleh membantu mengurangkan risiko penipuan online atau penipuan identiti dan juga urus niaga yang palsu. Ini adalah salah satu langkah untuk melindungi para pengguna.

"Sebelum ini, para penjual mungkin boleh menggunakan nama orang lain ataupun mereka boleh menjual tetapi jika tiada orang tahu, mereka masih boleh menghilangkan diri kerana tiada sistem pemantauan.

"Dengan langkah seperti ini, kini mereka tahu bahawa jika mereka tidak menjual dengan betul, jika mereka mahu menipu, ada cara untuk mengesan mereka," kata Prof Razwana.

PELBAGAI CABARAN SAHKAN IDENTITI PENJUAL BERISIKO

Facebook and Carousell masing-masing melaporkan 4,550 dan 2,476 kes penipuan e-niaga tahun lalu, membentuk lebih 70 peratus daripada kes penipuan e-dagang.

table

Namun sedang usaha dipergiat bagi melumpuhkan penipuan, apakah cabarannya? Adakah mudah sebenarnya untuk mengenal pasti penjual yang berisiko?

Prof Razwana menarik perhatian kepada beberapa faktor yang boleh menimbulkan cabaran.

"Kita mempunyai dua masalah, dua identiti penjual yang berisiko. Salah satu, tujuan mereka memang untuk menipu pengguna, iaitu kumpulan sindiket yang daripada awalnya mereka memang tiada tujuan untuk menjual. Mereka memang bertujuan menipu mangsa mereka.

"Kategori yang kedua pula, memang ada penjual yang mungkin mahu menjual tetapi tidak mempunyai cukup barang ataupun cuba menjual barang yang sudah rosak. Ada juga penjual seperti itu," katanya.

Selain kumpulan sindiket dan penjual yang tidak bersikap jujur, lebih mencabar lagi bagi syarikat-syarikat tersebut adalah untuk mengesahkan identiti penjual dari luar negara, tambah Prof Razwana.

Kini, di tengah-tengah ledakan teknologi kecerdasan buatan (AI), Prof Razwana percaya bahawa kaedah pengesahan identiti penjual mampu menjadi benteng perlindungan.

"Sekarang ini, AI pun boleh jadi macam orang, macam seseorang. Mereka (penipu) juga boleh melakukan penipuan yang lebih canggih menggunakan teknologi," terang beliau.

PENGESAHAN IDENTITI PENJUAL SEPERTI 'GUARANTEE'

Namun demikian Prof Razwana berkata, langkah lebih ketat berhubung pengesahan identiti tidak seharusnya menjadi penghalang bagi penjual yang benar-benar ingin berniaga.

Beliau percaya ia sebaliknya akan meningkatkan mutu cara berniaga, memudahkan proses berniaga, serta meningkatkan tahap keyakinan pembeli terhadap produk atau khidmat yang penjual tawarkan.

"Ini seperti dahulu apabila kita mempunyai produk, produk elektronik. Apabila mula-mula kita melakukan produk baharu, semua berfikir 'ok ada guarantee (jaminan) ke tidak?' Kalau ada 'guarantee', baru saya hendak beli. Sebab kalau barang itu rosak, kita boleh memulangkannya.

"Macam sekarang ini kita lihat, ok kalau platform itu memberi 'guarantee', ada pengesahan, saya tahu kalau apa-apa berlaku, saya masih boleh hubungi platform itu untuk mendapatkan apa-apa bentuk tindak balas," terang Prof Razwana.

"Saya rasa memang sekarang ini, ramai sudah ditipu. Barang itu mahal tetapi harganya murah. Kita perlu fikir dahulu - adakah ia betul atau tidak. Kalau kita boleh berjumpa dengan pembeli untuk mendapatkan barang itu dahulu sebelum kita membuat urus niaga, lebih bagus."

MHA menyatakan ia akan menilai keberkesanan langkah 'pengesahan identiti penjual berisiko' yang dilaksanakan Facebook dan Carousell itu sepanjang enam bulan.

Jika kes-kes penipuan tidak bertambah baik, kedua-dua platform akan diwajibkan melaksanakan kaedah pengesahan pengguna ke atas semua penjual di wadah masing-masing.

Sumber : BERITA Mediacorp/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan