Skip to main content

Singapura

analisisBERITA: Sejauh mana pemansuhan jagaan kanak-kanak pada Sabtu berkesan pertingkat keadaan kerja kakitangan tajaka?

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Baru-baru ini pihak berkuasa mengumumkan tajaka di Singapura tidak lagi diwajibkan beroperasi pada hari Sabtu mulai 2025.

Ini adalah sebahagian usaha Pemerintah untuk memastikan sektor pendidikan awal kanak-kanak berupaya memikat bakat-bakat baru sambil mengekalkan kakitangannya yang sedia ada.

Namun, timbul persoalan: Sejauh manakah langkah-langkah ini berkesan bagi meningkatkan keadaan kerja kakitangan dan guru tajaka?

Memansuhkan khidmat jagaan kanak-kanak pada hari Sabtu adalah satu langkah yang dialu-alukan para pengendali dan guru sektor pendidikan awal kanak-kanak.
Namun, buat beberapa tajaka di Singapura, mereka sudah henti beroperasi pada hari Sabtu sejak awal tahun lagi ekoran tiada permintaan bagi khidmat tersebut dan melihat kesan positifnya.

"Untuk (tajaka Iyad di) Hougang, kita memang sudah tidak beroperasi (pada hari Sabtu), sejak awal tahun, kita sudah buat, kita mengkaji data and kita lihat yang tak ada pun ibu bapa yang perlukan khidmat jagaan. Oleh itu, kami tidak beroperasi pada hari Sabtu. Di peringkat nasional juga, memang kurang sekarang ibu bapa yang memerlukan jagaan pada hari Sabtu," kata Cik Suhana Salleh, Guru Besar Iyad Perdaus Ltd (Hougang).

"Langkah baru itu amat dialu-alukan kerana guru-guru dapat mengenepikan lebih banyak masa untuk diri sendiri dan keluarga. Dia akan memanfaatkan guru-guru lebih banyak untuk berehat bersama keluarga pada hujung minggu dan menjaga kestabilan mental dan fizikal mereka. Ini akan membuat guru-guru lebih fokus, produktif," ujar Cik Suhana.

Dengan langkah ini, para pengendali berharap ia sedikit sebanyak akan mengubah tanggapan salah terhadap sektor pendidikan awal agar ia dapat memikat bakat-bakat baru.

"Kami yakin bahawa langkah ini mungkin jadi daya tarikan, lebih ramai lagi menceburi (sektor) pendidikan awal kanak-kanak dan secara keseluruhan, dapat menaikkan kualiti pendidikan awal kanak-kanak," kata Cik Suhana.

Sewaktu melancarkan Perancangan Perubahan Industri (ITM) 2025 bagi sektor ini, Menteri Pembangunan Sosial dan Keluarga Encik Masagos Zulkifli berkata, sekitar 8,000 ibu bapa yang ditinjau turut menyokong langkah menutup tajaka pada hari Sabtu demi kebajikan para guru dan kakitangan, sekali gus meningkatkan mutu khidmat yang ditawarkan pada hari-hari biasa.

Walaupun ia satu langkah yang baik, lebih banyak lagi yang perlu dilakukan untuk memperbaiki keadaan kerja para guru.

Menurut beberapa guru yang ditemui BERITAmediacorp, tiadanya syif kerja pada hari Sabtu tidak akan memberikan kesan begitu ketara kepada mereka.

Sebaliknya, usaha harus ditumpukan kepada usaha mengurangkan tekanan kerja yang dihadapi mereka.

Ini kerana menurut mereka, mereka tidak boleh menyelesaikan tugas harian di tempat kerja dan terpaksa membawa pulang kerja di rumah.

"Secara keseluruhan, amat baik jika kita dapat menyemak semula nisbah guru dan (murid) atau 'teacher-child ratio' untuk pendidikan kanak-kanak," tambah Cik Suhanna.

Menurut seorang guru tajaka di sebuah tajaka di timur laut Singapura, syarat mematuhi nisbah ini memberi lebih tekanan kepada para guru.

Buat masa ini, di bawah nisbah itu, seorang guru perlu menguruskan sebuah kelas dengan sekitar 25 kanak-kanak.

Ini selain melakukan kerja-kerja pentadbiran seperti penilaian kelas dan memberi kemas kini kepada ibu bapa tentang kemajuan anak-anak mereka.

Oleh itu, mereka tidak boleh memberikan jagaan dan pendidikan yang sama rata kepada setiap kanak-kanak, memandangkan setiap kanak-kanak mempunyai keperluan yang berbeza-beza dan terdapat pelbagai aspek pembangunan kanak-kanak yang perlu diperhatikan oleh para guru.

Selain itu, nisbah ini juga 'memaksa' pusat-pusat tajaka membawa masuk lebih ramai kanak-kanak, walaupun sudah menghampiri jumlah maksimum kanak-kanak yang boleh diuruskan dengan tenaga kakitangan dan ruang fizikal yang sedia ada.

Para guru tajaka berharap langkah memansuhkan operasi pada hari Sabtu ini akan mendorong perkembangan lain seperti semakan semula nisbah guru dengan murid serta penambahan guru di pusat-pusat tajaka yang memerlukan lebih ramai tenaga kerja.

Mereka juga berharap kenaikan gaji yang dijanjikan pada tahun-tahun mendatang akan setara dengan beban kerja yang mereka perlu tanggung.

Ini selain memberikan para guru pengiktirafan yang sewajarnya.
 
Sumber : BERITA Mediacorp/NY/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita