analisisBERITA: Sejauh mana keharmonian antara kaum SG bersifat organik?
Keharmonian kaum dan agama di Singapura semakin bertambah baik berdasarkan hasil tinjauan mengenai hubungan tersebut yang dijalankan oleh Institut Pengajian Dasar (IPS) dan badan nasional, OnePeople.sg selama empat bulan tahun lalu.
Antaranya, tahap kepercayaan penduduk Singapura kepada mereka yang berlainan kaum dan agama meningkat dengan ketara.
Diskriminasi di tempat kerja juga, secara keseluruhannya telah merosot.
Lebih 80 peratus daripada 4,000 penduduk Singapura yang ditinjau mengatakan mereka tidak menghadapi isu ketegangan kaum atau agama dalam kehidupan seharian.
Namun, sejauh mana keharmonian sedemikian bersifat organik, bermakna ia berkembang secara semula jadi? Atau justeru lebih bergantung kepada dasar dan peranan pemerintah?
"Saya rasa ini adalah gabungan kedua-duanya, bukan sahaja organik atau semulajadi, ada juga dipengaruhi oleh dasar-dasar yang kita telah lakukan.
"Singapura sudah lama melaksanakan dasar-dasar untuk menggalak integrasi antara kaum tetapi kita juga menggunakan perkara-perkara yang selalu berlaku dalam masyarakat.
"Mungkin kalau kita lihat kepada bergotong-royong, perkara-perkara seperti itu yang menjadi pendorong. Itu adalah salah satu cara semulajadi yang boleh menggabungkan kaum-kaum dan bangsa-bangsa yang lain," kata Profesor Madya Razwana Begum Abdul Rahim, Ketua Program Keselamatan Awam di Sekolah Ilmu Kemanusiaan dan Sains Tingkah Laku SUSS.
Dr Razwana menyifatkan hasil tinjauan oleh IPS itu sebagai positif dan jelas menunjukkan bahawa usaha Singapura sejak sekian lama untuk memupuk persefahaman dan keharmonian antara pelbagai kaum ternyata berkesan.
Sungguhpun demikian, keharmonian kaum, kata beliau, tidak boleh tercapai sepenuhnya menerusi dasar-dasar pemerintah sahaja.
Rasa ingin tahu mengenai kaum dan agama yang berlainan, penting demi membina masyarakat yang lebih memahami dan menghormati perbezaan antara satu sama lain.
Ini memandangkan terdapat peningkatan dalam stereotaip kaum, dengan 43.5 peratus responden mengaku, mereka membuat anggapan tentang tingkah laku seseorang berdasarkan kaum mereka, berbanding 35.2 peratus pada 2018.
Dr Razwana berkata cara berkesan untuk mengatasinya adalah dari usia muda melalui pendidikan.
"Untuk remaja dan kanak-kanak, kita perlu berikan mereka ruang yang selamat untuk berbincang.
"Menyediakan ruang seperti ini, mereka dapat tanya tanpa risau tentang perkara-perkara sosial, atau apa perbezaan tentang budaya.
"Mungkin bertanya mengapa kaum ini lakukan perkara seperti ini, ataupun mengapa mereka ada makanan seperti ni, atau mengenai pakaian mereka. Ini adalah cara untuk kita latih kanak-kanak dan remaja untuk berbual dengan empati, dengan bertanggungjawab," kata Dr Razwana.
Peluang serupa juga perlu terus disediakan untuk golongan dewasa.
Contohnya, menerusi acara-acara kemasyarakatan yang mendorong para penduduk daripada berlainan kaum dan agama supaya bergaul dan menjalin persahabatan.
Ini semakin genting, lebih-lebih lagi di era media sosial kini, di mana masyarakat semakin kurang berinteraksi secara fizikal.
Tinjauan IPS mendapati bilangan penduduk yang mempunyai sekurang-kurangnya seorang kawan rapat yang berlainan kaum menyusut sedikit tahun lalu berbanding 2018.
"Persahabatan ini adalah sangat penting untuk kita dapat tahu mengapa cara-cara kaum itu berbeza daripada cara-cara kita.
"Daripada persahabatan itu, kita dapat perhatikan, kita dapat lihat oh,mereka melakukan perkara ini tetapi niat mereka memang baik, bukan salah.
"Kita boleh melakukan aktiviti dalam masyarakat yang mungkin boleh menarik seseorang untuk ingin tahu lebih dan ia mungkin boleh berkembang menjadi persahabatan.
"Jadi ia tidak boleh dipaksa, tetapi kita boleh melakukan aktiviti-aktiviti di ruang awam, untuk semua menyumbang, dan daripada ini, kita mungkin dapat cara untuk membentuk persahabatan dalam kalangan dewasa," katanya.
Walaupun keharmonian kaum di kalangan penduduk tempatan semakin baik, terdapat juga salah faham terhadap warga asing yang berada dalam kalangan kita.
Lebih rumit lagi, apabila mereka juga terdiri dari kaum-kaum tertentu sehingga isu kewarganegaraan dan kaum bertumpang tindih.
"Memang banyak-banyak faktor, banyak-banyak perkara yang boleh sumbang kepada salah faham ini.
"Cara hidup di negara lain itu lain, dan cara kita berbual, mungkin bahasa yang kita gunakan, suara, nada kita walaupun rakyat itu sudah menjadi rakyat Singapura.
"Kita mungkin kata oh dia sebenarnya dari mana, kita ada prasangka, perasaan mungkin tentang negara itu ataupun pasal kaum itu. Jadi bukan satu faktor, ini memang rumit.
"Mereka datang daripada tempat lain, dari negara lain, daripada mungkin cara hidup yang lain. Kalau kita ada kefahaman ini, mungkin kita boleh jadi lebih bertolak ansur untuk memberi mereka masa untuk faham cara kehidupan di Singapura," katanya.
Yang pasti, komunikasi yang baik dan ruang selamat untuk berbincang,di samping bersikap peka terhadap latar belakang seseorang yang berlainan kaum, agama mahupun kerakyatan adalah penting dalam membangunkan sebuah negara yang lebih harmoni.
Dr Razwana turut menekankan bahawa rakyat Singapura tidak boleh mengambil ringan keharmonian kaum di negara ini.
Tambah beliau, semua pihak harus mempunyai komitmen untuk merapatkan jurang interaksi antara semua kaum dan perlu saling bekerjasama demi memastikan Singapura yang aman dan sejahtera.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.