Skip to main content

Singapura

analisisBERITA: Sejauh mana isu-isu terkait penduduk yang semakin menua jadi tumpuan dalam Belanjawan 2026?

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 11 Feb 2026 11:39PM Dikemas Kini : 04 Mar 2026 04:55PM
  • Singapura kini memasuki era masyarakat lampau usia, dengan satu daripada lima penduduk berumur 65 tahun ke atas dan dijangka meningkat menjelang 2030.
  • Pemerintah telah meningkatkan perbelanjaan sosial, terutamanya dalam jagaan kesihatan dan persaraan, melalui pelbagai inisiatif seperti Sihat Menua SG dan Pakej Jaminan.
  • Belanjawan 2026 dijangka memberi tumpuan kepada sokongan jangka panjang untuk warga emas, serta bantuan kepada syarikat dan pekerja menghadapi cabaran ekonomi.
  • Perdana Menteri Lawrence Wong akan membentangkan Belanjawan 2026 di Parlimen pada 12 Februari, dengan harapan penekanan kepada produktiviti dan adaptasi teknologi AI.
Dijana oleh AI
SINGAPURA: Singapura dikatakan mula melangkah masuk ke era masyarakat lampau usia atau "super-aged" tahun ini, dengan satu daripada setiap lima rakyat berusia 65 tahun dan ke atas.

Menjelang 2030, perangkaan itu dijangka meningkat kepada satu daripada setiap empat penduduk di sini.

Belanjawan pada tahun-tahun lalu sudah mempersiapkan Singapura bagi peralihan demografi tersebut.

Namun, sejauh manakah ia akan menjadi tumpuan dalam Belanjawan 2026 yang bakal dibentangkan?

Berikut pandangan pengamat ekonomi mapan, Saktiandi Supaat.

"Jika kita lihat kepada lima hingga 10 Belanjawan yang lalu, kebanyakan perbelanjaannya sudah berubah daripada menyediakan jaringan keselamatan untuk menangani peningkatan kos, kepada usaha mengimbangi peningkatan kos sara hidup yang semakin meningkat. Misalnya pada 2023, tokokan S$3 bilion diumumkan untuk Pakej Jaminan."

"Tetapi untuk jangka masa panjang - isu penuaan, jagaan kesihatan dan kecukupan persaraan perlu terus ditangani," tambah Ketua Penyelidikan Pertukaran Asing dan Strategi, Maybank.

PERBELANJAAN SOSIAL

Sepanjang sedekad lalu, perbelanjaan bagi pembangunan sosial kian meningkat.

Pada 2015, jumlahnya adalah sekitar S$31 bilion. 10 tahun kemudian, ia dianggarkan meningkat hampir seganda kepada kira-kira S$61 bilion.

Menurut perkiraan, ia membentuk sekurang-kurangnya 49 peratus daripada keseluruhan perbelanjaan negara bagi tempoh tiga tahun lalu.

Sepanjang tempoh itu juga, Kementerian Kesihatan (MOH) mendapat peruntukan perbelanjaan yang terbesar bagi tujuan pembangunan sosial, dengan anggaran hampir S$21 bilion tahun lalu.

Ditanya sama ada trend itu akan berterusan sedang penduduk Singapura semakin menua, Encik Saktiandi berpendapat bahawa jaminan bagi peningkatan dalam aspek jagaan kesihatan mungkin akan menjadi tunjang jangka panjang dalam Belanjawan masa depan.

"Saya fikir satu lagi teras adalah persaraan yang mencukupi. Ini penting kerana sokongan bagi warga emas itu akan menjadi satu tunggak Belanjawan kerana demografi kita berubah, penuaan semakin mendadak. Kita tidak mempunyai bayi-bayi yang mencukupi sedang kadar kesuburan keseluruhan (TFR) menurun."

PENDUDUK SEMAKIN MENUA

Menyedari isu penduduk yang semakin menua, pemerintah sudahpun melancarkan pelbagai inisiatif.

Antaranya adalah program nasional Sihat Menua SG yang bertujuan membantu warga emas menetap dalam kalangan masyarakat.


Lantas, Belanjawan 2024 memperuntukkan S$3.5 bilion bagi usaha tersebut untuk sedekad akan datang.

Ini termasuk meluaskan rangkaian Pusat Penuaan Aktif, serta memperkenalkan lebih banyak kelengkapan rumah dan prasarana pengangkutan yang lebih mesra kepada warga emas.

Pada masa yang sama, pemerintah juga meningkatkan sokongan bagi keperluan persaraan golongan persara - sesuatu yang Encik Saktiandi berharap akan menjadi teras penting dalam Belanjawan kali ini.

"Bagaimana kita dapat meningkatkan akaun persaraan kita buat masa akan datang untuk anak-anak muda kita agar mereka mempunyai landasan yang lebih panjang?

Dengan kenaikan inflasi dan kos sara hidup, bagaimana kecukupan persaraan ini akan mencukupi untuk warga Singapura pada masa akan datang? Saya fikir ini adalah satu faktor penting."

DAYA PENGHASILAN PERNIAGAAN & PEKERJA

Encik Saktiandi menarik perhatian bahawa Belanjawan Singapura 2026 adalah yang pertama di bawah penggal baharu pemerintah.

Maka itu, beliau berkata adalah penting untuk memberi tumpuan kepada keperluan jangka panjang Singapura.

Selain penuaan, usaha meningkatkan produktiviti pekerja dan daya tahan syarikat juga perlu diberi perhatian.

"Saya berharap akan terdapat bantuan untuk membantu firma-firma menangani kos perniagaan mereka melalui program atau geran baharu."

"Umpamanya Skim Sokongan Pekerjaan dan Skim Kredit Gaji Progresif dalam Belanjawan tahun-tahun lalu - sama ada ini akan diberi lebih banyak perhatian untuk menyokong firma-firma membuat penyesuaian kepada cabaran struktur dalam pasaran buruh."

Namun begitu, untuk syarikat-syarikat kecil, selain bantuan untuk menangani tekanan kos, peningkatan pada pengkekalan keupayaan juga penting dalam tempoh jangka panjang.

Ini sedang Singapura beralih ke dalam ekonomi yang dipacu AI, tambah Encik Saktiandi.

"Bagi tahun ini, saya berharap kita akan dapat melihat bagaimana kita akan menerapkan intipati pemahaman kecerdasan buatan (AI), pemahaman tentang sektor baharu ke dalam rakyat Singapura, untuk meningkatkan produktiviti Singapura dan pertumbuhan ekonomi Singapura."

Belanjawan 2026 akan dibentangkan oleh Perdana Menteri Lawrence Wong di Parlimen pada Khamis 12 Februari, pada jam 3.30 petang.
 
Sumber : BERITA Mediacorp/at
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita