Skip to main content

Singapura

analisisBERITA: Sejauh mana hukuman lebih tegas mampu kekang jenayah penipuan online?

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Selepas Parlimen meluluskan pindaan kepada Rang Undang-Undang Jenayah pada Selasa 4 Oktober, mereka yang disabit dalam kes penipuan online ataupun 'scam' kini berdepan hukuman rotan.

Kesemua Anggota Parlimen (AP) sepakat bersetuju dengan langkah itu, termasuk hukuman antara enam hingga 24 sebatan pada sesiapa yang didapati bersalah oleh mahkamah kerana terlibat dalam kes penipuan.

Ini sebagai tambahan kepada hukuman sedia ada.
Peguam mapan dan Pengarah Urusan A Rohim LLC Abdul Rohim Sarip berkata, walaupun Seksyen 420 Kanun Keseksaan menggariskan hukuman bagi kesalahan menipu, modus operandi bagi penipuan online berbeza dan jauh lebih kompleks.

Beliau menerangkan, penipuan online khusus untuk jenayah yang melibatkan kegunaan teknologi seperti internet, WhatsApp ataupun mesej di mana pesalah menghantarkan mesej kepada mangsa yang mungkin tiada prasangka tentang tujuan pemanggil.

"Yang kedua, ia selalunya melibatkan sindiket. Jadi bukan seorang, ada ramai orang yang bekerjasama untuk melakukan scam ini atau jenayah ini. Ada rangkaian, ada orang kedua, ketiga dan sebagainya," jelas Encik Rohim.

Selain itu, penipuan online lazimnya bersifat rentas sempadan di mana beberapa negeri akan terlibat untuk menerima wang haram.
HUKUMAN LEBIH BERAT ISYARAT JELAS - JENAYAH KINI PADA TAHAP SERIUS

Menteri Negara Kanan Ehwal Dalam Negeri Sim ann menyifatkan penipuan online sebagai "jenayah yang paling berleluasa" di Singapura ketika ini.

Sejak tahun 2020, sekitar 190,000 kes penipuan dilaporkan, dengan kerugian dianggarkan sekitar S$3.7 bilion.

Kes-kes penipuan turut merangkumi 60 peratus daripada keseluruhan jenayah yang dilaporkan di sini.

Lantas, Encik Rohim berkata, hukuman lebih berat memang sudah kena pada masanya.

"Pemerintah akan ambil kira kes-kes jenayah yang nombor satu, berleluasa dan mempunyai jangkauan yang lebih ataupun yang serius," jelas peguam berpengalaman itu.

Beliau menarik perhatian, kebanyakan mangsa penipuan merupakan warga lanjut usia seperti pesara yang mempunyai wang simpanan untuk persaraan mereka.

"Jadi untuk melindungi mereka, pemerintah fikirkan yang lebih wajar untuk hukuman lebih tinggi dikenakan kepada para penipu ini."

Encik Rohim turut menyingkap masa-masa di mana hukuman rotan dianggap sebagai langkah pencegahan yang berkesan bagi mengurangkan kadar jenayah.

"Pada masa lalu, hukuman rotan ini dikenakan kepada penjenayah yang menggunakan kekerasan atau mendatangkan kecederaan kepada mangsa.

Seperti dulu, kita tahu pasal 'ah long', kes peminjam wang haram di mana pintu rumah dibakar, cat disimbah dan sebagainya. Jadi dengan adanya hukuman rotan ini, kuranglah kadar jenayah dari kes-kes sedemikian," ujar beliau.

USAHA KEKANG KES PENIPUAN RENTAS SEMPADAN

Hakikatnya, kes-kes penipuan sering melibatkan sindiket rentas sempadan, dengan dalang utama berada di luar Singapura.

Contohnya, 27 warga Singapura kini diburu polis kerana disyaki terlibat dengan sindiket penipuan yang berpangkalan di Kemboja.

Pengarah Urusan ARLC Abdul Rahman Mohd Hanipah berkongsi bahawa di bawah Akta Perlindungan Daripada Penipuan yang baharu ini, polis boleh memberi arahan kepada pihak bank untuk menyekat sebarang transaksi ke luar negara yang kelihatan mencurigakan di bawah Arahan Sekatan.

"Ini sangat penting kerana ini merupakan satu huraian yang tertumpu kepada skim penipuan. Sebaik sahaja duit itu dipindahkan ke luar negara, memang susah kita nak kesan. Susah kita nak dapat balik dan susah kita nak melindungi individu yang tertipu," jelas beliau sambil menekankan kepentingan Arahan Sekatan sebagai langkah pencegahan awal terhadap jenayah rentas sempadan.

HUKUMAN LEBIH TEGAS BAGI KELDAI WANG

Dengan pindaan terbaharu, mereka yang menjadi 'keldai wang' atau orang tengah dalam skim penipuan - seperti membuka akaun bank, menyediakan kad SIM atau berkongsi maklumat SingPass - juga boleh dikenakan hukuman rotan, bergantung budi bicara mahkamah.

Pada 2022, pihak polis menyiasat lebih 7,800 individu yang disyaki bertindak sebagai keldai wang.

Jumlah itu terus meningkat kepada lebih 9,600 pada tahun berikutnya, dengan kebanyakannya merupakan belia yang ingin meraih wang dengan cepat.

Buat masa ini, pesalah kali pertama berdepan hukuman penjara sehingga dua tahun, denda sehingga S$5,000 atau kedua-duanya.

Namun dengan hukuman sebatan kini menanti, garis pemisah antara mereka yang bersubahat dan mangsa yang terpedaya atau terlibat tanpa sedar menjadi semakin genting.

"Kita sepatutnya tahu yang ini adalah situasi di mana besar kemungkinan adalah skim penipuan ataupun situasi di mana kita diberikan perjanjian, "Oh awak boleh dapat komisyen, tapi komisyen dia luar biasa". Ada ke orang buat berniaga, komisyen dia 60 peratus, 80 peratus? Jadi boleh dikatakan bahawa kita sepatutnya tahu dalam situasi itu, ini tentulah skim penipuan. Itu lain, tahap kesalahan itu mungkin lebih tinggi.

Namun pihak mahkamah diberi wewenang untuk membuat pertimbangan sebelum menjatuhkan hukuman, jelas Encik Abdul Rahman.

"Dalam situasi di mana individu itu tentu memang sebenar-benarnya tidak tahu, akan berlakunya skim penipuan dan sebagainya, hukumannya atau tahap kesalahannya pasti lebih kurang."

Yang pasti, kedua-dua peguam itu menegaskan pentingnya kesedaran dan membuat semakan bagi menghindari penipuan.

Platform rasmi seperti ScamShield, laman ScamAlert.sg dan portal pelbagai bank dapat membantu mengesan kes jenayah sedemikian.

Hanya apabila semua pihak memainkan peranan masing-masing, usaha membanteras penipuan online akan menjadi lebih berkesan.
Sumber : BERITA Mediacorp/at
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita