Skip to main content

Singapura

analisisBERITA: Sejauh mana Direktori M³+ tepati keperluan landskap bantuan masa kini?

Baru-baru ini, sebuah wadah sehenti dipanggil Direktori M³+ dilancarkan bagi memudahkan masyarakat Muslim Singapura mengakses pelbagai bantuan yang ditawarkan oleh badan-badan di bawah rangkaian M³+.

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 03 Sep 2026 10:27PM Dikemas Kini : 06 Oct 2026 11:19PM
  • AMP Singapura dan PPIS melancarkan Direktori M³+, platform sehenti untuk masyarakat Muslim Singapura mengakses bantuan daripada 33 pertubuhan Melayu/Islam, India Islam dan Arab.
  • Direktori ini bertujuan membantu golongan memerlukan seperti keluarga, belia, dan pekerja yang menghadapi pelbagai cabaran sosial dan ekonomi.
  • Dr Shamsuri Juhari menekankan kelebihan direktori ini dalam menyediakan akses bersepadu serta peluang kerjasama antara pertubuhan untuk menutup jurang perkhidmatan.
  • Beliau mencadangkan penambahbaikan seperti sistem lebih mesra pengguna dan khidmat penyelaras untuk membantu pemohon mendapatkan bantuan yang sesuai.
Dijana oleh AI

SINGAPURA: Baru-baru ini, sebuah wadah sehenti dipanggil Direktori M³+ dilancarkan bagi memudahkan masyarakat Muslim Singapura mengakses pelbagai bantuan yang ditawarkan oleh badan-badan di bawah rangkaian M³+.

Projek direktori online itu diterajui oleh AMP Singapura dan Persatuan Pemudi Islam Singapura (PPIS).

Sejauh manakah Direktori itu menepati keperluan landskap penghuluran bantuan masa kini? Apa lagi yang mungkin boleh dilakukan untuk memperhalusinya?

DIREKTORI M³+ SENARAI BANTUAN 33 MMO

Bantuan sememangnya sudah ada bagi golongan-golongan memerlukan seperti keluarga dan belia yang bergelut dengan masalah kewangan dan bimbingan, serta mereka yang hilang pekerjaan.

Namun dalam mendapatkan bantuan, cabarannya mungkin terletak pada ketidakpastian tentang jenis bantuan yang wujud.

Demikian pengamatan penyelidik sosial, Dr Shamsuri Juhari, yang merupakan pengasas Nusantara Connect.

Di sinilah Direktori M³+ yang dilancarkan baru-baru ini bertujuan memberi gambaran lebih jelas mengenai khidmat yang disediakan oleh 33 pertubuhan Melayu/Islam (MMO), India Islam dan Arab melalui sebuah platform sehenti.

"Sasaran Direktori ini bukan hanya untuk keluarga yang menghadapi masalah, tetapi juga anggota-anggota masyarakat yang lain, termasuk belia yang mencari bimbingan atau peluang, atau pekerja yang mahu meningkatkan kemahiran mereka atau sedang melalui perubahan kerjaya. Atau keluarga yang memerlukan sokongan sosial, dan juga mereka yang mahu menjadi sukarelawan.

"Saya rasa ini sangat berguna kerana seseorang itu bermula hanya dengan mengetahui nama pertubuhan yang boleh membantu mereka. Mereka boleh bermula dengan mengenali keperluan yang diinginkan.

"Dari situ, Direktori ini menjadi satu pintu masuk untuk mengetahui siapa yang boleh membantu," jelas Dr Shamsuri.

WADAH UNTUK MASALAH SOSIAL KOMPLEKS

Beliau menambah, Direktori M³+ itu dilancarkan sedang masalah sosial yang masyarakat hadapi masa kini semakin kompleks.

Sebagai contoh, cabaran yang dihadapi sesebuah keluarga bukanlah bersifat tunggal.

Sebaliknya ia bersifat pelbagai dan merangkumi beberapa aspek kehidupan.

Dr Shamsuri memberi contoh sebuah keluarga yang sedang menghadapi masalah kewangan.

Mungkin pada masa yang sama, mereka juga mempunyai anak yang memerlukan bantuan pendidikan dan ibu bapa yang menghadapi tekanan dalam hubungan keluarga.

Jadi, melalui Direktori ini, kata Dr Shamsuri, mereka boleh melihat bagaimana bantuan tidak semestinya datang daripada satu pertubuhan sahaja.

"Mereka boleh mencari bantuan keluarga, bantuan kewangan dan sokongan pendidikan secara serentak, dan bantuan ini tidak semestinya datang dari hanya satu pertubuhan," kata beliau.

Begitu juga dengan pekerja. Banyak masalah yang dihadapi oleh pekerja seperti mereka yang kehilangan pekerjaan, atau mereka yang mahu menukar kerjaya.

"Maka itu, keperluan mereka merangkumi bermacam-macam dimensi dan aspek, iaitu dari segi latihan kemahiran, nasihat pekerjaan, pengurusan kewangan, dan mungkin juga sokongan keluarga," tambah beliau lagi.

Bagi Dr Shamsuri, Direktori M³+ bukan sekadar menyediakan akses kepada maklumat, tetapi akses kepada bantuan yang bersepadu.

Ini, kata beliau, merupakan kelebihan wadah sehenti tersebut.

JADI PINTU MASUK BANTUAN, TAPI APA LAGI BOLEH DIPERHALUSI?

Dr Shamsuri menarik perhatian bahawa platform sehenti sebegini juga memberi peluang kepada pertubuhan-pertubuhan yang menyertainya untuk mengenal pasti pertindihan atau duplikasi dalam khidmat yang diberikan.

Ia juga boleh menonjolkan jurang perkhidmatan yang ada.

Lebih penting lagi, badan-badan berkenaan juga dapat saling melengkapi kepakaran satu sama lain serta dapat bekerjasama dengan lebih strategik.

Jadi, apa lagi yang masih boleh diperbaiki atau diperhalusi?

Menurut Dr Shamsuri, beliau melihat Direktori ini sebagai "langkah pertama yang baik". Bagaimanapun ia masih boleh diperbaiki.

Pertama, kata beliau, ia ia boleh dihatnya sebagai 'bantuan yang berasaskan keperluan', bukan hanya yang 'berasaskan pertubuhan'.

"Misalnya, pengguna mungkin tidak tahu nama program yang diperlukan. Mereka hanya tahu bantuan yang mereka perlukan."

Jadi, jika Direktori M³+ boleh mengenal sesuatu bantuan yang pemohon perlukan, contohnya penjaga warga emas, atau mereka kehilangan pekerjaan, atau mereka dengan anak yang menghadapi masalah di sekolah.

Jika sistem itu boleh menjadi "lebih mesra pengguna" kata Dr Shamsuri, ia boleh secara proaktif mencadangkan saluran bantuan yang berkaitan.

Maka itu, beliau mencadangkan diwujudkan kakitangan yang menjadi 'orang tengah'.

Kakitangan ini bukan sahaja akan membantu memaklumkan pengguna tentang pertubuhan yang boleh didekati, tetapi juga menghubungi pertubuhan itu dan berbincang tentang bantuan yang diperlukan.

Pendeknya, menawarkan khidmat penyelaras yang menjadi penghubung bagi para peminta bantuan.

Sumber : BERITA Mediacorp/AI/fd
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita