Skip to main content

Singapura

analisisBERITA: Sejauh mana anda sedar akan beban kewangan jagaan demensia?

Satu tinjauan oleh Dementia Singapore baru-baru ini mendapati bahawa kos menjaga seorang pesakit demensia ialah S$24,000 setahun atau S$2,000 sebulan.

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Satu tinjauan oleh Dementia Singapore baru-baru ini mendapati bahawa kos menjaga seorang pesakit demensia ialah S$24,000 setahun atau S$2,000 sebulan.

Itupun setelah ditolak pelbagai subsidi daripada pemerintah.

Dengan kos menjaga pesakit demensia dijangka terus meningkat pada masa depan, adakah masyarakat sedar akan beban kewangan ini dan apa yang boleh dilakukan untuk menanganinya?

Menurut pakar perubatan geriatrik dari Alami Clinic, Dr Nur Farhan Alami, jika kita mengatakan bahawa diagnosis penyakit demensia adalah selama tiga hingga lima tahun, beliau pernah pernah melihat orang yang hidup dengan demensia selama sehingga 10 hingga 15 tahun.

"Mereka hidup lama, jadi anda akan menjaga mereka bagi tempoh yang lama. Kos jagaan diramalkan tinggi pada masa hadapan.

"Ia kerana inflasi dan kos jagaan kesihatan yang semakin meningkat. Itu adalah cabarannya," kata Dr Nur Farhan.

Jadi, ditambah dengan jangka hayat rakyat Singapura juga kini lebih panjang, Dr Nur Farhan berkata ini sekali gus akan menyumbang kepada kos jagaan bagi seseorang pesakit demensia.

BILANGAN PESAKIT DEMENSIA CECAH 152,000 JELANG 2030

Menurut kajian Institut Kesihatan Mental (IMH), bilangan warga Singapura berusia 60 tahun ke atas yang menghidap demensia meningkat daripada sekitar 52,000 orang pada 2013 kepada sekitar 74,000 pada 2023.

Menurut Kementerian Kesihatan (MOH) pula, jumlahnya diramal terus bertambah kepada sekitar 152,000 orang menjelang tahun 2030.

Ini bermakna, tidak lama lagi, lebih ramai keluarga Singapura akan berdepan dengan cabaran menjaga anggota keluarga yang merupakan pesakit demensia.

Bagi pesakit demensia yang parah, kos menjaga seorang pesakit seperti ini boleh lebih tinggi lagi, iaitu sekitar S$4,000 sebelum subsidi.

"Kos kesihatan semakin meningkat dan bukan sahaja pesakit ini memerlukan ubat, kadang-kadang ada komplikasi demensia yang memerlukan mereka ke hospital.

"Mungkin mereka juga mempunyai masalah memakan dan keputusan dibuat untuk menggunakan 'tube-feeding' atau memberi mereka makanan melalui tiub," jelas Dr Nur Farhan.

Pesakit demensia juga, kata beliau, bergantung kepada penjaga mereka untuk menjalani kehidupan seharian. Maka itu, kehilangan pendapatan antara cabaran utama yang dihadapi para penjaga.

"Penyakit demensia menjejas daya upaya seseorang untuk berdikari. Dia perlukan pertolongan untuk ke bilik air, untuk mandi, misalannya. Kalau seorang pesakit demensia itu memerlukan jagaan sepanjang hari dan malam, penjaga itu mungkin tidak boleh keluar bekerja.

"Bila mereka tidak boleh keluar bekerja, mereka tidak boleh menanggung kos ini. Dan ini adalah kehilangan pendapatan bagi penjaga itu," kata beliau.

Bermakna, bebanan kos yang ditanggung oleh keluarga pesakit boleh menjadi bertambah besar lagi.

APA LAGI BOLEH PEMERINTAH & MASYARAKAT LAKUKAN?

Maka tidak hairanlah, hampir 9 daripada 10 penjaga yang ditinjau menyatakan lebih banyak usaha perlu dilakukan bagi menyokong keluarga pesakit demensia.

Tinjauan itu mendapati, skim-skim pemerintah membantu mengurangkan sehingga sekitar 36 peratus kos jagaan seorang pesakit demensia.

Jadi apa lagi yang boleh dilakukan oleh pihak pemerintah misalnya? Berikut cadangan Dr Nur Farhan:

"Saya rasa sudah ada skim seperti Eldershield, Careshield Life yang boleh membantu. Dan kadangkala ahli keluarga tidak tahu mereka boleh dapat bantuan seperti ini, terutama sekali di peringkat awal.

"Saya fikir, mengenai soal mengurangkan kos, satu perkara penting adalah untuk mengurangkan (kos) daripada peringkat rawatan spesialis dan hospital.

"Tetapi di Singapura, ia tertumpu kepada spesialis, dan jagaan pakar adalah mahal, kosnya serta-merta melambung. Jadi jika mereka boleh mendapatkan bantuan dalam masyarakat, ia akan menjadikannya lebih dimampui untuk semua orang."

Satu lagi jalan keluar mengawal kos ialah meningkatkan kemahiran para doktor keluarga serta jururawat dalam masyarakat, supaya juga dapat mengendalikan para pesakit demensia.

Ini semua boleh membantu mengurangkan kos perubatan.

Dr Nur Farhan, yang biasa mengendalikan kes-kes demensia menambah, seorang yang menghidap penyakit demensia contohnya juga berisiko mengalami masalah jatuh.

"Seorang yang jatuh itu tidak seharusnya terus pergi ke Jabatan Kemalangan dan Kecemasan (A&E) atau ke hospital. Mungkin seorang GP boleh merawat pesakit ini dahulu," kata beliau.

BUAT PERANCANGAN AWAL

Semestinya salah satu cara menangani kemungkinan perlu mengendalikan kos jagaan demensia adalah mendapatkan perlindungan insurans.

Bagi masyarakat Melayu, Dr Nur Farhan percaya mereka boleh memanfaatkan semangat kekeluargaan yang kuat dan membuat perancangan lebih awal dalam soal kewangan.

Bak kata pepatah, siapkan payung sebelum hujan.

"Secara amnya, masyarakat Melayu sangat mengutamakan nilai kekeluargaan. Mereka mungkin ada ramai adik-beradik atau saudara mara yang boleh menolong.

"Saya rasa yang penting, mereka berkomunikasi untuk merancang apakah yang kita akan lakukan, jika misalnya, ayah atau ibu yang sudah tidak boleh keputusan? Bagaimana kita akan menggunakan wang yang mungkin dipunyai oleh ayah atau ibu untuk membayar kos perubatan?

Berkomunikasi seperti itu nasihat beliau, boleh membawa kepada keputusan dengan cara yang cepat dan paling baik.

Natijahnya, anggota keluarga yang mungkin terkena demensia, dapat lebih dilindungi dari segi kewangan.
Sumber : BERITA Mediacorp/AI/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita