Skip to main content

Singapura

analisisBERITA: Sejauh mana Akta Pencemaran Jerebu Rentas Sempadan berkesan?

Kini sudah 12 tahun sejak Akta Pencemaran Jerebu Rentas Sempadan (THPA) diperkenalkan pemerintah Singapura.

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 22 Oct 2026 10:29PM Dikemas Kini : 06 Nov 2026 04:12AM
BERITA analysis: How effective is the Transboundary Haze Pollution Act?
  • Singapore’s Transboundary Haze Pollution Act (THPA) came into force in 2014 to protect residents’ health and the environment from forest and peatland fires overseas, but there have been no prosecutions or convictions.
  • Six companies received preventive notices in 2015 and 10 more received them this month; the notices are not proof of wrongdoing, while investigations into four companies are ongoing.
  • Assoc Prof Razwana Begum of SUSS explained that enforcement is difficult because evidence about landowners, the causes of fires and their links to haze is outside Singapore.
  • Singapore is still considering legal and economic action, but needs to balance diplomatic relations and work with neighbouring countries to share information to reduce fires and prevent haze from recurring.
Dijana oleh AI

SINGAPURA: Kini sudah 12 tahun sejak Akta Pencemaran Jerebu Rentas Sempadan (THPA) diperkenalkan pemerintah Singapura.

Ia bertujuan menghukum syarikat atau individu yang menyebabkan jerebu di Singapura, dengan membakar hutan dan gambut di luar negara.

Sejak berkuat kuasa pada 2014, belum ada syarikat mahupun individu didakwa dan disaman di bawah akta itu.

Pada 2015, enam syarikat menerima notis langkah pencegahan, namun siasatan terhadap empat daripadanya masih berterusan sehingga kini.

Bulan ini pula, 10 syarikat menerima notis yang sama.

Notis ini bagaimanapun tidak bermakna syarikat-syarikat ini bersabit kesalahan di bawah THPA.

Jadi mengapakah begitu sukar mengenal pasti dan membawa syarikat-syarikat bersalah ke muka pengadilan?

ANTARA CABARAN TERBESAR PENGUATKUASAAN

Prof Madya Razwana Begum, yang mengetuai Program Sarjana Keselamatan Global dan Strategi di Universiti Sains Sosial Singapura (SUSS) berkata akta ini sebenarnya penting. Ini kerana ia menunjukkan Singapura cukup serius dalam usahanya melindungi kesihatan penduduk dan alam sekitar meskipun pencemaran udara tidak berlaku di sempadan kita.

Namun, cabarannya timbul apabila ia perlu dilaksanakan terhadap syarikat-syarikat di luar negeri.

Bukti yang kuat diperlukan untuk menunjukkan sesebuah syarikat itu benar-benar bertanggungjawab, kata beliau.

"Contohnya, kalau kita hendak tahu siapa yang menguruskan tanah tersebut, bagaimana kebakaran itu bermula dan sejauh mana kebakaran itu menyumbang kepada jerebu di Singapura.

"Tambahan pula, bukti dan maklumat ini berada di luar negara - bukan di Singapura. Ini adalah salah satu cabaran," jelas Prof Razwana.

Sungguhpun THPA mungkin belum berjaya mendakwa dan menghukum mana-mana syarikat atau individu yang bertanggungjawab, Prof Razwana menekankan, ia masih berfungsi sebagai langkah pencegahan terhadap syarikat-syarikat.

"Walaupun kita belum ada sabitan, kewujudan undang-undang ini sekurang-kurangnya memberi amaran dan isyarat kepada syarikat bahawa siasatan akan dilakukan dan tindakan akan diambil.

"Untuk syarikat yang besar juga, ini adalah satu peringatan kepada mereka sebab apabila mereka melakukan perkara yang mencemarkan sekitaran, ini boleh menjejas keyakinan pelabur, pelanggan dan masyarakat," kata pensyarah SUSS itu.

PERTIMBANGKAN HUBUNGAN DIPLOMATIK

Meskipun berdepan dengan cabaran melaksanakan undang-undang THPA, pemerintah Singapura menegaskan bahawa ia tidak akan menghentikan usaha mengambil tindakan terhadap syarikat-syarikat yang bertanggungjawab.

Awal minggu ini, Menteri Kanan merangkap Menteri Penyelaras Keselamatan Negara K Shanmugam berkata Singapura akan menggunakan segala langkah undang-undang mahupun ekonomi yang ada untuk memberi tekanan kepada syarikat-syarikat terbabit.

Namun, mengambil tindakan undang-undang bukan sekadar keputusan yang berdasarkan undang-undang.

Misalnya apabila Singapura cuba menggunakan THPA pada 2015, timbul rasa kurang senang di Indonesia.

Antaranya mendakwa, Singapura mencerobohi kedaulatan Indonesia.

Lantas, sejauh manakah pertimbangan tersebut mempengaruhi pendekatan sesebuah negara dalam menguatkuasakan undang-undang seperti THPA?

Pada pandangan Prof Razwana, Singapura mengambil pendekatan yang agak pragmatik:

"Di satu pihak, Singapura mempunyai undang-undang untuk melindungi kepentingan penduduknya.

Pada masa yang sama, kita juga bekerjasama dengan negara jiran untuk menangani masalah kebakaran dan puncanya."

Prof Razwana juga menambah, dalam melaksanakan usaha-usaha ini, matlamat utamanya adalah untuk mengurangkan kebakaran dan memastikan masalah jerebu tidak berulang lagi.

IKHTIAR APA LAGI BOLEH DILAKUKAN?

Namun, dengan jerebu rentas sempadan terus menjadi cabaran serantau tahun demi tahun, usaha menanganinya mungkin memerlukan lebih daripada undang-undang sesebuah negara.

Menurut Prof Razwana, selain undang-undang, turut penting adalah kerjasama dalam perkongsian maklumat contohnya.

"Maklumat tentang pemilikan tanah, syarikat yang menguruskan kawasan ladang ataupun data mengenai kebakaran ini ada di negara lain.

"Kalau maklumat ini kita boleh dapat, lebih mudah untuk kita berkongsi maklumat. Jadi lebih senang untuk menjalankan siasatan dan untuk kita ambil tindakan di bawah undang-undang THPA," jelas beliau.

Langkah-langkah yang diambil tambah pakar akedemik itu, perlulah mempunyai kesan yang berpanjangan.

"Ia tidak boleh menjadi sesuatu yang kita lakukan secara berulang setiap tahun.

"Ini adalah salah satu perkara yang kita perlu ambil tindakan seterusnya dan menggalakkan syarikat-syarikat lebih bertanggungjawab terhadap persekitaran alam," tekan Prof Razwana.

Sumber : BERITA Mediacorp/QA/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita