Skip to main content

Singapura

analisisBERITA: Perubahan dasar subsidi diesel M'sia - Apa kesannya kepada pengguna SG?

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Langkah Malaysia memansuhkan subsidi diesel baru-baru ini - yang menyebabkan harga diesel naik hampir 60 peratus - dijangka tidak mempunyai kesan ketara kepada Singapura buat jangka masa terdekat.

Namun, pakar ekonomi Saktiandi Supaat menambah, Singapura masih "tidak boleh lari" daripada risiko kenaikan harga barangan eksport dari Malaysia.

Ini seandainya firma-firma di Malaysia memilih untuk meningkatkan harga produknya bagi menanggung kos operasi lebih tinggi.

HARGA DIESEL NAIK RM1.20 SELITER

Harga minyak diesel di Semenanjung Malaysia kini menjulang RM1.20 (S$0.34) seliter, menjadi RM3.35 (S$0.96) setiap liter selepas kerajaan beralih kepada pelaksanaan subsidi secara bersasar, berkuat kuasa awal minggu ini.
Di bawah pelaksanaan itu, kumpulan-kumpulan tertentu - khususnya golongan berpendapatan rendah, kenderaan pengangkutan awam darat dan nelayan - terus menerima subsidi diesel.

Kenderaan logistik berkelayakan pula masih boleh mendapatkan diesel pada harga RM2.15 (S$0.60) seliter menerusi kaedah 'fleet card'.

BAGAIMANA KESANNYA - HARGA AKAN NAIK?

"Selagi ada subsidi untuk para nelayan, kenderaan logistik, kenderaan barangan, kenderaan-kenderaan ini yang digunakan untuk menghantar barangan di dalam Malaysia dan juga kepada mereka yang menggunakannya untuk keluar masuk Singapura, saya rasa impaknya sekarang masih belum ketara," kata Encik Saktiandi, Ketua Strategi Pertukaran Asing Pasaran Global Maybank.

Bagi mengurangkan kesan berpotensi ke atas pendapatan mereka, kerajaan Malaysia menghulurkan bantuan tunai RM200 (S$57) sebulan kepada pemilik kenderaan yang layak di bawah program Budi Madani.

Pun begitu, sebilangan mereka mengeluh kesah tentang betapa jumlah itu tidak memadai memandangkan harga diesel kini ditentukan oleh kuasa pasaran.

Bermakna, mereka boleh menjangkakan naik turun harga diesel.

"Mungkin ada pengeksport ataupun firma-firma yang akan menggunakan peluang ini untuk menaikkan harga barangan mereka. Jadi itu adalah saya rasa risiko kita mungkin. Harga minyak naik, harga barangan eksport Malaysia ke Singapura naik, terus meningkat kepada harga di Singapura," ujar Encik Saktiandi.
PAKEJ KHIDMAT BAS PERSIARAN M'SIA DIJANGKA NAIK 15-30%

Hakikatnya, industri perkhidmatan tertentu di Malaysia sudahpun terasa beban daripada rasionalisasi subsisi diesel yang dilaksanakan "secara mendadak".

Para pemain industri khidmat bas pelancongan Malaysia, misalnya, menyatakan kos atau kadar pakej yang ditawarkan pengendali dijangkan naik antara 15 hingga 30 peratus.

Media Malaysia menukil Persatuan Pengusaha Bas Seluruh Malaysia (PMBOA) sebagai menyatakan kadar diesel bersubsidi bagi bas ekspres ditetapkan pada sekitar 2,900 liter sebulan.

Namun menurut persatuan tersebut, jumlah diesel itu hanya boleh bertahan untuk 15 hari, bermakna bagi baki setengah bulan lagi, bas ekspres mungkin perlu beroperasi dengan diesel tidak bersubsidi.

Persekutuan Pelancongan Malaysia juga ditukil The Star sebagai menyatakan kos khidmat pelancongan akan naik 27 peratus.

Ini demi mengimbangi kos diesel lebih tinggi yang tidak mampu diserapnya.

Persatuan Pengendali Bas Pesiaran Semenanjung menyatakan para pengendali tidak mampu untuk menyerap kos diesel lebih tinggi itu kerana perlu menanggun banyak perbelanjaan lain. Ini seperti kos menyenggara bas dan alat ganti kenderaan, bil serta gaji pekerja, di samping membayar perkhidmatan cukai pada kadar 8 peratus sekarang.

Dalam erti kata lain, kesannya akan melimpah kepada pelanggan, termasuk bagi pelancong Singapura yang ke Malaysia.

Namun sejauh mana atau sebesar mana sebenarnya implikasi kos ini akan menimpa pengguna Singapura secara amnya?

Bagi Encik Saktiandi, walaupun beliau memberi bayangan produk eksport dari Malaysia mungkin terkesan, sukar meramalkan sebesar mana kenaikan harga akan berlaku - kerana beberapa faktor memainkan peranan untuk mempengaruhi harga.

"Seperti kita lihat harga ayam, harga telur, jika naik, 10 peratus atau 5 peratus mungkin akan terkesannya barang. Bergantung kepada sama ada barang-barang itu masuk di dalam bakul CPI Singapura dan sama ada perkadaran atau peratusan barangan yang kita gunakan dengan lebih kerap," jelas Encik Saktiandi.

"Umpamanya, barang-barang bahan mentah untuk masak - sayur, ikan, daging, telur - mempunyai proportion yang mungkin tidak terlalu tinggi tetapi mungkin akan memberi kesan yang tertentu kepada CPI teras di Singapura."

APABILA SUBSIDI BAGI RON95 JUGA TERJEJAS...

Encik Saktiandi menambah kesan daripada rasionalisasi subsidi mungkin lebih jelas apabila ia seterusnya melibatkan petrol RON95.

Kerajaan Malaysia menyatakan ia akan melancarkan rasionalisasi subsidi petrol bagi RON95 pada separuh kedua tahun ini.

"Saya rasa paling terdekat impaknya adalah dari segi rasionalisasi subsidi petrol. Itu yang kita perlu ketahui dari segi risiko dari Malaysia. Sama ada akan dua peringkat atau tidak. Saya rasa tidak akan ada dua peringkat untuk RON95.

"Mungkin mereka akan lebih menolong mereka yang lebih mudah terdedah yang perlu menggunakan RON95 atau petrol untuk bekerja dan juga mereka yang berpendapatan lebih rendah untuk mendapat lebih banyak subsidi," ujar Encik Saktiandi.

Menurut Bank Pelaburan Maybank, harga RON95 perlu naik 32 sen atau 15.6 peratus mulai Julai ini untuk memberi penjimatan subsidi RM4.1 bilion (S$1.17 bilion).

Ia bagi membantu kerajaan Malaysia memenuhi sasaran menjimatkan RM11.5 bilion (S$3.29 bilion) dalam bentuk perbelanjaan subsidi, seperti yang ditetapkan dalam Belanjawan 2024.
Sumber : BERITA Mediacorp/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita