Skip to main content

Singapura

analisisBERITA: Persepsi penggunaan vape/etomidate yang masyarakat harus tangani

Persepsi bahawa vape adalah alternatif kurang berbahaya kepada rokok kini tidak lagi boleh dipertahankan, ekoran timbulnya kes-kes di mana vape didapati dibubuh dengan bahan terlarang, khususnya etomidate.

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Persepsi bahawa vape adalah alternatif kurang berbahaya kepada rokok kini tidak lagi boleh dipertahankan, ekoran timbulnya kes-kes di mana vape didapati dibubuh dengan bahan terlarang, khususnya etomidate.

Pemerintah kini memperhebat usaha untuk mencegah vape dan etomidate daripada terus disalahgunakan sebagai akses kepada dadah.

Walaupun vape diharamkan di Singapura, perangkaan pihak berkuasa menunjukkan ada 2,000 kes pelajar menggunakan atau memiliki vape tahun 2024.

Persepsi bahawa ia kurang memudaratkan kesihatan menyumbang kepada penggunaan vape yang semakin berleluasa.

Bagi perokok, ia diambil sebagai alternatif terhadap produk tembakau.

'POP LUNG' - ANTARA BAHAYA VAPE & ETOMIDATE

Juga dikenali sebagai e-rokok, vape datang dalam pelbagai bentuk - dua yang utama ialah jenis pakai buang dan pod. Cecair yang digunakan dalam alat vape pula hadir dalam pelbagai perisa berbanding rokok biasa.

Namun hakikatnya, kajian-kajian menunjukkan, pengguna vape boleh mengalami "popcorn lung", iaitu keradangan pada saluran paru-paru menyebabkan mereka sukar bernafas.

Jika diambil buat tempoh jangka panjang, produk vape boleh menjejas cara saluran darah berfungsi dan juga meningkatkan risiko penyakit kardiovaskular.

Kini, timbul pula jenis vape yang lebih berbahaya, iaitu Kpods yang dibubuh dengan dadah etomidate - bahan terlarang di bawah Akta Racun Singapura.
Etomidate ialah sejenis ubat bius yang digunakan dalam prosedur perubatan, yang memberi kesan sedatif dan hipnotik.

MENGAPA MASIH BERLELUASA?

Cik Nur Azlinda, Pengasas Ultimate Friends SG, sebuah inisiatif masyarakat yang menyokong usaha antidadah berkata: "Kebanyakan penjual vape, mereka melalui platform media sosial dan juga seperti dropship iaitu pengedar atau penghantaran rahsia untuk mengedar produk vape ini yang dicampur dengan barang terlarang.

Jadi produk ini setiap kali, yang selalunya dia akan sampai kepada penerima tidak berlabel dengan jelas. Jadi, ramai pengguna tak sedar apa sebenarnya yang mereka sedang menyedut melalui vape ini.

"Sampai bila kita dah mengambil satu tahap yang boleh membuat kita berkhayal. Dari situ baru kita sedar yang barang itu adalah termasuk dengan kategori dadah."

SEPERTIGA VAPE YANG DIUJI DIDAPATI ADA ETOMIDATE

Baru-baru ini, ujian rambang pihak berkuasa ke atas 100 alat vape mendapati sepertiga daripadanya dibubuh etomidate.

Ini satu kebimbangan serius, dengan Penguasa Sains Kesihatan (HSA) memberi amaran bahawa menyedut agen anestetik itu secara langsung boleh menyebabkan kesan-kesan sampingan seperti kekejangan, masalah pernafasan dan sawan.

Cik Azlinda berkata pengubahsuaian ke atas produk vape sebenarnya bukan sesuatu yang baru wujud tetapi ia sudah menjadi kaedah yang diambil para penyalah guna dadah untuk mengelak daripada dikesan.

"Dalam masa lima tahun lepas begitu, mereka nak elakkan daripada kena tangkap, daripada bawa perkakas yang mendedahkan (perbuatan mereka) yang senang kena tangkap. Jadi kebanyakan penyalah guna dadah, mereka mengubah suai pod ini untuk letak bahan cecair dadah di dalam, terutamanya methamphetamine dan ketamine sebab benda itu mudah dijadikan cecair.

"Tapi sebabkan sekarang saya rasa trend itu sudah menjadi berleluasa. Jadi semua orang dah tahu dan 'okey ini ada cara lagi satu untuk mengelakkan daripada ditangkap'. Sebab itu datangnya benda ni," ujar Cik Azlinda.

"Saya rasa pengedar ini pun bagi mereka, mereka cuma inginkan keuntungan. Jadi pada siapa yang mereka jual mereka tidak kiralah, tetapi antara yang membeli vape ini juga adalah remaja, belia."

APABILA TERJEBAK DADAH TANPA SEDAR

Lebih membimbangkan adalah betapa vape mudah dijangkau oleh golongan pelajar.

Lantas, tidak mustahil seseorang boleh terjebak dengan dadah kerana terdedah kepada etomidate, walaupun itu bukan niat sebenar mereka mula menggunakan vape.

Hal itu benar-benar berlaku, menurut Encik Ahmad Ghazali Nordin, kaunselor bebas di InicioPathways iaitu sebuah pertubuhan motivasi bagi pesalah dan bekas pesalah serta keluarga mereka.

Encik Ahmad berkongsi beliau pernah didatangi sekitar lima individu setakat ini, dalam lingkungan usia 20-an tahun, yang terpalit dengan dadah secara tidak sedar angkara vape.

Apa yang bermula sebagai keinginan untuk mencuba alternatif kepada rokok berakhir dengan mereka 'tersangkut' pada bahan terlarang.

"Dia 'upgrade' daripada dengan menggunakan vape dan sekarang ini, dah terlibat dengan kancah dadah. Jadi ia melibatkan perkara yang sangat-sangat serius."

"Mereka tanpa sedar, kira kurang sedar kerana kurang berpengalaman. Kira mungkin yang baru-baru berjinak untuk cuba (vape), mereka ingat macam ini hanya sekadar mabuk kerana tidak biasa dengan perisa vape," kongsi beliau.

"Kadang-kadang mereka sendiri yang menjadi khayal ataupun menjadi tidak normal. Mereka pun tak sedar. Mereka katakan "oh ini sedap, rasa dia baik dari merokok". Sedangkan itu adalah benda yang dah bercampur dengan bahan yang terlarang. Jadi bila dah kerap kali diambil dan digunakan, hendak berhenti, dia agak sukar kerana sudah masuk dalam ketagihan."

IBU BAPA KHUSUSNYA PERLU AMBIL PEDULI

Pemerintah Singapura kini mahu menyenaraikan etomidate sebagai dadah Kelas C di bawah Akta Penyalahgunaan Dadah (MDA), bermakna hukuman lebih berat bagi pesalahnya.
Seiring usaha pemerintah, Encik Ahmad menekankan adalah sama penting bagi masyarakat terutama sekali ibu bapa mengambil peduli tentang bahaya vape dan etomidate.

"Seluruh ahli keluarga juga kena lebih memantau dan lebih mengawasi keadaan ini supaya kita lebih tahu dan lebih memahami. Kalau kita lihat daripada sudut bentuk vape sendiri, ia boleh berbentuk seperti pena ataupun bentuk-bentuk yang tanpa kita sedari.

"Jadi ibu bapa harus mengetahui, atau penjaga ataupun yang di sekelilingnya, perlu mengetahui untuk kita membanteras ataupun menghentikan gejala ataupun keadaan yang kurang sihat ini," ujar beliau.

Cik Azlinda pula menambah bahawa bukan mudah untuk kita membezakan antaranya.

Ini kerana semua vape itu kelihatan sama dan tidak ketara sebarang perbezaan.

"Sebab cecair di dalam pod itu sendiri, kadang-kadang ada yang warna hitam, ada yang warna cokelat.

"Apa pun, kita tidak akan tahu. Jadi, untuk mengelakkan lebih baik tidak terus pesan benda ini," nasihat Cik Azlinda, yang juga seorang relawan serta rakan sokongan bersama Persatuan Anti-Narkotik Singapura (SANA) dan terlibat dalam kempen Dadah Itu Haram oleh Biro Narkotif Pusat (CNB).

TOLAK TEPI STIGMA MASYARAKAT

Cik Azlinda menarik perhatian bahawa stigma masyarakat mungkin menyebabkan ibu bapa berasa malu untuk meminta bantuan bagi anak mereka yang sudah terjebak dengan dadah dan memerlukan pemulihan.

"Jadi kalau kategori itu sudah menjadi sesuatu ketagihan, saya rasa tak salah kalau kita hantar anak kita ke pusat pemulihan melalui detoks dekat NAMS (Khidmat Pengurusan Ketagihan Nasional), bukannya di DRC (Pusat Pemulihan Dadah), untuk mengelakkan daripada anak kena tangkap semua," ungkapnya.

Kesimpulannya, masyarakat perlu mempunyai persepsi yang betul tentang vape, etomidate dan cara menanganinya.
Sumber : BERITA Mediacorp/FZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita