Skip to main content

Singapura

analisisBERITA: Perlukah masyarakat Melayu-Islam fikir ulang biaya pendidikan universiti?

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Jumlah pelajar Melayu-Islam yang lulus daripada pelbagai universiti tempatan terus melonjak, dengan angkanya meningkat seganda dari 5.5 peratus pada 2010 kepada hampir 11 peratus dalam tempoh sedekad.

Dengan yuran serta kos pendidikan universiti juga terus menunjukkan trend yang sama, timbulnya persoalan - adakah ia masih tanggungjawab ibu bapa semata-mata?

CARA BIAYA KOS PENDIDIKAN UNIVERSITI

Daripada pengamatan Encik Afiq Syed Ismail selama 12 tahun sebagai seorang penasihat kewangan, kos pendidikan universiti tempatan berkisar antara S$20,000 hingga S$50,000 setahun.

Ini termasuk kos selain yuran tuisyen, seperti biaya bahan pelajaran, duit tambang, belanja harian, penginapan jika tinggal di asrama dan lain-lain lagi.
(Gambar: NTU)
Meskipun angka keseluruhan bergantung kepada jurusan yang diambil si pelajar, hakikatnya, biaya untuk menggenggam segulung ijazah bukanlah sedikit.

Untungnya bagi masyarakat Melayu-Islam di sini, Skim Yuran Tuisyen Pengajian Tinggi (TTFS) MENDAKI boleh menampung antara 50 hingga 100 peratus biaya tuisyen, bagi mereka yang layak.

Namun menurut Encik Afiq, terdapat cara lain yang boleh dipertimbangkan termasuk penglibatan para mahasiswa itu sendiri.

"Dalam masyarakat lain, kita perhatikan, mereka lebih cenderung menggunakan biasiswa untuk menanggung kos pelajaran. Ada ambil pinjaman pelajar atau ada yang menanggung kos sendiri melalui pekerjaan sambilan," ujar Pengurus Penasihat Kewangan Financial Alliance itu.

Dengan memikul sedikit sebanyak beban untuk membiayai kos pelajaran mereka sendiri, Encik Afiq yakin, ini akan mendidik mahasiswa itu untuk lebih memahami nilai wang dan menghargai pendidikan universiti mereka.

MASYARAKAT TAKUT AMBIL PINJAMAN WANG

Menurut satu tinjauan rambang BERITA Mediacorp, hampir 50 peratus responden berpendapat, ibu bapa kekal bertanggungjawab untuk menanggung biaya pendidikan anak mereka di peringkat universiti.

30 peratus pula merasakan, pelajar harus membiayai kos pengajian mereka sendiri, manakala 18 peratus berkata, kos universiti sebaiknya dikongsi bersama oleh kedua-dua ibu bapa dan pelajar.

Yang menarik, hanya segelintir - iaitu empat peratus - cenderung mengambil pinjaman wang demi melanjutkan pengajian.

"Kita tengok masyarakat kita. Kadang-kadang elak mengambil risiko, takut sedikit. Kalau kita ambil pinjaman pelajar, boleh bayar tidak?

"Tapi bagi saya, kalau kita tidak ambil ijazah universiti begini, bagaimana kita nak maju? Jadi kepada saya, ambil risiko sedikit, contohnya pinjaman pelajar," kata Encik Afiq kepada BERITA Mediacorp.
(Gambar: Sumber web)
Beliau turut menarik perhatian, pinjaman pelajar di Singapura tidak begitu tinggi berbanding dengan negara-negara maju lain, seperti Australia, United Kingdom (UK) dan Amerika Syarikat (AS), di mana kadar pinjaman dan yuran tuisyen jauh lebih tinggi.

KEPERLUAN PERSARAAN IBU BAPA HARUS DIPERTIMBANGKAN

Tambah Encik Afiq, pinjaman bagi kos pendidikan, sama ada menerusi CPF ibu bapa atau pihak bank, adalah antara alternatif yang sesuai.

Namun, pentingnya juga untuk golongan ibu bapa memastikan, mempunyai simpanan yang cukup untuk keperluan persaraan mereka.

Sebagai bapa kepada dua orang anak, Encik Afiq sudah menanam hasrat untuk membiayai kos pelajaran mereka supaya mereka dapat maju kelak.

Pun begitu, beliau akur, agak bimbang dana persaraan akan terjejas.

"Saya cakap dengan pelanggan saya, anak kita bukan dana persaraan. Jadi kita hendak kena fahamkan dengan anak kita, yang kalau kita tidak mampu hantar anak-anak kepada pelajaran tinggi, bagaimana kita boleh mendapatkan wang itu untuk membayar yuran kursus mereka."

APAKAH NILAI IJAZAH DALAM ERA TEKNOLOGI MODEN HARI INI?

Encik Afiq turut memberi peringatan, melakukan pinjaman perlukan perancangan yang teliti dan terdapat pelbagai pertimbangan yang harus diambil kira ibu bapa dan bakal mahasiswa.

Dalam era teknologi moden hari ini, nilai sebenar menggenggam segulung ijazah juga mungkin berbeza.
(Gambar: Sumber web)
"Sekarang kita tengok, universiti online ada banyak kursus yang percuma untuk anda belajar - pemasaran digital, teknologi, pengekodan, banyak.

"Saya nampak anak-anak kawan saya yang berumur 15, 16 tahun, mereka belajar sendiri dan kemahiran mereka di sektor teknologi sangat tinggi.

"Saya berbual dengan mereka, mereka kata, univesiti? Tidak perlu, tidak mahu ke universiti, mereka dah buat pelajaran sendiri, gunakan sumber-sumber yang percuma - universiti online, YouTube, dia belajar sendiri. Dan sebagai aktiviti sampingan di luar sekolah, dia bina laman web, dia bina aplikasi dan mereka dibayar beribu-ribu," kongsi Encik Afiq.


IBU BAPA DAN ANAK DIGALAK KERAP BINCANG SECARA TERBUKA MATLAMAT PENDIDIKAN

Justeru, yang utama, ibu bapa perlu berbincang dengan anak mereka secara telus sejak dari awal mengenai pendidikan serta pembiayaannya.

Dan ini kata Encik Afiq, bukan usaha sekali sahaja, tetapi harus kerap dilakukan untuk memastikan ada persefahaman antara semua pihak.

"Secara jujurnya, masa umur kita 15, 16 tahun, kita tahu ke apa nak buat? Mesti tidak tahu. Kata hednak jadi doktor, jadi jurutera, kita cakap gitu, tapi tidak pasti.

"Jadi perbincangan ini bagi saya harus dibuat setiap tahun. Berbicara dengan anak-anak kita, adakah kita berada atas landasan? Cadangan kita masih ok tidak, rancangan kita masih ok tidak? Anda masih inginkan yang sama? Kalau tidak, masih boleh tukar."

Sesetengah orang menurut Encik Afiq rasa kehilangan selepas menjalani perkhidmatan negara (NS) dan meskipun ibu bapa mereka ingin membiayai pengajian lanjut, mereka tidak tahu jurusan atau bidang apa yang ingin diceburi.

Justeru, beliau menekankan, harus giat memantau perkembangan anak.

Yang pasti, semua ibu bapa mahu melihat anak mereka berjaya dan akan berusaha sedaya upaya untuk mendorong kejayaan mereka.

Namun, satu keseimbangan baharu mungkin diperlukan, di mana kedua-dua pihak berkongsi tanggungan bagi mencapai impian tersebut, tanpa mengurangkan sikap hormat dan rasa tanggungjawab antara satu sama lain.
Sumber : BERITA Mediacorp/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita