Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

analisisBERITA: Perang terbaru Israel-Hamas berpotensi merebak

Anggaran Waktu Membaca:
Hampir dua minggu sejak konflik terbaru Israel-Hamas tercetus, masih belum jelas apa dan bila kesudahannya.

Yang pasti, angka korban kini mencecah ribuan jiwa di kedua belah pihak, terutama di Gaza yang saban hari dibedil jet-jet pejuang Israel.

Sedang bantuan kemanusiaan dan huraian diplomatik diteruskan, terdapat kebimbangan, perang tersebut mungkin merebak ke Timur Tengah.

Pensyarah Sains Politik NUS Dr Bilveer Singh berkongsi pengamatan, apa alasan Hamas untuk menyerang Israel pada 7 Oktober lalu serta matlamat ingin dicapai.

"Hamas itu hanya tentera gerila, tetapi mereka itu melancarkan sesuatu serangan yang mengejutkan, terus terang mengejutkan, tidak disangka-sangka. Orang mengatakan 9/11 atau Pearl Harbour, dan macam-macam. Hamas tahu mereka tidak boleh menang dalam sesuatu peperangan, tapi mereka masih melancarkan serangan ini. Untuk apa? Untuk memberi isyarat, kita masih ada, kita masih penting, dan cuba menangkan hati rakyat di Gaza. Yang kedua, cuba merosakkan dasar-dasar, baik negara barat, tetapi khususnya, hubungan antara Israel dengan beberapa negara Timur Tengah, khususnya Arab Saudi. Jadi jelas, ada agenda-agenda jangka pendek dan jangka panjang."
(Gambar: AFP/Mahmud HAMS)
WAJARKAN PENDUDUK GAZA DIHUKUM SECARA KOLEKTIF?

Diperkirakan, lebih 1,400 penduduk di Israel terkorban semasa pencerobohan Hamas ke wilayah bersempadan Gaza.

Hampir 200 tawanan pula kini ditahan di Gaza sebagai tebusan.

Sebagai tindak balas, Israel mengisytiharkan perang habis-habisan ke atas Hamas, dan membedil markas-markas kelompok militan itu. Akibatnya, korban di Gaza kini mencecah 3,500 jiwa.

Namun, wajarkah penduduk Gaza secara kolektif terpaksa membayar harga yang mahal atas pencerobohan Hamas itu?

Menurut Dr Bilveer, untuk menjawabnya, perlu memahami keterkaitan antara Hamas dengan penduduk Gaza sejak 2007.

"Kita tidak boleh abaikan sejarah antara Israel dengan Palestin. Yang kedua, dasar-dasar Israel terhadap Palestin, tapi khususnya terhadap Hamas sejak 2007, selepas Hamas jadi kuasa di Gaza, ini adalah kepungan, serangan dan macam-macam. Jadi Hamas itu, selalu dalam keadaan berperang terhadap Israel. Bila saja Israel itu membantai, mengancam Gaza, yang mendapat keuntungan politik adalah Hamas, bukan parti Fatah, kerana Fatah dianggap bekerjasama dengan Israel. Dan saya fikir selepas ini, walaupun Hamas yang timbulkan provokasi, dengan ancaman, pembantaian dan pembunuhan dari Israel, saya fikir Hamas itu akan jadi lebih kuat selepas peperangan ini. Kita ini sedang melihat bagaimana satu serangan pada 7 Oktober sedang bangkit, menjadi lebih luas, lebih besar. Dan ini akhirnya membawa kerugian bagi semua di dunia."
Runtuhan bangunan di selatan Carikan Gaza pada 17 Okt 2023. (Gambar: Mahmud Hams/AFP)
Serangan ke atas Hospital Al-Ahli di Gaza yang meragut sekitar 500 korban jiwa merupakan contoh jelas, bagaimana konflik tersebut menjejas Timur Tengah dan dunia umumnya.

Selain bantahan-bantahan yang tercetus di pelbagai negara, tragedi itu turut menggagalkan usaha diplomatik Presiden Biden bersama para pemimpin Arab, jauh sebelum ia dimulakan.

Ini walaupun Israel menafikan menjadi dalang serangan itu, dan sebaliknya menuduh roket yang dilancarkan kumpulan militan di Gaza.

"Dalam peperangan, kita tidak tahu, bagaimana satu keadaan akan berkembang di lapangan. Yang kedua, siapa yang memberi perintah untuk mengebom rumah sakit ini. Israel mengatakan itu dibuat oleh Hamas, itu tidak masuk akal. Tapi dengan pembatalan apa yang harus jadi satu diplomasi yang luar biasa dari Biden, ini sudah gagal, jadi bererti, kalau ada agenda-agenda tertentu, kalau satunya adalah rosakkan pendekatan antara Israel dengan negara-negara di Timur Tengah, itu sudah hampir dicapai. Bagi saya, ini menonjolkan kerumitan, apa sahaja yang ada di Timur Tengah. Kita belum bicara tentang naiknya harga minyak, apalagi peranan Rusia, China dan Iran di rantau ini, apa lagi kelompok-kelompok radikal yang ada di seluruh dunia, yang boleh mencari keuntungan, memanfaatkan isu ini" tambah Dr Bilveer.
(Gambar: AFP/Menahem KAHANA)
DUNIA PERLU CEGAH PERANG DARIPADA MEREBAK

Menyusuli serangan 7 Oktober, Israel isytiharkan perang serta matlamat untuk menghancurkan Hamas secara keseluruhannya.

Namun, setelah hampir dua minggu, mengapa serangan darat yang begitu lantang dilaung-laungkan masih belum bermula?

Menurut Dr Bilveer, Israel perlu menggantung dahulu atau sebaiknya mengundurkan hasrat mereka itu, memandangkan kesengsaraan yang menimpa penduduk Gaza serta reaksi masyarakat global, khususnya dunia Islam.

"Peranan dunia luar itu penting. Kalau Israel masuk ke Gaza, katakan selepas lawatan Presiden Biden dan PM Rishi Sunak, dan Israel menghancurkan Gaza, saya fikir dunia tidak akan memaafkan Israel. Jadi Israel akan masuk tapi harus mengawal diri. Yang tidak boleh kita ramalkan, adalah bagaimana Hezbollah akan bereaksi, Iran akan bereaksi. Ada banyak faktor yang menghambat Israel untuk menghancurkan atau masuk dalam Gaza dengan secara besar-besaran. Amerika Syarikat telah menyatakan jangan menduduki Gaza, satu. Yang kedua, dunia Islam akan menentang. Ia keadaan yang tidak ada kemenangan kerana kelompok sebegini, pasti akan bangkit, malah selepas peperangan ini, kelompok yang akan bangkit mungkin lebih keras dan lebih ganas daripada apa yang ada hari ini."
(Gambar fail: AFP/Roslan Rahman)
TERDAPAT IKTIBAR YANG BOLEH DITIMBA SINGAPURA

Bagi Singapura, walaupun konflik Israel-Hamas berlaku jauh dari negara ini, masih ada iktibar berharga yang boleh ditimba, tekan Dr Bilveer.

"Jangan percaya yang kita itu tidak akan ada ancaman. Kita ini sudah ada NS lah, Pertahanan Mutlak. Itu tidak bererti tidak ada ancaman. Jadi bererti perlu waspada, kita selalu bersiap sedia, selalu berwaspada, itu satu pendidikan yang paling penting. Jangan lupa garis keretakan kita itu luar biasa, jadi bagaimana kita cari pengukuhan, kekuatan dari insiden ini, kerana ini bukan peperangan antara Islam dengan bukan Islam, bukan itu, ia lebih dari itu."

Namun, cubit peha kanan, peha kiri terasa juga.

Begitu umumnya reaksi umat Islam terhadap konflik terbaru yang menjejas teruk penduduk Gaza.

Terutama sekali apa yang dilihat sebagai tindakan, tekanan serta respons berat sebelah dunia barat ke atas konflik Israel-Hamas.

"Ini sudah begitu lama terjadi, di mana Israel itu boleh lakukan apa sahaja, dan selalu disokong oleh negara barat dan yang selalu dirugikan adalah kaum Islam di Palestin. Jadi bagaimana kita hendak menerima ketidakadilan ini, kelemahan dari segi moral ini, itu satu. Ini cara kita dan jawapannya adalah geopolitik. Selalunya ada geopolitik, kepentingan-kepentingan geopolitik, terjadi ini."

Menggulung pengamatan beliau, Dr Bilveer turut menggesa semua pihak supaya tidak melihat isu Israel-Hamas daripada satu sudut sahaja.

Ini memandangkan, kenyataan yang berlaku sering jauh lebih kompleks, dan kedua-dua Israel dan Hamas turut menyumbang kepada kemelut yang berterusan ini.

"Perlu dua tangan untuk bertepuk. Jadi kalau kita dapat pendidikan, kalau kita dapat mensosialisasikan apa sedang berlaku di sana itu adalah sesuatu yang kompleks, sangat kompleks! Dari sudut sejarah, geopolitik, geoekonomi. Bila kita boleh memahami katakan, apa benar terjadi, mari kita tahan diri, dan bagaimana memicu keamanan, dan bukan konflik. Jangan membawa isu-isu orang lain ke rumah kita, itu bahaya sekali."

Pemerintah Singapura berpegang kepada 'huraian dua negara" bagi Israel dan Palestin.
 
Sumber : BERITA Mediacorp/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan