Skip to main content

Singapura

analisisBERITA: Pengiktirafan UNESCO dorongan untuk terus lestarikan warisan kebaya

Pengiktirafan kebaya sebagai Warisan Tidak Ternilai UNESCO pada Rabu (4 Dis) harus dianggap sebagai dorongan bagi masyarakat Melayu terus melestarikan warisan turun-temurun itu yang kerap dipandang ringan, kata budayawan Som Said.

Anggaran Waktu Membaca:
analisisBERITA: Pengiktirafan UNESCO dorongan untuk terus lestarikan warisan kebaya

(Gambar: CNA/Grace Yeoh)

SINGAPURA: Pengiktirafan kebaya sebagai Warisan Tidak Ternilai UNESCO pada Rabu (4 Dis) harus dianggap sebagai dorongan bagi masyarakat Melayu terus melestarikan warisan turun-temurun itu yang kerap dipandang ringan, kata budayawan Som Said.

Sejauh mana ia menjadi tanggungjawab bersama masyarakat untuk memastikan kesinambungan busana warisan Melayu itu?

Bagaimana anak muda boleh digalakkan untuk berasa bangga memakai kebaya dalam konteks moden, agar tidak hilang ditelan zaman?

Kebaya - pakaian tradisional yang ikonik dan sinonim dengan orang Melayu sudah lama menjadi lambang keanggunan, warisan dan identiti masyarakat Nusantara.

Tetapi sayangnya, dalam kalangan masyarakat Melayu tempatan, busana kebaya kini sekadar digayakan semasa sambutan Hari Raya, di majlis-majlis perkahwinan atau sempena persembahan kebudayaan, bukan seperti dahulu.

"Saya melihat ibu saya sendiri memakai kebaya, semasa saya membesar. Hari-hari dia pakai kebaya - pergi pasar, di rumah, jalan-jalan pergi majlis.

"(Sekarang) Dari pemakaian hari-hari, memang sudah kurang sedikit kerana kita punya kegiatan bekerja dan mungkin tidak selesa. Tapi ada yang terlupa, kebaya cantik. Ia adalah antara warisan hidup yang masih tetap kekal hingga kini," kata Som Said yang juga Anggota Kawan Kebaya dan Pengasas Sri Warisan.

Kebaya kembali mendapat lebih perhatian selepas berjaya disenaraikan sebagai Warisan Budaya Tidak Ternilai UNESCO, hasil usaha sama lima negara di Asia Tenggara - Singapura, Malaysia, Indonesia, Brunei Darussalam dan Thailand.

Menyifatkan pengiktirafan itu sebagai membanggakan, budayawan Som Said berharap ia dapat menjadi dorongan untuk terus memelihara dan melestarikan warisan yang perlu diambil berat oleh semua pihak.

Lebih daripada sekadar pakaian, Cik Som berkata setiap kebaya menggabungkan nilai budaya, estetik dan artistik.

"Ketiga-tiga nilai ini ada dalam kebaya kita, yang kita sebutkan sebagai warisan budaya. Jadi, budayanya, pakaiannya, cara memakainya dan peradabannya, jadi sangat-sangat mustahak dikekalkan, dan ia bukan hanya tentang, oh! sudah iktiraf, iktiraf, itu saja.

"Tidak. Ia akan menjadi sesuatu yang kita akan teruskan, ia bertindak sebagai pendorong. Yang kita turunkan dari satu generasi ke satu generasi, tentang kebaya, bukan sesuatu yang baharu kan? Tapi kita masyarakat Melayu sendiri di Singapura, ambil sikap mudah," ujarnya lagi.

Pengiktirafan UNESCO hasil usaha sama lima negara di Nusantara ini juga dapat dijadikan pemangkin bagi melihat pelbagai ciri dan warisan budaya yang dikongsi bersama, demi mempererat keharmonian kaum dan bangsa.

"Dengan pengiktirafan ini, ini bererti yang kita lebih mengetahui bahawa kebaya bukan hanya dipakai oleh orang-orang Melayu di Singapura, tetapi juga masyarakat majmuk di Singapura yang lain. Kita sudah lebih mengenali dan lebih mengetahui tentang negara-negara jiran.

"Mereka juga pakai kebaya. Mereka juga menggunakan kebaya untuk sesuatu yang mencerminkan warisan, identiti. Jadi ini menjadi kekuatannya," kata Cik Som Said.

Cik Som akur pakaian kebaya terus mengalami perubahan dari masa ke semasa.

Untuk melestarikannya, penyesuaian diperlukan supaya mengikuti perkembangan zaman.

"Pakai kebaya, tapi dalamnya ada 'inner', kebayanya dilepaskan. Jadi sudah berbeza, maknanya dari segi penampilan. Tetap sopan.

"Dan kainnya adalah kain yang satin. Sudah tidak pakai batik atau songket, tapi ditarik ke atas. Jadi, mereka menggunakan caranya, gaya masa kini. Selepas kita sudah lestarikan dan promosikan, kita ciptakan (kebaya).

"Jadi kebayanya tetap inspirasi dari kebaya tradisional. Tapi kita terus merubahnya untuk menyesuaikan," katanya.

Namun begitu, lebih banyak usaha diperlukan untuk meningkatkan kesedaran dan mempromosikan kebaya sebagai warisan budaya Melayu, tegas Cik Som Said.

Salah satu aspek penting, tambah beliau, adalah dari segi pendidikan.

"Mungkin banyak pendekatan yang boleh dilakukan. Misalnya, sementara kita menunggu pengiktirafan daripada UNESCO, pameran-pameran bergerak sudah diadakan.

"Kemudian, mungkin juga organisasi-organisasi boleh menghidupkan kembali ratu kebaya, ratu kebaya, yang saya rasa sudah lama tidak ada. Jadi ratu kebaya, bukan hanya untuk remaja, tetapi juga untuk ibu-ibu anggun.

"Mungkin program pendekatan seni oleh NAC atau PA boleh juga mengadakan kegiatan keluarga, pameran yang menggabungkan mak, anak, nenek untuk memakai kebaya. Inilah saya rasa seterusnya yang harus dilakukan oleh sesiapa yang rasanya peduli dan merasakan ya, kita harus galakkan golongan muda, anak-anak kita semua untuk mengenal dan memakai kebaya," katanya.

Cik Som yakin, selagi kebaya terus dipakai, ia akan membantu memastikan bahawa busana tradisi Melayu itu tidak akan hilang ditelan zaman.
Sumber : BERITA Mediacorp/AI/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita