Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

analisisBERITA: Pendaftaran haji 2024 dipercepat agar jemaah bersiap sedia lebih awal.

Anggaran Waktu Membaca:
Para bakal jemaah untuk musim haji 2024 difahamkan sudah mula menerima surat tawaran masing-masing.

Pemberitahuan ini dibuat sekitar tiga bulan lebih awal berbanding yang dilakukan sebelum ini.

Mengapakah pengesahan jemaah diminta jauh lebih awal daripada biasa?

Dan apakah perkara-perkara yang boleh jemaah jangkakan bagi pengurusan haji 2024?

Tokoh veteran dalam pengendalian haji yang juga Pengarah Urusan Shahidah Travel & Tours, Ayoob Angullia, berkongsi perspektif beliau, mengapa persediaan perlu dimulakan lebih awal.

"Kita maklum cuaca pada tahun akan datang 2024 atau 1445H ini, cuacanya amat panas, satu, cuaca panas. Demografi jemaah-jemaah yang akan beserta sama-sama kita ini mungkin banyak yang berumur dan juga banyak ada isu-isu perubatan. MUIS lakukan awal ini, itu untuk persiapan yang bijak, persiapan yang bagus bagi jemaah untuk siap sediakan cara fizikal dan mental."
(Gambar: Mohammed Huwais/AFP)
TREND LEBIH RAMAI JEMAAH HAJI SG WARGA SENJA & UZUR

Langkah ini antaranya turut berpandukan pengalaman dan maklum balas daripada pengurusan haji tahun lalu, di mana sekitar 60 peratus jemaah Singapura merupakan warga emas di atas usia 60 tahun.

Oleh itu, syarat tambahan turut dikenakan ke atas pihak GSA bagi menjamin kesihatan jemaah di bawah urusan mereka.

"Tahun ini juga, MUIS telah lakukan satu arahan yang wajib, maknanya mesti adakan jururawat bersama-sama dengan rombongan kita yang akan berangkat haji. Tugas jururawat bukan hanya semasa di tanah suci, tapi sebelum berangkat pun juga. Dia akan periksa tentang latar belakang perubatan jemaah dan berikan satu nasihat dan jagaan supaya jemaah ini patuh dengan makanan ubat dia, patuh dengan adakan latihan jasmani yang rutin, selalu jaga diri, supaya keadaan dia sihat semasa di tanah suci. Dan Alhamdulillah, tahun ini juga, semua pihak-pihak agensi pelancongan, dimestikan bekerjasama dengan Lembaga Penggalakan Kesihatan (HPB)."

Tambah Encik Ayoob, pelbagai usaha untuk menjaga kebajikan jemaah ini bukan setakat semasa berada di Singapura.

Justeru yang lebih penting, memastikan khidmat dan prasarana yang lebih baik ketika di tanah suci.

Ini terutama sekali ketika jemaah bermalam di Arafah dan Mina. Pihak AMTAS khususnya, kini sedang mengusahakan pihak Muassasah yang bersesuaian.

"MUIS, pihak AMTAS, sama-sama dengan agensi pelancongan yang uruskan haji sudah lakukan banyak mesyuarat. Alhamdulillah, Presiden AMTAS telah pulang dan beri laporan dan kami telah pilih satu pihak, satu syarikat yang bagus sekali. Syarikat yang beri khidmat pada kita ada rekod yang baik, memberikan satu khidmat hawa dingin yang terbaik semasa cuaca yang panas. Masalah besar jemaah kita adalah tandas. Orang Singapura selalu tidak biasa dengan tandas yang cangkung. Dia nak tandas yang ada tempat duduk. Dia akan sediakan beberapa tandas yang berkerusi untuk sesuaikan dengan kehendak jemaah. Ada jemaah yang ada laporan perubatan - dia tidak boleh tidur di atas lantai. Kita akan minta beliau untuk sediakan katil bagi mereka yang ada masalah perubatan, Insya Allah. Dan kita minta juga makanan bungkus yang terbaik yang ada diet seimbang."
Para jemaah melontar jamrah pada 29 Jun 2023. (Gambar: Sajjad Hussain/AFP)
BIAYA MASYAIR HAJI LEBIH TINGGI DIJANGKA BERTERUSAN

Oleh itu, unjuran biaya masyair dan tiket pesawat untuk tahun ini dianggarkan berkisar antara $5,000 hingga $8,000, di luar harga pakej haji.

Biaya masyair adalah untuk hari-hari kemuncak haji - meliputi wukuf di Arafah, mabit di Mudzalifah dan melontar jamrah di Mina.

"Ini anggaran yang tinggi, supaya sebagai satu panduan bagi jemaah nak berangkat haji. Kirakan dia mesti ada kemampuan untuk haji dan dia kena persiapkan diri sendiri kalau sekiranya harga $8,000, dia boleh bayar. Tapi Insya Allah, saya pasti mungkin kita akan tawar, kita akan bermusyawarah, mungkin akan rendah sikit."

Harga 23 pakej haji yang ditawarkan lapan GSA yang dilantik MUIS kali ini, rata-rata setanding dengan pakej tahun lalu.

Ini walaupun berlaku lonjakan inflasi di peringkat global ekoran pelbagai pergolakan geopolitik serta kesan perubahan iklim.

"Kerajaan Saudi sudah buka pasaran sekarang. Ramai penyedia khidmat, keadaan sangat bersaing, bermakna dia kena tawarkan harga dan khidmat yang terbaik supaya menarik untuk orang ambil khidmatnya. Sama juga pada GSA, pada agensi pelancongan. Jemaah akan untung, Insya Allah jemaah akan dapatkan khidmat yang terbaik. Semua orang nak jaga nama baik mereka, mereka akan berikan yang terbaik."
Penduduk Palestin cuba menyelamatkan mereka yang terperangkan di bawah runtuhan di Rafah, selatan Carikan Gaza, pada 22 Nov 2023. (Gambar: Mohammed Abed/AFP)
PERLU BIMBANG MENGENAI KESAN PERGOLAKAN DI TIMUR-TENGAH?

Namun timbul persoalan, bagaimana pula kesan perang Israel-Hamas ke atas Timur Tengah, khususnya dari sudut keamanan serta keselamatan para jemaah haji kelak?

Walaupun akur perlu sentiasa memantau keadaan, menurut Encik Ayoob, musim haji masih jauh dan keadaan di tanah suci masih cukup terkawal sejauh ini.

"Umrah jalan laju! Alhamdulillah, tidak ada tempat di pesawat. Awak cubalah minta 'seat' sekarang. Tidak ada tempat duduk kosong langsung pada bulan 12. Tidak ada tempat kosong, penuh semua. Semua gerakan yang ramai, gerakan yang selamat, suasana di Makkah, di Madinah Alhamdulillah keadaan tenang, gembira semua keadaannya, gerakan baik. Semoga kita harapkan keadaan ini berlaku semasa haji, Insya Allah."
Para jemaah haji mula menuju Mina setelah selesai tawaf. (Gambar: Amr Nabil/AP)
PANDANGAN HUKUM TURUT DISEMAK DEMI MUDAHKAN JEMAAH

Bagi memudahkan urusan ibadah jemaah semasa melaksanakan rukun haji - selain pelbagai peningkatan dari sudut logistik, prasarana, jagaan kesihatan dan pengurusan jemaah, terdapat satu lagi sudut yang turut diberi perhatian bagi musim haji 2024, kongsi Encik Ayoob.

"1445H ini tahun inovasi. Kita bergabung dengan AMTAS dengan MUIS sekali, kita berusaha cari jalan keluar. Kita mungkin jauh sedikit dari Jamrah. Cara hukum, kalau orang yang tak mampu berjalan, yang tak mampu ke Jamrah, dia boleh lakukan wakil. Ini pilihan jemaah atas kekuatan, kebolehan, kemampuan mereka sendiri. Banyak ada fleksibiliti, banyak ada cara innovasi kita atasi masalah. Pokoknya, jemaah dapat ibadah dengan sempurna, dapat tunaikan haji dengan sempurna InsyaAllah."

Bagi 900 jemaah terpilih yang bakal berangkat pada Jun tahun hadapan, berikut pesanan Haji Ayoob berbekalkan pengalaman puluhan tahun menguruskan jemaah.

"Saya harap para jemaah cara bijaksana, mesti jaga diri sendiri. Sekarang ini hendak dapat pergi haji ini susah, bukan senang, tunggu lama. Dah dapat, hargai dapat tempat nak berangkat haji itu siapkan diri. Pertama sekali beranikan diri, jaga makan ubat dengan tertib, jaga pantang-larang makan, buat senaman, gerakan diri dan cuba buat apa-apa yang sepatutnya supaya kita akan capai keadaan sihat semasa berangkat, Insya Allah."
(Gambar: Muis)
Para bakal jemaah haji SG diberi tempoh sehingga 10 Disember ini untuk mengesahkan tempat mereka, termasuk mendapatkan pakej haji daripada GSA yang diluluskan MUIS
Sumber : BERITA Mediacorp/at
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan