Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

analisisBERITA: Pemikiran, keutamaan, gaya & simbolisme kepimpinan PM Wong

Anggaran Waktu Membaca:
analisisBERITA: Pemikiran, keutamaan, gaya & simbolisme kepimpinan PM Wong

Gambar: CNA/Try Sutrisno Foo

SINGAPURA: Ucapan sulung Perdana Menteri Lawrence Wong selepas pelantikan rasmi beliau di Istana pada malam 15 Mei semestinya dipantau dengan cukup rapi oleh masyarakat dan para pemerhati,

bagi menyelongkar apakah pemikiran, keutamaan, gaya dan simbolisme-simbolisme yang beliau ketengahkan.

Segmen analisisBERITA mendapatkan pencerakinan Zamil Kanan Iseas - Institut Yusof Ishak, Dr Norshahril Saat, dan berikut kupasan beliau berhubung persoalan-persoalan tersebut.

"Walaupun acara semalam dilihat sebagai satu acara yang agak sederhana, tetapi dari segi simboliknya dia diadakan di istana, satu simbol negara yang penting, pemerintahan yang penting. Tetapi yang menarik juga adalah pelibatan setiap lapisan masyarakat. Pemimpin sekarang, pemimpin-pemimpin pembangkang, dan juga pemimpin-pemimpin yang saya lihat pemimpin masa akan datang. Pendekatan seni di akhir sebagai penutup iaitu menunjukkan bahwa kesediaan Perdana Menteri untuk menerima dan juga mengiktiraf golongan seniman dalam masyarakat. Ia menunjukkan bahawa Singapura di masa akan datang ini adalah lebih rencam dan juga mahukan pandangan-pandangan yang tulen dan berbeza dari setiap lapisan masyarakat."

RAKYAT DISERU IKUT SERTA BENTUK MASA DEPAN SG

Gambar: Try Sutrisno Foo/CNA
Pendekatan yang berbeza daripada gaya kepimpinan para perdana menteri sebelum ini, diungkap dengan jelas oleh Encik Wong dalam ucapan sulung beliau sejurus selepas rasmi dilantik menjadi Perdana Menteri.

Begitu juga seruan kepada masyarakat supaya berganding bahu dengan pasukan beliau bagi membentuk masa depan Singapura yang diidam-idamkan.

Berikut sedutan ucapan PM Wong yang disampaikan dalam bahasa Inggeris.

"Salah satu keutamaan saya adalah mengenal pasti dan memujuk warga muda Singapura - lelaki dan wanita dalam usia 30'an dan 40'an - untuk menyertai pasukan saya. Jadi malam ini, saya seru semua warga Singapura, bantu saya berikan Singapura pemerintah yang selayaknya."

Menurut Dr Norshahril, perbezaan dari segi gaya kepimpinan ini dapat dinilai dari dua sudut - pendekatan pemerintah dan penggubalan dasar.

"Mungkin jika dahulu dari segi ucapan, dari segi proses komunikasi, itu dilakukan menerusi media tradisional dan sebagainya, atau disebut sebagai mungkin lebih bersifat 'topdown'. Mungkin pendekatan itu harus berbeza, perlu menggunakan media media baru, seperti media sosial dan sebagainya, di samping menggunakan aspek-aspek yang disebut sebagai hiburan juga, mungkin itu di sudut pendekatan. Tetapi kalau dari gaya juga, ini pun juga dilihat dari sudut perisian atau 'content'. Dunia semakin terancam, bukan hanya di dalam sudut antarabangsa, tetapi juga dalam sudut domestik kita melihat kepelbagaian. Jadi kalau kita melakukan hanya satu aliran pemikiran dalam masyarakat, itu tidak akan bawa Singapura ke hadapan. Bagaimana kita sepadukan cabaran-cabaran yang dihadapi, peringkat antarabangsa dengan keperluan-keperluan domestik, itu mungkin memerlukan gaya tersendiri dengan gaya yang berbeza.
Namun Dr Norshahril yakin, warga Singapura bersedia menyahut pelawaan PM Wong supaya terlibat aktif dalam usaha membuka lembaran baharu 'Kisah Singapura' seterusnya.

Tambah beliau, pandangan yang berbeza dengan pemerintah tidak harus terhad kepada penyertaan menerusi parti politik sahaja.

"Apabila kita sebut tentang pandangan alternatif, kita mungkin lihat dari sudut politik kepartian, pemerintah dan juga pembangkang. Sebenarnya pandangan alternatif juga boleh disuarakan lewat saluran-saluran yang lain, antaranya media sosial. Dan satu lagi, saluran alternatif adalah masyarakat sivil, di mana ada organisasi-organisasi tertentu yang punya kepentingan tertentu juga boleh memainkan peranan penting dalam menyuarakan pandangan-pandangan yang alternatif. Juga ahli-ahli profesional di luar sana dalam bidang masing-masing dan antaranya adalah golongan akademik yang memikirkan tentang isu masyarakat, terutama sekali yang terlibat dalam bidang sains masyarakat. Saya fikir ini adalah senarai keinginan yang mungkin perlu pemerintah berikan pertimbangan."
(Gambar fail: Lim Sin Thai/MCI)

MASYARAKAT MELAYU PERLU REBUT TAWARAN ORAK LANGKAH & PENDEKATAN BAHARU

Masyarakat Melayu/Islam pula pasti terkesan dengan ucapan pembukaan PM keempat Singapura, yang disampaikan dalam bahasa Melayu.

Selain meneruskan tradisi tiga Perdana Menteri sebelum ini yang berbuat demikian, apakah mesej tersirat yang mungkin PM Wong hulurkan kepada masyarakat Melayu?

Berikut ulasan Dr Norshahril.

"Tentu sekali ia menunjukkan bahwa pemerintah bersedia secara konsisten untuk mendekati masyarakat Melayu. Pentingnya bahasa Melayu sebagai satu lambang identiti dalam masyarakat, selain daripada agama dan juga budaya. Itu saya fikir bahawa jelas yang ingin disampaikan oleh Perdana Menteri Encik Wong. Dan saya lihat bahawa masyarakat juga sedia untuk memberikan kerjasama dengan pemerintah sebagaimana sebelumnya.Cuma kalau kita lihat dari sudut kesediaan Perdana Menteri untuk memikir ulang menggunakan gaya yang baharu, membuka lembaran yang baharu, ini pesanan yang ingin disampaikan dalam ucapan beliau. Saya fikir ini juga adalah peluang di mana kita memikir ulang tentang masalah-masalah yang membelenggu masyarakat Melayu. Apakah ia hanya tertumpu pada masyarakat Melayu sahaja, atau pun ia sebagai masyarakat yang sedang membangun. Masalah jurang pendapatan, jurang digital - sama juga dengan masyarakat lain. Kita perlu lihat masalah ini di luar daripada kerangka yang disebut sebagai etnik ataupun kaum."

Encik Lee Hsien Loong (kiri) dan Encik Lawrence Wong berjabat tangan di Istana pada 15 Mei 2024. (Gambar: Try Sutrisno Foo/CNA)

PERLU MASA UNTUK LIHAT PERUBAHAN YANG DIBAYANGKAN

Walaupun peralihan pucuk kepimpinan ini berlaku dalam rantau dan dunia yang begitu mencabar, peluang kini terbentang luas untuk bersama-sama mencorak bentuk, ciri dan identiti Singapura seterusnya.

Bagi yang mempersoalkan sama ada ucapan Encik Lawrence Wong sekadar kata-kata atau benar dapat dikotakan, beliau perlu diberikan masa kata Dr Norshahril.

"Ini adalah ucapan sulung Encik Lawrence Wong sebagai Perdana Menteri. Tentu sekali kita juga mahu melihat, sama ada harapan dan aspirasi beliau ini dapat dijalankan menerusi dasar-dasar ataupun pendekatan-pendekatan yang lebih konkrit. Itu kita perlu berikan beliau sedikit masa. Tapi setiap pemimpin dalam masyarakat, di mana-mana negaranya pun, jika tidak sealiran dengan pendekatan masa kini, tentu sekali akan mendapat natijah yang tidak begitu ideal kerana kita lihat polarisasi berlaku di mana-mana. Jadi bagaimana mengambil jalan yang boleh membahagiakan kesemua pihak. Itu mungkin satu cabaran, tetapi pemerintah memerlukan satu proses komunikasi yang bijak."

Dr Norshahril melahirkan harapan agar peralihan kepimpinan ini berjaya membuka lembaran baharu Singapura dalam mengemudi pelbagai cabaran hari muka, agar dapat memenuhi jangkaan dan keperluan rakyat.

"Banyak sekali mungkin senarai permintaan yang kita boleh kemukakan, terutama sekali dengan adanya pemimpin baru dalam masyarakat. Yang penting adalah bagaimana pemerintah memberikan satu rasional tentang satu pemikiran dan juga menjelaskan sebab dan akibat sesuatu maklumat dan kesannya secara terbuka. Dan ini satu proses bagaimana pemerintah meyakinkan rakyat. Buat masa ini mungkin dari segi pemilihan Perdana Menteri, Lawrence Wong ini adalah pilihan parti PAP. Populariti beliau belum lagi diuji di peringkat nasional di Singapura. Sebenarnya parti ini juga dipilih daripada rakyat. Jadi ada mandat di situ. Kalau rakyat merasakan bahwa mereka tidak setuju, ini boleh disesuaikan dalam penilaian yang akan datang."

Sumber : BERITA Mediacorp/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan