Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

analisisBERITA: Pemerintah boleh ambil langkah lebih berani untuk cegah pengambilan sodium berlebihan

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Hasil Tinjauan Kesihatan Penduduk Nasional (NPHS) yang dikeluarkan baru-baru ini mendapati, penyakit tekanan darah tinggi di Singapura meningkat hampir seganda sejak 2010.

Rumusannya, penduduk tempatan mengambil lebih banyak garam daripada yang disarankan.

Bagi menangani gejala ini, sesetengah pakar perubatan kini menyarankan agar pemerintah mengambil langkah yang lebih berani bagi mencegahnya.

Pakar kesihatan awam Dr Hishamuddin Badaruddin, yang juga bertugas sebagai seorang GP di Klinik Bartley, berkata penyakit itu bukan sahaja dialami oleh golongan lebih berumur, malah pesakit yang muda juga.

TREND TEKANAN DARAH TINGGI YANG MENINGKAT

(Gambar: iStock)

Berdasarkan data terkini Kementerian Kesihatan (MOH), kes-kes penyakit tekanan darah tinggi menunjukkan trend peningkatan jangka panjang.

Daripada 19.8 peratus pada 2010, ia melonjak tinggi kepada 37 peratus antara 2021 hingga 2022.

Tekanan darah tinggi, kata Dr Hishamuddin, adalah antara faktor risiko utama yang boleh menyebabkan penyakit kardiovaskular seperti serangan jantung, angin ahmar dan kegagalan jantung.

Ia juga merupakan faktor risiko penyebab penyakit buah pinggang kronik dan penurunan kognitif.

APAKAH ANTARA CABARAN CAPAI GAYA HIDUP YANG SIHAT?

Ada yang berkata untuk mencapai gaya hidup yang sihat, ia bermula dengan pemakanan yang sihat. Ada juga yang menyentuh tentang soal senaman. Namun Dr Hishamuddin akur, tidak mudah untuk mengamalkan diet yang sihat dan bersenam atas beberapa sebab.

"Ramai rakyat Singapura mempunyai gaya hidup yang sibuk. Ramai pesakit saya mengatakan, "Doktor, saya tiada masa untuk bersenam. Saya tiada masa untuk memasak di rumah." Mereka mungkin tiada masa untuk berehat mahupun berjumpa dengan doktor. Maka itu, sukar untuk mereka mencari masa untuk mengamalkan gaya hidup yang lebih sihat," kongsi beliau.

(Gambar: iStock)

Bercakap tentang tabiat pemakanan pula, Dr Hishamuddin turut menarik perhatian bahawa budaya seseorang itu juga mempengaruhi pilihan makanan mereka.

"Orang Melayu, kita lebih cenderung kepada diet yang tinggi dengan garam dan lemak. Kita juga kurang cenderung untuk bersenam secara kerap. Kita juga lebih berkemungkinan dan lebih mengalami berat badan yang berlebihan atau obesiti. Faktor-faktor ini juga boleh meningkatkan risiko menghidap darah tinggi.

"Orang Melayu lebih cenderung kepada faktor-faktor sosioekonomi yang lebih rendah. Faktor ini boleh menyukarkan untuk mengakses makanan sihat dan khidmat jagaan kesihatan," katanya lagi.

Orang Melayu juga berisiko lebih tinggi menghidap tekanan darah tinggi, iaitu pada kadar 40.5 peratus. Ini berbanding orang Cina iaitu sekitar 37 peratus dan orang India sekitar 31 peratus.

USAHA KURANGKAN PENGAMBILAN SODIUM

Antara punca yang boleh meningkatkan risiko tekanan darah tinggi adalah pengambilan sodium secara berlebihan.

Hasil satu lagi tinjauan mengenai tabiat pemakanan penduduk Singapura oleh Lembaga Penggalakan Kesihatan (HPB) mendapati, pengambilan sodium bagi 90 peratus penduduk Singapura melebihi had seharian yang ditetapkan.

(Gambar: iStock)

Dalam usaha mengurangkan pengambilan sodium, HPB tahun lalu menumpukan usaha kepada strategi menggantikan penggunaan garam biasa dengan garam alternatif yang lebih rendah kandungan sodium. Ia juga mahu mengurangkan pengambilan sodium sebanyak 15 peratus dalam tempoh lima tahun ini.

Menyifatkannya sebagai satu langkah permulaan yang baik, Dr Hishamuddin bagaimanapun berpendapat langkah lebih berani lagi boleh diambil oleh pemerintah.

"Saya cadangkan beberapa langkah. Pertama, pemerintah boleh menetapkan sasaran nasional untuk mengurangkan pengambilan sodium, sebagai contoh, sebanyak 50 peratus dalam 10 tahun. Dengan mengambil langkah ini, ia akan menghantar mesej yang jelas kepada industri makanan dan orang ramai bahawa pengurangan sodium mesti dijadikan sebagai satu keutamaan.

"Pemerintah boleh juga melaksanakan peraturan untuk mengurangkan kandungan garam atau sodium dalam makanan diproses dan hidangan di restoran. Ini termasuk menetapkan had sodium untuk kategori-kategori makanan tertentu."
 

(Gambar: iStock)

Satu lagi langkah yang boleh dilakukan, tambah beliau, adalah dengan memberikan insentif kepada syarikat-syarikat pengeluar makanan.

"Pemerintah boleh memberikan insentif kewangan seperti pelepasan cukai kepada pengeluaran makanan dan restoran yang mengurangkan kandungan sodium dalam produk dan makanan mereka. Ini akan menggalak industri makanan untuk menjadikan pengurangan sodium sebagai satu keutamaan. Dengan mengambil langkah-langkah yang lebih berani ini, Singapura boleh menjadi peneraju dalam usaha mengurangkan sodium dan meningkatkan tahap kesihatan penduduk.

"Prevalens penyakit tekanan darah tinggi yang tinggi di Singapura memberikan tekanan yang ketara kepada sistem penjagaan kesihatan. Ini membawa kepada masa menunggu yang lebih lama untuk berjumpa doktor dan untuk katil hospital," menurut Dr Hishamuddin.

Tambahnya, beban jagaan kesihatan bagi penyakit tekanan darah tinggi juga dijangka akan meningkat pada tahun-tahun akan datang. Ini memandangkan populasi kita semakin meningkat, yang sekali gus juga menyebabkan penyakit-penyakit kronik seperti obesiti dan kencing manis turut meningkat.

Hakikatnya, penyakit darah tinggi adalah natijah daripada gaya hidup seseorang, terutamanya soal pemakanan.

Sumber : BERITA Mediacorp/at
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan