Skip to main content

Singapura

analisisBERITA: Pelucutan Ketua Pembangkang - apa implikasi terhadap Pritam Singh & WP?

Ketua Parti Pekerja (WP) Pritam Singh dilucutkan daripada jawatan Ketua Pembangkang pada Khamis (15 Jan), sehari selepas Parlimen memutuskan bahawa beliau tidak wajar untuk terus memikul jawatan itu.
Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Ketua Parti Pekerja (WP) Pritam Singh dilucutkan daripada jawatan Ketua Pembangkang pada Khamis (15 Jan), sehari selepas Parlimen memutuskan bahawa beliau tidak wajar untuk terus memikul jawatan itu.

Ini bersabit kesalahan beliau kerana berbohong kepada sebuah jawatankuasa parlimen.

Perdana Menteri Lawrence Wong menjelaskan keputusan itu perlu diambil demi menegakkan kedaulatan undang-undang serta maruah dan integriti Parlimen.

APA IMPLIKASINYA TERHADAP PRITAM & WP?

PM Wong kini mengundang WP supaya mencalonkan seorang Anggota Parlimen lain parti itu untuk menjadi Ketua Pembangkang seterusnya.

Jadi, apakah implikasinya kepada Encik Pritam sendiri dan juga Parti Pekerja?

"Kita belajar daripada proses yang berlaku ini, adalah proses perundangan - sama ada dengan keputusan mahkamah yang mendapati Encik Pritam bersalah, sama ada beliau akan hilang kerusi Parlimen.

"Nampaknya, tidak. Beliau tidak hilang kerusi Parlimen," kata pakar politik mapan dari ISEAS - Institut Yusof Ishak, Dr Norshahril Saat.

Encik Pritam Singh memegang jawatan selaku Ketua Pembangkang pada 2020.

Perdana Menteri ketika itu Lee Hsien Loong menawarkannya kepada Encik Pritam, setelah keputusan Pilihan Raya Umum 2020 menunjukkan adanya hasrat kukuh dalam kalangan rakyat Singapura yang inginkan kepelbagaian pandangan lebih luas dalam politik.

Encik Lee berkata jawatan itu bertujuan mengiktiraf hasrat tersebut sambil membolehkan sistem politik berkembang dalam cara yang mengekalkan rasa tujuan nasional.

Encik Pritam sekali lagi menjadi Ketua Pembangkang setelah ditawarkan jawatan itu oleh Perdana Menteri Lawrence Wong selepas Pilihan Raya Umum 2025.

SYARAT BAGI LO BAHARU DARI WP

Kini, walaupun seorang calon lain diminta supaya menggantikan Encik Pritam, calon baharu itu, kata PM Wong, hendaklah orang yang tidak terbabit dengan dapatan siasatan COP sebelum ini.

Calon itu juga mesti mampu memenuhi piawai tinggi seperti yang diharapkan oleh jawatan tersebut.

"Jadi sekarang ini adalah masanya untuk WP menimbangkan buruk dan baiknya kedudukan Ketua Pembangkang ini. Sama ada dengan ketiadaan Encik Pritam sebagai Ketua Pembangkang, walaupun beliau kekal di dalam Parlimen, sama ada mereka mahu menaikkan seorang lagi sebagai Ketua Pembangkang kerana mendapat kelebihan-kelebihan seperti 'airtime' yang selama ini diberikan kepada Encik Pritam," kata Dr Norshahril.

Zamil Kanan ISEAS-Institut Yusof Ishak itu berkata dengan ketiadaan Encik Pritam sebagai Ketua Pembangkang di Parlimen, ini tidak bermakna bahawa kerjaya politik beliau sudah berakhir.

"Beliau kekal menjadi sebagai seorang Anggota Parlimen, tetapi dengan proses yang sedang berlaku ini, dengan kesan apa yang sudah berlaku ini, mungkin ini masanya untuk WP mengatur semula strategi mereka," tambah beliau.

PERSEPSI AWAM TENTANG PRITAM SINGH & PARTI PEKERJA

Ditanya tentang persepsi awam tentang Encik Pritam dan WP, Dr Norshahril berkata sebelum ini Parti Tindakan Rakyat (PAP) sudahpun menunjukkan bagaimana tokoh seperti mantan Menteri S Iswaran dan dua mantan Speaker Parlimen Tan Chuan-Jin dan Michael Palmer menjadi nama-nama besarnya yang mengundurkan diri.

Persoalannya, adakah WP juga akan melakukan serupa?

"Sekarang ini, rakyat akan menilai sama ada WP akan mengambil tindakan yang serupa dan rakyat akan menilai ketelusan proses ini bagi WP kerana kebelakangan ini, WP sudah membina satu jenama yang alternatif kepada PAP.

"Cuma sekarang ini, bagi WP, ia melibatkan pemimpin tertinggi mereka. Sama ada proses yang sama akan dikenakan terhadap pemimpin mereka. Jika tiada tindakan yang diambil, apakah sebabnya dan mengapa?" kata Dr Norshahril.

Jika tiada tindakan, kata beliau, ini mungkin ada kesan politik.

Namun ini juga tidak menimbulkan kesan politik kepada WP kerana kalau mahu membahaskan tentang kesan politik, rakyat ada pandangan yang berbeza-beza, kata beliau lagi.

Ini kerana ada yang akan mengatakan bahawa aspek kejujuran nilai itu terpenting, manakala ada yang akan mengatakan bahawa idea-idea alternatif pula adalah satu prinsip yang penting dalam proses demokrasi.

Jadi, menurut Dr Norshahril, rakyat akan pertimbangkan sama ada mana yang lebih penting ataupun tidak.

BAGAIMANA WAJAH PARLIMEN TANPA KETUA PEMBANGKANG?

Encik Pritam sememangnya sudah menunjukkan ketokohannya selaku ketua WP.

Menurut Dr Norshahril, Encik Pritam kelihatannya menjadi salah seorang tokoh yang dikenali, satu ikon bagi memperjuangkan dasar-dasar bagi pihak pembangkang kerana beliau lantang bersuara.

"Dari sudut personalitinya, jika dengan ketiadaan Encik Pritam sebagai Ketua Pembangkang, mungkin ruang bagi beliau untuk membahaskan ataupun masa yang diberikan kepada beliau itu akan berkurangan.

"Tetapi ini tidak bermakna bahawa para AP lain dari WP tidak bersemangat. Saya fikir ada para AP dari parti itu yang juga berkaliber, yang boleh memainkan peranan yang sama," kata Dr Norshahril.

Dengan perkembangan terkini, muncul juga persoalan bagaimana agaknya wajah Parlimen Singapura tanpa Ketua Pembangkang?

Ini pandangan Dr Norshahril: "Saya tidak fikir Parlimen akan menjadi kurang berkesan, walaupun ada kelebihan-kelebihan tertentu yang diberikan kepada Ketua Pembangkang. Kalau jawatan tersebut tidak diisi, saya fikir Parlimen akan berjalan seperti biasa kerana dari segi jumlah AP pembangkang, ia akan kekal sama.

"Dari sudut pandangan dan perkongsian tentang dasar, perbincangan juga sedang aktif berjalan di peringkat masyarakat sivil.

"Jadi ada banyak lagi peluang dan ruang dalam zaman sekarang ini jika kita mahu membincangkan tentang idea-idea. Bagaimanapun, Parlimen tetap menjadi satu arena yang terpenting kerana ia berkaitan dengan penggubalan dasar," tekan beliau lagi.

Para penganalisis seperti Profesor Madya Sains Politik dari Universiti Nasional Singapura (NUS) Chong Ja Ian berkata parlimen tetap akan berfungsi dan para AP WP masih akan bersuara serta mengundi di Dewan, meskipun tanpa seorang Ketua Pembangkang.

Bagaimanapun, para penganalisis percaya menjadi kepentingan WP agar tidak menolak tawaran PM Wong untuk mencalonkan seorang lagi AP bagi menggalas tugas Ketua Pembangkang seterusnya dan tidak membiarkan jawatan itu kosong.

Menurut mereka, walaupun WP tidak wajib mencalonkan seseorang, parti itu berada pada kedudukan lebih baik sekiranya ia menerima tawaran PM Wong.

Ini kerana LO diberi pelbagai sumber dan peluang di parlimen.

Penganalisis politik bebas Dr Felix Tan memberitahu Mediacorp bahawa WP sememangnya boleh memilih untuk membiarkan jawatan itu terus kosong.

Ini bagi menunjukkan bahawa mereka percaya WP dan Encik Pritam masih sangat dihargai dan langkah itu merupakan "satu demonstrasi politik partisan yang jelas".

Namun beliau menambah, dengan berbuat demikian, ia "mungkin menyebabkan satu peluang terlepas untuk meneruskan kerja baik yang diusahakan oleh Ketua Pembangkang sebelum tercetus kejadian itu."

Prof Madya Undang-Undang di Universiti Pengurusan Singapura (SMU) Eugene Tan pula percaya bahawa menolak pencalonan itu "merupakan satu langkah buruk".

Ini kerana "sumber tambahan yang disediakan, masa ucapan tambahan, serta keupayaan untuk membentuk peranan Ketua Pembangkang memandangkan ia masih baharu dalam sistem parlimen kita".

Dengan meminta WP untuk mencalonkan seorang pengganti, PM Wong juga menegaskan bahawa jawatan Ketua Pembangkang "penting bagi pembangunan politik Singapura", kata Prof Tan.
Sumber : BERITA Mediacorp/AI/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita