Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

analisisBERITA: Pelihara 2 kucing dalam flat - Peraturan baharu yang disarankan Pemerintah tidak cukup

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Rangka kerja dan peraturan baharu yang disarankan pemerintah, dalam membenarkan kucing secara rasmi boleh dipelihara di flat-flat HDB mulai tahun depan, masih belum mencukupi. Peraturan itu perlu diberi 'taring' demi menjadikannya berkesan.

Salah satu daripada 'taring' yang perlu adalah peraturan lebih ketat menerusi pengenalan 'penguatkuasaan yang progresif'.
Demikian menurut aktivis penyelamat kucing seperti Cik Wati Salamat.
RANGKA KERJA PEMILIKAN KUCING

Pemerintah pada Sabtu (2 Dis) mengumumkan bahawa ia merancang membenarkan pemeliharaan sehingga dua ekor kucing bagi setiap isi rumah flat HDB.

Antara syarat-syarat yang mahu dilaksanakan termasuklah mewajibkan kucing peliharaan dipasang mikrocip dan didaftarkan - iaitu mendapatkan 'lesen kucing'.

Namun, timbul persoalan - sejauh manakah peraturan yang disarankan itu dapat mendorong para pemilik kucing untuk bersikap lebih bertanggungjawab?

Mampukah ia menghapuskan kes-kes pengabaian kucing di sini dan apa lagi yang harus dilakukan untuk memastikan keberkesanan langkah-langkah ini?

Isu-isu ini masih hangat dibahaskan masyarakat.
TIDAK MENYASARKAN AKARNYA -- PEMBIAKAN KUCING

Bagi Cik Wati, 50 tahun, langkah yang disarankan itu mungkin tidak mencukupi dan harus diperketat lagi kerana ia tidak benar-benar menyasarkan punca akar pengabaian kucing.

"Daripada pengalaman saya menguruskan pelbagai kes dan dengan kerjasama dengan agensi-agensi, apa yang penting (dan) tidak ada sekarang ialah undang-undang yang betul berkesan.

"Yang mampan dan menyasarakan punca masalahnya - iaitu pembiakan kucing, dan pemilik-pemilik kucing yang sama sekali tidak ingin bekerjasama (dengan pihak berkuasa)," kata beliau kepada BERITA Mediacorp.

Perangkaan menunjukkan, jumlah kes pengabaian haiwan peliharaan termasuk kucing, dilapor meningkat sekitar 30 peratus sepanjang lima tahun lalu.

Daripada 230 kes pada 2019, Perkhidmatan Haiwan dan Veterinar (AVS) menyatakan, ia menyiasat 310 kes haiwaan peliharaan -- termasuk kucing --yang dibuang pada tahun 2022.

"Kita baru ada satu kes 100, 110 (ekor kucing)," luah Cik Wati berhubung kes menyimpan terlalu banyak kucing oleh seorang pemilik.

Kes-kes seperti ini jugalah yang mahu ditangani menerusi langkah-langkah baharu pemerintah berhubung pemilikan kucing. Rangka kerja yang disarankan itu menyasarkan budaya pemilikan kucing lebih bertanggungjawab dan memastikan kucing peliharaan dijangka dengan baik.
Menurut Cik Wati beliau prihatin bahawa langkah baharu itu berpotensi memburukkan lagi keadaan. Ini kerana para pemilik kucing, selain dibenarkan menyimpan dua ekor kucing, sebenarnya mungkin boleh memiliki lebih banyak kucing daripada apa yang diisytiharkan kepada pihak berkuasa.

Ini tambahnya suatu jurang yang harus dibetulkan sekiranya negara ini ingin mengecapi sebarang perubahan ketara.

"Mungkin ada sesetengah pemilik kucing yang tidak berterus-terang. Mereka boleh mendapatkan lesen bagi dua ekor kucing tetapi memelihara misalnya 25 ekor di rumah. Ini semua mana kita tahu," luahnya.

MASALAHNYA JIKA KEMBIRIKAN KUCING TIDAK DIWAJIBKAN

Ditanya pula adakah langkah yang diusulkan itu mampu memberi kesan kepada jumlah kes pengabaian kucing di Singapura, mahupun mencantas potensi isu sosial jika lebih banyak rumah mempunyai kucing, Cik Wati menjawab beliau kurang yakin itu akan berlaku.

Ini kerana para pemilik masih mempunyai pilihan untuk sama ada mengembirikan kucing mereka ataupun tidak.

"Kalau kucing tidak 'disunatkan' (dikembirikan), ia akan menimbulkan isu juga. Sebab kalau kucing... tidak 'disunatkan', ia bising dan mengiau sepanjang malam mencari pasangan. Tidak kisah, jantan atau betina. Nanti jiran pun bising dan buat aduan juga," kongsinya.

"Kalau ada (pemilik) yang tidak boleh tahan, mereka akan lepaskan kucing itu. Itulah salah satu sebab mengapa banyak kucing di luar sana belum 'sunat'."

Lantaran itu, menjelang penguatkuasaan undang-undang baharu itu, para penyelamat kucing termasuk Cik Wati menjangkakan bahawa jumlah kucing yang dibuang pemiliknya akan meningkat. Ini hujah Cik Wati:

"Kenapa? Sebab kembiri kucing tidak dipaksa. Apa lagi sekarang, mereka akan benarkan dua ekor kucing di rumah tapi dua ekor kucing ini tidak dipaksa dikembirikan.

"Apa yang akan jadi? Kucing itu akan membiak. Kalau kucing itu sudah membiak, nanti apa hendak buat dengan anak-anak dia? Akan dibuang juga.

"Mereka, pemilik-pemilik ini tidak akan membuang mak dengan bapa kucing itu. Sebab sudah dimikrocip dan dilesen. Tapi anak-anak dia (kucing) akan dibuang. Jadi pengabaian kucing pada saya pembuangan kucing pada saya tidak akan kurang."

Lantaran itu beliau percaya bahawa dari sekarang sehinggalah masa undang-undang itu (dilaksanakan), "banyak akan buang kucing lah".

"Ini memang... kita sudah menjangkakan. Para penyelamat semua, kita sudah menjangkakan," ujar Cik Wati lagi.
PERLU ADA 'PENGUATKUASAAN PROGRESIF'

Disebabkan itu, Cik Wati menegaskan, peraturan baharu itu harus disertakan dengan penguatkuasaan dan hukuman yang tegas.

Ini supaya para pemilik kucing diikat dari segi undang-undang dan mengetahui bahawa ada akibatnya jika mereka tidak menjaga kucing mereka dengan baik.

Beliau memberitahu BERITA Mediacorp tentang dua langkah penting yang perlu ada dalam pendekatan pemerintah terhadap peraturan berkaitan kucing.

"Harus ada penguatkuasaan yang progresif. Ini bermakna sekiranya pihak berkuasa menerima aduan, agensi-agensi harus cepat turun padang untuk memberi nasihat atau amaran kepada pemilik kucing dan sekiranya dia melakukan kesalahn lagi, haruslah disaman," terang Cik Wati.

Beliau faham bahawa pemerintah mahu mengetengahkan 'pendekatan masyarakat' yang lembut dalam menangani soal kucing.

"Tapi kalau buat pendekatan begitu terlalu lama sangat... memang tak berkesan lagi.

"Bila saya cakap penguatkuasaan... kita mesti ada ialah penalti.

"Penalti yang munasabah, yang berkesan, yang cepat. Misalnya, saman secara progresif. Jumlah yang kecil, selepas itu naik, naik kalau dibuat lagi," kata Cik Wati.

Peraturan terbaharu mengenai pemeliharaan kucing di flat HDB dijangka dilaksanakan tahun depan.

Orang ramai masih boleh memberikan maklum balas mereka sehingga 1 Februari depan.
Sumber : BERITA Mediacorp/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan