Skip to main content

Singapura

analisisBERITA: Pelantikan Dr Faishal peluang perbaharui usaha mendekati masyarakat Melayu/Islam

Anggaran Waktu Membaca:
analisisBERITA: Pelantikan Dr Faishal peluang perbaharui usaha mendekati masyarakat Melayu/Islam

Dr Faishal Ibrahim akan memegang jawatan sebagai Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam. (Gambar: CNA/Marcus Mark Ramos)

SINGAPURA: Pelantikan Dr Faishal Ibrahim sebagai Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam disifatkan sebagai satu pembaharuan yang drastik, tetapi amat diperlukan, kata Zamil Kanan Institut ISEAS-Yusof Ishak Dr Norshahril Saat.

"Saya terkejut kerana kita boleh lihat dari segi cara Dr Faishal dinaikkan pangkat. Beliau sebelum ini adalah Menteri Negara dan selalunya untuk kenaikan pangkat itu perlu bertahap-tahap," kata Dr Norshahril.

Pun begitu Dr Norshahril akur, kerja keras Dr Faishal di akar umbi dan merentas pelbagai portfolio sebelum ini, membuatnya calon yang terbaik untuk menggalas jawatan itu selepas Encik Masagos Zulkifli, yang memegang amanah tersebut sekitar 7 tahun sejak 1 Mei 2018.

Dr Norshahril menarik perhatian: "Beliau adalah seorang anggota Parlimen Melayu yang saya lihat adalah sangat popular. Dan kalau kita lihat dalam pilhan raya sebelum ini, beliau bertukar-tukar kawasan dan sentiasa menang. Itu menunjukkan satu kekuatan beliau."

Dari segi pengalaman, Dr Faishal pun tidak kurang hebatnya.

"Beliau menggalas beberapa jawatan mendekati masyarakat Melayu. Beliau juga pernah dan masih aktif di akar umbi di Wisma Geylang Serai. Jadi saya fikir bahawa dari sudut kerja-kerja yang beliau lakukan, ia mungkin dalam pertimbangan Perdana Menteri Lawrence Wong bahawa beliau layak menggalas jawatan Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam," kongsi Dr Norshahril.

PEMBAHARUAN DALAM USAHA MENDEKATI MASYARAKAT

Sedang Dr Faishal menang tanpa bertanding di GRC Marine Parade - Braddell Heights, pasukan GRC Tampines yang diterajui Encik Masagos menang tipis di Pilihan Raya Umum pada 3 Mei lalu.

(Dari kiri) Calon-calon PAP untuk GRC Tampines Charlene Chen, Baey Yam Keng, Masagos Zulkifli, Baey Yam Keng dan David Neo pada 26 Apr 2025. (Gambar: CNA/Lim Li Ting)
Ditanya sama ada peralihan kepimpinan yang agak mendadak ini didorong keputusan di GRC yang mempunyai antara peratusan pengundi Melayu tertinggi, Dr Norshahril menegaskan - ia mungkin antara pertimbangan PM Wong, tetapi bukan satu-satunya faktor.

"Kalau kita lihat GRC Tampines, sebagai sebuah GRC, ia memerlukan kerjasama di antara menteri dan juga Anggota Parlimen (AP) lain. Kita juga lihat calon-calon lain juga ada yang dinaikkan pangkat. Ada juga yang kekal dalam portfolio masing-masing.

"Saya fikir ada juga maklum balas yang diterima oleh pemimpin menerusi saluran-saluran lain. Jadi kita tidak boleh mengandaikan bahawa keputusan pilihan raya sahaja menyebabkan peralihan kuasa dari segi portfolio ini."

Yang jelas, peralihan ini menunjukkan rasa yakin PM Wong terhadap usaha Dr Faishal untuk terus memperbaharui cara mendekati masyarakat Melayu/Islam.

"Setelah tujuh, lapan tahun Encik Masagos memegang jawatan itu, sudah masanya untuk memberikan kepada kepimpinan yang baharu untuk mendekati masyarakat. Ini adalah sebagai satu usaha untuk memperbaharui komunikasi dan juga dasar-dasar kepimpinan terhadap masyarakat Melayu/Islam," tambah Dr Norshahril.

DUA PEMEGANG JAWATAN MELAYU BAHARU DIJANGKA MAINKAN PERANAN LEBIH UTAMA

Turut menarik perhatian Dr Norshahril adalah pelantikan dua pemegang jawatan politik Melayu yang baharu.

Encik Zhulkarnain Abdul Rahim akan menyandang jawatan selaku Menteri Ngara bagi Ehwal Luar merangkap Pembangunan Sosial dan Keluarga bermula Februari depan.

"Kalau kita lihat sebelum ini, beliau adalah 'backbencher' dan kini dinaikkan pangkat sebagai Menteri Negara, itu satu lompatan yang pada saya amat jauh dalam sistem politik Singapura. Itu mungkin satu pengiktirafan yang diberikan kepada usaha-usaha Encik Zhulkarnain sebelum ini," kata Dr Norshahril.

Dr Syed Harun Alhabsyi pula akan menggalas peranan Setiausaha Parlimen Kanan bagi Pembangunan Negara merangkap Pendidikan pada Oktober ini.

Menurut Dr Norshahril, ini isyarat bahawa kedua-dua individu tersebut berpotensi untuk memainkan peranan lebih utama di masa hadapan, terutama dalam kabinet 5G kelak.
Sumber : BERITA Mediacorp/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita