Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

analisisBERITA: Pasar Geylang Serai yang dinaik taraf menambah kerancakan Jalur Budaya

Pasar Geylang Serai bakal membuka semula pintunya kepada orang ramai pada 1 November selepas tiga bulan ditutup dan kini selesai menjalani kerja-kerja naik taraf.
 

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Pasar Geylang Serai bakal membuka semula pintunya kepada orang ramai pada 1 November selepas tiga bulan ditutup dan kini selesai menjalani kerja-kerja naik taraf.

Tentu ramai pelanggan seperti sudah tidak sabar mengunjunginya untuk berbelanja dan menjamu selera.

Namun sejauh mana pasar bernuansa baharu ini dapat menambah kerancakan dan semarak yang ingin dicipta bagi Jalur Budaya Geylang Serai?

Apakah inti pati penting yang perlu diambil kira bagi pasar ikonik itu?

Dr Imran Tajudeen, Penyarah Kanan Jabatan Pengajian Melayu dan Jabatan Seni Bina NUS, yang aktif melakukan kajian berkaitan sejarah dan warisan, berkongsi pandangan.

"Ada pola tertentu dalam kunjungan dan pelanggan tetap, terutama yang berkunjung untuk membeli barang pasar khusus yang terdapat di Pasar Geylang Serai kemudian singgah makan. Jadi secara susunan ekonominya boleh dikatakan cukup mapan. Yang perlu diperhatikan justru kalau ingin mengatakan tentang membicarakan tentang kesegaran, supaya penutupan tidak terlalu kerap dan mengganggu kesinambungan usaha niaga."
Bazar Kampong Gelam pada hujung minggu terakhir. (Gambar: BERITA Mediacorp/Nazirah Jamzuri)

Dr Imran akur, dari sejak dahulu lagi, memang Pasar Geylang Serai begitu sinonim dengan masyarakat Melayu Singapura.

Bangunan yang cukup ikonik di kawasan lubuk Melayu ini, terus menjadi daya tarikan utama para pengunjung ke kawasan tersebut.

Namun begitu, wujud juga pandangan, bahawa Pasar Geylang Serai, beserta pusat penjajanya, berubah menjadi suram dan tidak bermaya di waktu petang dan malam.

Perlukah dan bolehkah suasana rancak Geylang Serai pada waktu pagi dikekalkan sehingga ke malam, sebagaimana kawasan Kampong Gelam?

Berikut pandangan beliau.

"Haji Lane dan Bussorah Street inikan lebih berkiblatkan anak-anak muda dan mempunyai peranan dengan pelancongan kota. Pasar Geylang Serai ini dalam ekosistem kawasan Geylang Serai itu, dia ada pengkhususan dia sendiri jadi kita tidak perlu memaksa Pasar Geylang Serai rancak hingga ke malam."

Namun, jika Pasar Geylang Serai, khusus pusat penjajanya ingin dijadikan lebih semarak membawa ke petang dan malam, komposisi para pegerai perlu diolah semula, kata Dr Imran.

"Kalau Pasar Geylang Serai ingin disuntikkan kegiatan sampai ke waktu malam boleh mungkin dari segi restoran atau gerai yang ada di sana dan ini boleh berlaku secara bertahap dan perlahan dan boleh dilaksanakan kalau campuran penyewanya saya maksud gerai yang sesuai, kedai-kedai, restoran yang sebagainya sesuai."

Visi Jalur Budaya Geylang Serai panduan tepat pada masa bagi pembangunan kawasan tersebut

Kerja-kerja naik taraf Pasar Geylang Serai berlaku seiring dengan usaha merancakkan serta menyemarakkan visi Jalur Budaya Geylang Serai.

Bermula dengan projek Wisma Geylang Serai yang siap pada 2018, pelbagai usaha terus berjalan bagi menyuntik kesegaran bagi kawasan yang menjadi nadi masyarakat Melayu ini.

Segala perkembangan ini juga perlu dilihat dari lensa pelan induk URA pada untuk membangunkan 'Paya Lebar Central' yang dibentangkan pada tahun 2008, kata Dr Imran.

"Pada waktu itu rencana khusus untuk Geylang Serai sebagai pusat budaya dan perniagaan Melayu di Singapura belum lagi diberi sembarang bentuk perincian. Rencana Jalur Budaya Geylang Serai setidaknya memberikan gambaran yang jelas tentang matlamat dan projek yang ingin dilaksanakan oleh pemerintah Singapura dan khususnya URA. Penambahan baikan pasar Geylang Serai dan visi Jalur Budaya Geylang Serai dan segala perkembangan yang telah wujud ini sangat positif, sangat baik dari segi memberikan peruntukan dan juga perhatian terhadap pentingnya dan istimewanya Geylang Serai itu."

Namun melangakaui pembangunan prasarana dan pelbagai kemudahan, perhatian perlu diberi kepada pengembangan intipati dan semangat Geylang Serai itu sendiri, yang merupakan pusat niaga orang melayu sejak dahulu kala, kata Pensyarah Kanan Jabatan Pengajian Melayu NUS itu.

"Prasarana dan perkembangan yang terjadi selama ini sudah baik, cuma kalau boleh diberikan satu kritikan, sebenarnya yang harus kita beri perhatian adalah inti patinya Geylang Serai sebagai pusat budaya, pasar dan niaga runcit orang Melayu sebagai pekan istimewa yang memberi peluang. Ini yang penting kepada perniagaan dan keusahawanan Melayu untuk mencuba nasib dan tumbuh dan mekar dan berkembang besar."

Ini terbukti jika ditelusuri sejarah peniaga Melayu yang mula bertapak di Geylang Serai, tekan Dr Imran.

"Ada beberapa perusahaan orang Melayu yang jadi besar, berkembang dan maju karena Geylang Serai semenjak tahun 50'an dan lebih lewat sejak tahun 70'an dan 80'an, banyak. Kita boleh lihat kembali urutan waktu dan juga perkembangan syarikat-syarikat ini. Dan itu saya rasa inti pati pentingnya Geylang Serai."

Projek naik taraf TKC peluang semai benih usahawan Melayu masa hadapan

Tanjong Katong Complex. (Gambar: Google Street View)

Lantas, Dr Imran mengalu-lakukan rancangan untuk menaik taraf Tanjong Katong Complex atau TKC yang bakal menyediakan ruang khusus untuk perniagaan Melayu seluas 1,500 m2.

"Ini boleh diterjemahkan ruang itu kepada kira-kira 100 kedai kecil seluas kira-kira 15m2 setiap satu. Cukup banyak dan ini berpotensi positif dan peruntukan ruang sangat menarik dan sebenarnya banyak potensi untuk perkembangan dengan baik sekiranya dikelolakan dengan bijaksana dan saya rasa dari segi pengelolaan ini pentingnya diperhatikan. Yakni jangan sampai bulat-bulat diserahkan kepada pengelolaan swasta semata, kerana swasta tidak dapat menjamin kepelbagian dan juga mungkin tidak dapat memahami cita rasa orang Melayu."

Visi Jalur Budaya Geylang Serai belum selesai; lebih banyak suntikan segar boleh dijangka

Semasa melancarkan Gerbang Ikonik di hadapan Joo Chiat Complex, Perdana Menteri Lawrence Wong berikrar, usaha menaik taraf kawasan Geylang Serai belum selesai, masih banyak yang akan dilakukan bagi memenuhi visi Jalur Budaya.

Dr Imran yakin, dengan kerjasama sepadu antara pelbagai pihak - pemerintah, para peniaga, badan-badan Melayu serta anggota masyarakat, Geylang Serai akan terus berada dekat di hati semua orang serta menawarkan pengalaman unik tergantung citarasa masing-masing.

"Mungkin masing-masing golongan mempunyai tempat dan tidak salah kalau satu tempat lebih banyak pengkhususannya terhadap golongan tertentu jadi tidak semua tempat harus disamaratakan dari segi kesegarannya ataupun popularitinya. Di Singapura kita sudah mulai menyebut istilah Intangible Cultural Heritage, ICH. Saya rasa budaya tetap berkembang, bertenaga, rancak dan menghormati adat dan budaya, saya rasa kita tidak perlu khuatir dan ada banyak program di Wisma Geylang Serai misalnya."

Sumber : BERITA Mediacorp/IQ/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan