analisisBERITA: Pas Budaya berpotensi jadi pemangkin bina masyarakat yang lebih menghargai seni
(Gambar: Jack Yam/Esplanade - Theatres on the Bay)
Inilah antara fokus pemerintah dalam menawarkan Pas Budaya, di mana setiap warga yang layak diberi kredit bernilai S$100 untuk menikmati pelbagai program seni dan warisan bermula Isnin depan.
Bagi penggiat seni tempatan, langkah itu dilihat sebagai peluang untuk rakyat Singapura mengenali dengan lebih dekat lagi kepelbagaian karya seni yang ada, sekali gus merapatkan hubungan masyarakat dengan seni tanah air.
Pelakon dan penggiat seni teater Aidli Mosbit berkongsi harapan beliau dengan BERITA Mediacorp:
"Dengan adanya S$100 dalam Pas Budaya ini, saya harapkan lebih ramai yang dapat ke depan dan ambil tahu dan mula pupuk minat. Sebab apa kita pun tahu, kalau tak kenal maka tak cinta."
"Jadi ini ibarat perkenalan. Kita mengenalkan orang ramai dengan dunia seni dan dunia seni itu begitu luas. Macam-macam kita boleh lihat dan macam-macam kita boleh alami."
Inisiatif baharu yang diumumkan pada awal 2025 juga diharap mampu mendorong penonton untuk bersikap terbuka dan mencuba karya seni yang lazimnya kurang mendapat sambutan.
Menurut pemerhatian guru Sekolah Seni Singapura (SOTA) dan penggiat seni teater Mohd Fared Jainal, karya seni yang sering mendapat sambutan mempunyai nilai hiburan yang tinggi, senang dihadam dan difahami atau menarik perhatian secara visual.
"Tetapi bagi seni yang selalunya mengetengahkan isu-isu yang peka atau sensitif, atau seni yang memerlukan penonton untuk berfikir, ia kurang mendapat sambutan.
"Dan kadangkala sesuatu yang juga boleh membuat penonton berasa 'vulnerable' atau terdedah. Itu yang saya rasa agak mencabarlah untuk penonton."
Pun begitu, persembahan seumpama ini jelas Encik Fared, akan meninggalkan kesan yang lebih mendalam kepada penonton, sekali gus meningkatkan penghargaan mereka bagi proses mencipta karya tersebut.
"Kita bukan sahaja hendakkan pengunjung atau penonton. Kalau boleh, kita mahu teman seni atau keluarga seni, masyarakat yang betul-betul memahami kerja kita dan dapat terus memberi sokongan.
"Sebab itu dengan Pas Budaya ini, kalau boleh seniman dapat memberi bukan saja seni yang terbaik, tapi juga nilai tambah atau bonus untuk masyarakat lebih memahami isu atau karya diketengahkan."
Encik Fared menekankan, adalah penting untuk penonton memahami bukan sahaja karya persembahannya, namun juga di sebalik tabir - keseluruhan proses penciptaannya, termasuk tenaga kerja yang bertungkus lumus demi menjayakan sesuatu produksi ataupun satu karya.
"Ini dilakukan menerusi pelbagai cara, seperti bengkel, lawatan di sebalik tabir, sesi perkongsian selepas persembahan, perkongsian proses kerja, sesi bertemu artis dan lain-lain lagi", tambah Encik Fared.
GALAK BAKAT SENI CUBA IDEA BAHARU
Inisiatif terbaru itu juga memberi lebih banyak peluang kepada penggiat seni tempatan untuk mengasah bakat kreatif mereka dan mencuba idea-idea baharu.
Ini penting bagi mendorong industri seni tanah air untuk terus berkembang dan memperluaskan tawaran karya seni kepada pelbagai lapisan masyarakat.
Misalnya, baru-baru ini Cik Aidli yang penah berganding bahu dengan beberapa syarikat teater tempatan seperti Teater Kami, Wild Rice dan Teater Ekamatra, menerima permintaan untuk menulis skrip bagi sebuah 'dinner theatre', iaitu konsep teater sambil makan malam yang jarang diketengahkan sebelum ini.
"Sekarang dah ada pula 'dinner theatre' di mana sesiapa yang datang ke restoran dengan bayaran tiket dan juga bayaran untuk makan, sekali gus dalam tiket menggunakan tiket Pas Budaya mereka dapat makan malam dan dapat persembahan," ujar Cik Aidli.
Bagi syarikat teater yang lazimnya membuat persembahan besar-besaran setiap tahun, Cik Aidli yakin, inisiatif Pas Budaya boleh mendorong mereka menghasilkan persembahan yang kecil namun lebih 'mesra masyarakat'.
Walaupun nilainya mungkin kecil, Pas Budaya itu berpotensi menjadi pemangkin untuk membuka ruang lebih luas bagi seniman tempatan mendampingi masyarakat.
Jika berjaya menambat minat orang ramai kepada seni dan budaya tempatan, ia mungkin berupaya untuk turut mengubah jati diri masyarakat itu sendiri.
"Suara yang dilontarkan menerusi seni itu memang penting. Seni bukan sahaja melambangkan budaya tapi ia juga memaparkan dan mencerminkan kehidupan kita secara menyeluruh.
"Seni memberi kita ruang untuk berfikir dan mendekatkan lagi dengan isu-isu peka dalam kita menangani dunia yang semakin kompleks ini. Justeru, sebab itu saya katakan perhubungan antara seni dan masyarakat itu sangatlah penting," kata Encik Fared semasa menggulung pandangan beliau.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.