Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

analisisBERITA: Pakej Majulah satu insentif baik bagi warga emas, tapi jangan anggapnya "satu kecukupan"

Anggaran Waktu Membaca:
analisisBERITA: Pakej Majulah satu insentif baik bagi warga emas, tapi jangan anggapnya "satu kecukupan"

Pekerja lanjut usia dalam seragam membungkus makanan tengah hari mereka. (Gambar fail: Calvin Oh/CNA)

SINGAPURA: Dalam ucapan Rapat Hari Kebangsaan tahun ini, Perdana Menteri Lee Hsien Loong mengumumkan langkah baharu untuk membantu warga emas berusia 50 tahun dan ke atas untuk bersiap bagi persaraan.

Dipanggil Pakej Majulah, ia khususnya menyasarkan golongan 'warga emas lebih muda' berusia 50 hingga awal 60-an tahun yang berpendapatan rendah.

Namun demikian, Naib Presiden NTUC Abdul Samad Abdul Wahab menekankan bahawa walaupun bantuan pemerintah itu suatu "kelebihan", ia tidak harus dianggap sebagai "kecukupan".
Naib Presiden NTUC, Abdul Samad Abdul Wahab. (Gambar: NTUC)
MERINGANKAN BEBAN BAGI PEKERJA YANG KURANG SIMPANAN CPF

Bernilai S$7 bilion, Pakej majulah itu terdiri daripada tiga komponen, dengan yang cukup dialu-alukan adalah Bonus 'Earn and Save'.

Ini kerana ia berbentuk tokokan tahunan kepada Tabung Simpanan Pekerja (CPF) untuk mereka yang kekal bekerja.

Jumlah agihannya bergantung kepada pendapatan pekerja dan berada antara S$400 hingga $1,000 setahun. Mereka akan menerimanya selagi mereka bekerja - sama ada sebagai pekerja sepenuh masa ataupun pekerja sambilan.

Ia dijangka memberi manfaat kepada 1.4 juta warga emas apabila skim itu bermula nanti.

"Pakej ini adalah suatu yang dinanti-nantikan bagi golongan ini dan juga bagi gerakan buruh yang sentiasa menyuarakan hasrat pekerja yang bergaji rendah dan yang selalu mengetengahkan kebimbangan mereka, sama ada mempunyai cukup duit persaraan apabila tiba umur bersara," kata Encik Abdul Samad kepada BERITA Mediacorp.

"Dengan itu, bantuan dari Pemerintah dari segi Pakej Majulah ini akan dapat meringankan beban para pekerja yang tidak menepati Jumlah Persaraan Asas (BRS)."
Walaupun jumlah pencarum CPF yang dapat mengetepikan BRS apabila menjejak usia 55 tahun terus meningkat dari tahun ke tahun, terdapat keprihatinan bahawa trend ini mungkin tidak mampu berterusan.

Ini memandangkan jumlah BRS akan naik 3.5 peratus setiap tahun sepanjang lima kohort seterusnya untuk mengambil kira kadar inflasi serta peningkatan pada taraf kehidupan.
JANGAN ANGGAP BANTUAN INI SEBAGAI "SATU KECUKUPAN"

Lantaran itu Encik Abdul Samad menggesa orang ramai supaya meningkatkan usaha mencari pekerjaan dan gaji lebih baik agar dapat pulangan yang lebih dari apa yang ada.

Walaupun ada bantuan daripada pemerintah menerusi Pakej Majulah itu menerusi Bonus 'Earn and Save', Encik Abdul Samad, mengingatkan supaya tidak salah faham bahawa tokokan tersebut mencukupi.

"Apa yang Pemerintah beri ini adalah suatu insentif kelebihan. Janganlah anggap dia sebagai satu kecukupan, tetapi anggaplah bonus itu sebagai suatu yang dapat menambahkan tabungan CPF kita," tekan beliau.
(Gambar: MCI)
PERLU PASTIKAN LEBIH RAMAI WARGA SG RAIH MANFAAT BONUS 'EARN AND SAVE'

Namun demikian, ada segelintir anggota masyarakat yang tidak dapat menyumbang secara aktif kepada CPF.

Ini termasuk juga kaum wanita, khususnya mereka yang berhenti bekerja untuk mengasuh atau menjaga anggota keluarga, serta golongan mereka yang berniaga dari rumah (HBB).

Menurut data yang dikeluarkan CPF, jumlah wanita lanjut usia yang menerima bantuan Skim Ihsan Senja lazimnya lebih tinggi berbanding kaum lelaki.
Di bawah skim yang dilancarkan pada 2016 ini, warga emas yang berpendapatan rendah sewaktu bekerja dahulu dan kini tidak mempunyai simpanan CPF yang banyak, akan menerima agihan wang tunai setiap suku tahun.

Jumlah wang tunai yang diterima seorang warga emas adalah antara S$180 hingga S$900, bergantung kepada pendapatan bulanan sesisi rumah bagi setiap seorang dan jenis flat Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) yang mereka huni.

Ditanya tentang langkah-langkah yang boleh dilakukan agar lebih ramai orang meraih manfaat bonus ini, ini jawapan Encik Abdul Samad:

"Pertama adalah untuk menggalakkan mereka yang tidak bekerja, terutamanya kaum wanita yang sudah lama berhenti bekerja, agar kembali kepada alam pekerjaan untuk mendapatkan bantuan pemerintah."

Namun, beliau turut menarik perhatian bahawa para majikan memainkan peranan penting dalam menyokong para pekerja dengan keperluan masing-masing.

"Kita harus ada majikan yang lebih terbuka dan akan menyokong dengan apa-apa yang golongan ini perlukan, seperti aturan kerja fleksibel dan sebagainya," terang beliau.

AMBIL TAHU PERBELANJAAN YANG DIPERLUKAN BILA BERSARA

Selain inisiatif Pemerintah, mantan Anggota Parlimen Dilantik (NMP) itu menyeru masyarakat agar membuat persiapan secara individu dari awal lagi.

"Pemerintah akan sentiasa mengambil hal ehwal masyarakat dan menghulurkan bantuan. Namun, sebagai seorang individu mahupun pekerja, kita harus mengetahui apakah perbelanjaan yang diperlukan apabila kita bersara dan menjaga kesihatan kita.

"Oleh itu, individu memain peranan lebih penting untuk memastikan wang persaraan dalam CPF itu mencukupi bila sudah tiba waktu bersara dan sekiranya mereka berpeluang untuk terus bekerja, maka itu lebih baiklah," tekan Encik Abdul Samad.

Untuk itu, mengasah kemahiran atau mempelajari kemahiran baharu juga penting, kata beliau, agar kekal relevan dalam dunia yang berubah-ubah.
Sumber : BERITA Mediacorp/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan