Skip to main content

Singapura

analisisBERITA: Orang Melayu masih kurang sedia dapatkan rawatan kesihatan mental?

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Dalam soal kesihatan mental, golongan muda Melayu/Islam tempatan, termasuk ibu bapa muda, kini lebih peka tentang isu kesihatan mental. Malah mereka juga lebih bersedia untuk menjalani rawatan profesional.

Demikian pengamatan pakar psikiatri Dr Syed Harun Alhabsyi, berhubung pemahaman dan penerimaan masyarakat Melayu/Islam terhadap isu kesihatan mental sepanjang sedekad lalu.

Kelaziman penyakit mental dalam kalangan masyarakat Melayu, kata beliau, sama seperti di peringkat nasional.

"Kajian Kesihatan Mental Kebangsaan 2020 yang dikendalikan oleh Institut Kesihatan Mental menunjukkan satu dalam tujuh penduduk Singapura mungkin bergelut dengan penyakit mental. Antaranya termasuk kemurungan dan kegelisahan," kata Dr Syed Harun, seorang pakar perunding pskiatri dan pengarah perubatan, The Starfish Clinic of Psychiatry & Mental Wellness.

APA ITU KESIHATAN MENTAL?

Namun apa sebenarnya yang dimaksudkan dengan kesihatan mental?

Menurut Dr Syed Harun, ia sebenarnya adalah keadaan kesihatan yang melibatkan perubahan dalam seseorang dari segi emosi, daya pemikiran ataupun tingkah laku mereka.

"Apabila kita lihat kepada kesihatan mental, ia sama seperti penyakit-penyakit yang lain, kadangkala perlu berubat. Kadangkala perlu strategi tertentu untuk mengurangkan daya tekanan kehidupan seseorang itu.

"Kadangkala kita tidak menyedarinya. Ia mungkin berlaku dari segi daya untuk bergembira ataupun personaliti dan tingkah lakunya berubah, atau prestasinya di tempat kerja berkurangan dan ia mungkin tidak sejajar dengan kebolehan seseorang itu," jelas beliau.

Kadangkala gejala gangguan kesihatan mental boleh muncul sebagai masalah fizikal.

"Apabila kita lihat kepada kegelisahan sebagai contoh, ataupun gejala-gejala panik, kita mendapati mungkin gejala yang pertama adalah jantung yang berdebar-debar, ataupun rasanya perut memulas dan tidak dapat penyelesaian ataupun mungkin sakit kepala yang berlarutan. Ia memang berlaku, di mana mungkin gejala yang pertama seakan berputik fizikal, tetapi andaiannya datang dari sesuatu tekanan ataupun kesihatan mental."

MASYARAKAT MELAYU/ISLAM KINI LEBIH PEKA?

Dr Syed Harun berkongsi bahawa kini sudah ada satu perubahan positif dalam sikap orang Melayu berkaitan isu kesihatan mental.

Beliau akur bahawa dalam berbincang tentang kesihatan mental dalam masyarakat Melayu/Islam kita, mungkin pada awalnya ia lebih berputik kepada menganggapnya gangguan spiritual atau kerohanian, ilmu hitam dan sebagainya.

"Mungkin dari segi lensa pakar psikiatri, di mana saya juga mendapati, antara gejala-gejala tersebut di mana seseorang itu mungkin rasa was-was ataupun rasa mungkin terdapat suatu perasaan yang dia 'dibuat orang' dan sebagainya.

"Dan ia menambah kepada kegelisahan, paranoia, atau mungkin terdapat gejala di mana seseorang itu mengalami halusinasi dan sebagainya. Mereka tidak terfikir bahawa khidmat awal adalah untuk mendapatkanpertolongan perubatan atau pakar psikiatri.

"Tetapi saya mendapati bahawa dalam kalangan masyarakat kita, terutama sekali golongan muda ataupun ibu bapa muda yang mungkin ingin memberi pertolongan bagi anak-anak mereka, saya mendapati mungkin mereka lebih peka, lebih maklum tentang isu-isu kesihatan mental dan mereka lebih bersedia untuk mendapatkan rawatan-rawatan tertentu yang beraliran penyakit mental," terang Dr Syed Harun.

ASATIZAH JUGA RUJUKKAN PESAKIT KEPADA PAKAR PSIKIATRI

Beliau menekankan, golongan asatizah juga memainkan peranan penting dalam membantu menangani isu kesihatan mental dalam masyarakat.

Sekali sekala, beliau mendapat rujukan pesakit daripada para asatizah di mana mungkin pada awalnya, seseorang itu ingin mendapat pertolongan melalui kaunseling ataupun nasihat.

Ataupun mungkin mereka berasa ia suatu gangguan yang mungkin dapat ditangani oleh para asatizah.

"Tetapi sebaliknya mereka dihantar kepada klinik saya untuk mendapatkan rawatan kerana para asatizah juga lebih peka tentang kesihatan mental dan mereka tahu aliran-aliran tertentu untuk mendapatkan rawatan yang sewajarnya," kongsi Dr Syed Harun.

Tambahnya lagi, rawatan awal penting sekali demi mencegah gejala kesihatan mental yang dialami seseorang itu daripada menjadi lebih tenat, atau menyebabkan seseorang itu memerlukan dos ubat-ubatan lebih tinggi.

'MALU' BOLEH HAMBAT SOAL DAPATKAN RAWATAN

Di peringkat nasional pula, Dr Syed Harun menarik perhatian kepada strategi-strategi yang memberi penekanan kepada kesihatan mental.

Ini termasuk mendidik para pelajar tentang cara mengawal emosi serta menangani kegelisahan dan tekanan, yang kata beliaum, sekali gus dapat meningkatkan daya tahan anak-anak muda.

Beliau berpendapat sebenarnya lebih banyak usaha masih diperlukan. Contohnya, perasaan malu dan kurangnya kesedaran, kata beliau, boleh menghambat seseorang daripada mendapatkan rawatan profesional.

Maka tambahnya, membiasakan perbualan tentang kesihatan mental dari awal lagi, boleh membantu.

"Kita sebagai masyarakat memang perlu membawa kesedaran yang lebih tinggi kepada penyakit penyakit seperti kemurungan, kegelisahan, skizofrenia, demensia dan sebagainya.

"Apabila perbualan kita secara harian membawa sifat-sifat empati kepada isu-isu tersebut, jika antara saudara mara kita ataupun kaum kerabat kita mengalami penyakit mental tersebut, mereka tidak akan rasa malu kerana perbualan harian antara mereka adalah sesuatu yang membawa kesedaran kesihatan mental ke tahap normal, ke tahap yang memerlukan rawatan.

"Dan ke tahap di mana seseorang tidak perlu rasa malu ataupun rasa diri dilanda stigma apabila mereka ingin mendapatkan pertolongan. Dan itu penting," hujjah beliau.

Yang jelas, kesihatan mental sama seperti kesihatan fizikal.

Mendapatkan rawatan profesional adalah satu langkah ke arah mencapai kesihatan mental yang baik.
Sumber : BERITA Mediacorp/ at
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita