Skip to main content

Singapura

analisisBERITA: Mengupas mengapa belia Muslim tempatan berasa kandungan Islam tempatan tidak cukup...

Kajian Pusat Penyelidikan Ehwal Islam dan Melayu (RIMA) baru-baru ini mendapati, hampir separuh atau 47 peratus belia Muslim tempatan berasa kandungan Islam tempatan tidak cukup untuk menangani isu-isu kontemporari bagi mereka.

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 18 Jul 2026 12:02AM Dikemas Kini : 18 Aug 2026 09:33AM
SINGAPURA: Kajian Pusat Penyelidikan Ehwal Islam dan Melayu (RIMA) baru-baru ini mendapati, hampir separuh atau 47 peratus belia Muslim tempatan berasa kandungan Islam tempatan tidak cukup untuk menangani isu-isu kontemporari bagi mereka.

Antara isu-isu kontemporari yang dibangkitkan oleh para responden adalah seperti perang Israel-Palestin, kesihatan mental dan identiti jantina.

Lantaran itu juga, ramai belia Melayu beralih kepada kandungan-kandungan yang dihasilkan pencipta kandungan luar negara bagi perbincangan mendalam mengenai isu, falsafah dan ehwal Muslim global.

Jadi, apakah pengertian dapatan ini berhubung kandungan dan pendidikan Islam tempatan?
MENGAPA KANDUNGAN ASATIZAH TEMPATAN 'KURANG SAMPAI'?

Pada umumnya, 41 peratus responden akur bahawa kandungan Islam tempatan memadai bagi isu kontemporari.

Menurut RIMA, ini bermakna adanya asas yang kuat dalam kandungan tempatan mendampingi keprihatinan belia tempatan.

Malah, menurut Perunding Pendidikan Islam di ANISE Consultancy & Services, Dr Alaniah Wahid, laporan ini turut menunjukkan bahawa belia Singapura masih menghargai kewibawaan asatizah serta kandungan agama yang dihasilkan secara tempatan.
Related article image
Perunding Pendidikan Islam di ANISE Consultancy & Services, Dr Alaniah Wahid. (Gambar: BERITA Mediacorp)
Berhubung kandungan yang diinginkan para belia, Dr Alaniah berkata, para asatizah tempatan mampu menghasilkan kandungan yang berkualiti.

Namun ia mungkin kurang sampai kepada para belia disebabkan sifat media sosial itu sendiri, iaitu algoritma media sosial.

"Algoritma itu mungkin lebih cenderung kepada mengangkat ataupun membawa kepada kandungan yang lebih ringkas, sebagai contoh, yang lebih sensasi ataupun mungkin yang lebih mempunyai 'engagement' ataupun 'Likes' yang tinggi.

"Jadi bagi saya, dengan adanya kajian ini juga ia sebagai memberi kita isyarat bahawa belia bukan sekadar mahukan lebih banyak kandungan tetapi saya fikir mereka sebenarnya mahukan juga kandungan yang lebih mendalam, yang lebih dekat dengan persoalan kehidupan mereka," jelas Dr Alaniah, yang juga Naib Presiden PERGAS.

Lantaran itu ujar beliau lagi, sangat penting untuk kandungan tersebut seharusnya mudah dicari oleh para belia.
Related article image
Kandungan antarabangsa sering dirujuk sebagai ilmu tambahan atau pandangan alternatif kepada kandungan tempatan. (Sumber: RIMA)
RAMAI IKUTI KANDUNGAN LUAR NEGARA UNTUK PERKAYA KEFAHAMAN

Kajian tersebut, yang dijalankan ke atas belia Muslim Singapura berusia antara 15 hingga 35 tahun, juga mendapati majoriti iaitu 56 peratus belia tidak memilih antara pencipta kandungan tempatan atau antarabangsa.

Namun demikian, ramai yang mengikuti pencipta kandungan Islam antarabangsa untuk memperkaya kefahaman mereka.

Mereka juga berusaha memperdalam dan meneroka perspektif-perspektif lebih luas berhubung topik-topik rumit bagi melengkapi kandungan yang didapatkan secara dalam negeri, menurut RIMA.

Menariknya, menurut RIMA, para belia yang ditinjau akur bahawa nasihat yang dikeluarkan dari luar negara mungkin tidak sesuai untuk sekitaran sosial dan budaya Singapura.

Lantaran itu, ini menekankan betapa pendidikan dan suara keislaman lokal penting dalam memberi konteks kepada ajaran Islam bagi Muslim tempatan.

Dr Alaniah juga akur dengan pandangan tersebut dan berasa, tiada masalah untuk menimba ilmu daripada pelbagai rujukan.

Beliau menganggap bahawa kedua-dua ilmu tempatan dan ilmu daripada luar negara itu tidak seharusnya saling bersaing antara satu sama lain.

PERANAN SEBAGAI JAMBATAN ILMU

Namun, beliau juga menekankan pentingnya rujukan tempatan yang boleh menyesuaikan kandungan daripada luar negara untuk konteks Singapura.

"Yang pentingnya di sini ialah kita juga harus akur bahawa realitinya, setiap pandangan itu sebenarnya memang lahir daripada konteks masyarakat tertentu," kata Dr Alaniah.

Lantas, beliau, yang juga seorang ahli Lembaga Pengiktirafan Asatizah (ARB), berpendapat bahawa asatizah tempatan memainkan peranan yang penting sebagai jambatan ilmu yang dapat membantu masyarakat.

"Kita memahami bagaimana prinsip-prinsip ataupun bagaimana kandungan yang telah mereka dapati daripada guru-guru daripada luar negara itu dapat diaplikasikan dalam realiti konteks tempatan kita," kata beliau.

"Jadi itu bagi saya tIdak ada masalah untuk mereka hendak belajar dari mana, tetapi harus ada guru dan pastikan ianya sesuai dengan konteks di Singapura."

Selain konteks masyarakat yang berbeza-beza, dunia digital sememangnya ada risikonya tersendiri, termasuk fenomena seperti radikalisasi online dan sebagainya.

Lantas, Dr Alaniah menegaskan bahawa ada kepentingan untuk memastikan kewibawaan seseorang pendakwah dalam menghasilkan dan menyebarkan kandungan agama.

CARA BELAJAR AGAMA BELIA HARI INI BERBEZA

Pada akhirnya, Dr Alaniah percaya kajian tersebut menekankan perubahan dari segi cara pembelajaran dan pemahaman agama dalam kalangan para belia hari ini.

Daripada topik perbincangan, kualiti kandungan kepada cara mengajukan soalan, para belia kini berminat untuk mempelajari agama dengan lebih mendalam.

Jadi tiada isu mengenai belia tidak berminat mencari ilmu agama.

"Jadi, cabaran kita bukan sekadar menghasilkan lebih banyak kandungan. Bukan kita mengatakan bahawa ia tidak mencukupi. Tetapi bagaimana kita hendak pastikan bahawa kita kekalkan kandungan itu sentiasa boleh sampai kepada mereka," tambah beliau.

Malah, Dr Alaniah juga menekankan bahawa perbincangan isu-isu sebegini tidak seharusnya terhenti di wadah online sahaja.

"Kita pastikan hubungan antara kita dengan masyarakat bukan hanya dalam aspek digital, tetapi kita mungkin memikirkan tentang bagaimana kita boleh terus adakan ruangan untuk kita sentiasa adakan berdialog ataupun perbualan yang bermakna dengan mereka."
Sumber : BERITA Mediacorp/QA/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita