analisisBERITA: Mengapakah semakan strategi ekonomi Singapura perlu dilakukan?
Singapura awal minggu ini mengumumkan semakan strategi ekonomi sebagaimana didedahkan DPM Gan Kim Yong.
Apakah hasil yang ingin dicapai menerusi inisiatif tersebut?
Setelah 60 tahun merdeka, masih adakah yang tidak kena dengan ekonomi kita?
Pakar Ekonomi Saktiandi Supaat dari Maybank yang juga merupakan Anggota Parlimen GRC Bishan-Toa Payoh berkongsi pandangan beliau.
"Semakan ini bukan kerana ada yang tidak baik dari segi ekonomi kita, tapi sebaliknya saya rasa mencerminkan kematangan dan kesiapsiagaan kita sebagai sebuah negara yang sudah 60 tahun merdeka."
Selain mengambil pendekatan proaktif, langkah sedemikian juga memberi isyarat jelas bahawa negara mengambil serius pelbagai cabaran mendatang, tambah Encik Saktiandi.
"Penting untuk menunjukkan kita sedang mengambil aksi untuk menangani situasi yang kita hadapi sekarang yang semakin berubah dengan cepat. Jadi negara yang berjaya adalah negara yang sentiasa menilai semua strategi dan bersedia berubah."
Negara kecil mahupun besar, semuanya terjejas.
Bagi Singapura, ini menjejas dagangan syarikat-syarikat yang berorientasikan eksport, menjejas sektor semikonduktor tempatan, serta menjejas pekerja dan peluang pekerjaan.
Bagaimanapun buat masa ini, kesan tarif Trump masih belum benar-benar terasa bagi kebanyakan rakyat Singapura.
"Faktor pertama adalah karena 'front loading' di mana ramai pengeksport menjual lebih banyak produk ke Amerika Syarikat. Jadi kita lihat kerancakkan ekonomi dari segi eksport daripada perdagangan pada suku pertama, kedua dan sedikit sebanyak, suku ketiga. Kita masih belum lihat impak inflasi di Amerika Syarikat dan juga impak inflasi di seluruh dunia. Kita juga belum lihat kesan dari segi jual-beli atau tempahan derivatif kedua dan ketiga, dalam lain perkataan, kesan perubahan kepada cara mengeksport produk ke AS serta perubahan kepada rantaian bekalan."
Namun, lambat laun kesannya akan tetap dapat dirasakan oleh semua pihak, tambah Encik Saktiandi.
"Kesan langsung mungkin belum ketara bagi orang ramai, tetapi dari sudut ekonomi, keseluruhan tekanan saya rasa sedang dirasakan, terutama dari dalam sektor perdagangan, pelaburan. Seperti yang saya katakan tadi, ia boleh memberi kesan mendalam terhadap pertumbuhan ekonomi global, juga peluang pekerjaan dan kos sara hidup pada masa mendatang. Jadi langkah awal adalah kunci untuk menghadapi cara semasa masa depan yang tidak menentu."
Dan langkah awal itu ialah semakan kepada strategi ekonomi Singapura yang mempunyai lima bidang tumpuan termasuk mahu memperkukuh daya saing negara ini dan mengenal pasti enjin pertumbuhan baharu.
Setiap bidang ini dipacu oleh sebuah jawatankuasa yang dipengerusikan dua penjawat politik.
Pelbagai wakil akan dilantik daripada pihak-pihak berkepentingan dari sektor swasta, kesatuan sekerja dan pertubuhan lain.
DPM Gan berharap lima jawatankuasa ini dapat memberi kemas kini terhadap bidang tugas mereka dan mengetengahkan pelbagai saranan utama menjelang awal tahun depan.
"Saya harap bila laporan ini datang, ia akan dikelolakan atau dikeluarkan dengan cara mudah untuk masyarakat memahaminya, kerana situasi global sekarang semakin kompleks. Banyak pekerjaan akan berubah akibat kemajuan teknologi dan perubahan dalam ekonomi global. Saya rasa ini adalah satu cabaran berterusan yang kita akan hadapi sebagai satu masyarakat di Singapura."
Lantas, Encik Saktiandi menegaskan, Pembelajaran Sepanjang Hayat bukan lagi sekadar satu slogan atau pilihan, tetapi satu keperluan mendesak.
"Kemahiran yang kita ada hari ini mungkin tidak mencukupi untuk pekerjaan masa depan dan pertukaran ekonomi global yang kita lihat sekarang akan berbeza. Jadi kita perlu sentiasa - ini seperti piring hitam rosak, kita sentiasa katakan ini - Kita perlu sentiasa meningkatkan kemahiran."
Di sinilah masyarakat Melayu/Islam tidak harus ketinggalan.
"Masyarakat kita boleh menggembleng tenaga untuk memahaminya. Di sektor teknologi hijau, kecekapan tenaga, tenaga boleh diperbaharui, saya rasa juga reka bentuk bandar yang lebih mampan. Singapura mahu jadi hab untuk pembangunan modal AI dan etika penggunaannya jadi itu adalah satu arena mungkin peluang-peluang untuk masyarakat Melayu/Islam kita yang ingin menceburi sektor ini."
Khusus bagi ekonomi ASEAN yang ingin dieratkan sebagai reaksi kepada tarif pentadbiran Trump, masyarakat Melayu/Islam mempunyai kelebihan dari sudut bahasa dan keterkaitan.
"Pertumbuhan di ASEAN semakin padat, dari segi demografik negara-negara ASEAN mempunyai peluang pasaran yang yang positif jadi saya rasa seperti Perdana Menteri Lawrence Wong telah katakan, lebih banyak boleh kita buat di dalam ASEAN bersama untuk meningkatkan keupayaan ASEAN dan juga untuk Singapura. Jadi masa depan bersama rantau ini menjadi semakin penting pada masa depan."
"Saya harap kita tidak akan hilang upaya atau faktor-faktor yang telah mendorong pertumbuhan ekonomi Singapura sejak kita merdeka. Sejarah kita menunjukkan bahwa setiap kali kita diuji, pemerintah mengambil tindakan dengan cepat dan baik, serta berganding bahu dengan rakyat. Masyarakat Singapura juga, kecekalan mereka yang sentiasa tangkas dan berdaya juga membuat kita lebih berdaya tahan."
Berlandaskan teras ekonomi sedia ada, serta usaha mengenalpasti strategi yang lebih jitu, Singapura mampu melangkah ke dekad-dekad seterusnya dengan penuh rasa positif, rumus Encik Saktiandi.
"Saya ingin mengakhiri dengan mengatakan bahawa pemerintah tidak akan biarkan rakyat terkapar-kapar. Dengan semangat gotong royong dan keinginan untuk maju bersama, saya rasa kita akan dapat sesuaikan diri dan terus berjaya. Kunci utama saya rasa adalah kita perlu terus belajar bekerjasama dan saya rasa percaya bahwa perubahan adalah peluang. Mempunyai minda, bahwa perubahan itu adalah peluang, bukan ancaman."
Laporan akhir semakan strategi ekonomi dijangka diterbitkan pada pertengahan 2026.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.