Skip to main content

Singapura

analisisBERITA: Mengapa ramai kurang proaktif manfaatkan tokokan kredit S$500 SkillsFuture?

Kurang seminggu sahaja lagi, dan tokokan kredit SkillsFuture sebanyak S$500, yang diberi semasa COVID-19, akan luput.
Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Kurang seminggu sahaja lagi, dan tokokan kredit SkillsFuture sebanyak S$500, yang diberi semasa COVID-19, akan luput.

Maka tidak hairanlah, permintaan untuk kursus-kurusus yang ditawarkan melonjak akhir-akhir ini, sehingga ada sesetengah penyedia khidmat latihan, melaporkan pendaftaran meningkat mendadak sehingga tujuh kali ganda.

Namun apakah sebabnya orang ramai kurang proaktif atau kurang merancang bagi memanfaatkan kredit tersebut?

Dan apa pula kesan sampingan yang mungkin timbul baik di pihak penyedia mahupun bagi si peserta kursus itu sendiri?

Ketua Pegawai Operasi SSA Group Affandi Salleh berkongsi pengalaman syarikat beliau.

"Cabaran utama yang SSA hadapi ketika ini ialah bagaimana untuk memenuhi permintaan yang sangat tinggi dalam tempoh yang singkat. Sambutan terhadap kursus-kursus kami amat menggalakkan sehingga banyak kelas-kelas kami sudah penuh, dan buat sementara waktu ini kami terpaksa menolak pendaftaran baharu."

Yang beliau bimbangkan, ramai yang mungkin menyertai kursus-kursus yang kurang memberi nilai tambah kepada diri mereka, kerana terdesak.

"Semua tangkap muat, kerana hendak memanfaatkan kredit SkillsFuture. Jadi bukan dari segi permintaan dan bekalan, lebih kepada mereka betul-betul cakap, saya hendak gunakan kredit SkillsFuture ini, jadi apa kursus yang ada, mereka sertai sahaja."

MENGAPA RAMAI YANG BELUM GUNAKAN KREDIT MEREKA?
Related article image
Sesi perancangan kerjaya akan dapat membantu pekerja lanjut usia meningkatkan kemahiran yang baru. (Gambar: Mediacorp)
Jika ingin dilihat secara positif, mungkin trend terbaharu ini dapat menjadi pemangkin bagi lebih ramai lagi untuk menyertai kursus-kursus peningkatan kemahiran.

Ini memandangkan, sehingga September lalu, 70 peratus warga Singapura yang layak, belum menggunakan kredit mereka, lapor SkillsFuture SG (SSG).

Jadi apakah antara faktor penghambat? Berikut hasil pengamatan Encik Affandi.

"Ramai di antara kita masih bersifat 'tunggulah dulu' dan memanfaatkan kredit skillsFuture bukan satu keutamaan mereka. Walaupun kredit SkillsFuture tersedia ada, masa dan komitmen sentiasa menjadi cabaran utama bagi mereka"

Tambah Naib Presiden Eksekutif SSG Group itu, kesan psikologi juga menjadi satu faktor - iaitu rasa kekok atau takut untuk kembali ke kelas, terutama di kalangan warga emas.

Bagi golongan pekerja muda yang mungkin memiliki kesedaran, mereka dihambat rasa kurang yakin dengan manfaat kursus latihan kepada pekerjaan dan kerjaya mereka.

"Ada yang tidak faham bagaimana untuk memilih kursus yang sesuai atau bagaimana kursus tersebut boleh membantu mereka dalam masa jangka panjang. Ramai masih tidak nampak atau ingin tahu apakah kaitan jelas antara kursus-kursus yang ditawarkan dengan pekerjaan atau laluan kerjaya mereka atau kehidupan mereka."


KESEDARAN MEMBURU PEMBELAJARAN SEPANJANG HAYAT MASIH KURANG?
Related article image
Orang ramai mendapatkan bantuan untuk mempertingkatkan diri dan mencari pekerjaan menerusi Mendaki SENSE. (Gambar: Mediacorp)
Usaha Singapura bagi meningkatkan kemahiran pekerja serta menerapkan budaya Pembelajaran Sepanjang Hayat bukan baharu.

Selain pelbagai usaha di peringkat nasional, khusus bagi masyarakat Melayu, kita pernah didedahkan kepada KBE - Ekonomi Berteraskan Ilmu.

Begitu juga inisiatif di peringkat institusi seperti MENDAKI SENSE.

Jadi, mengapa masih muncul fenomena kurang memanfaatkan peluang latihan seperti ini?

Berikut hasil pengamatan Encik Affandi selepas bergelut dalam bidang tersebut selama hampir empat dekad.

"Pendekatan sedia ada masih boleh dipertingkatkan. Kesedaran sudah wujud, namun belum sepenuhnya diterjemahkan kepada tindakan. Perubahan minda memerlukan masa. Usaha berterusan perlu untuk menonjolkan bahawa Pembelajaran Sepanjang Hayat serta peningkatan kemahiran adalah keperluan berterusan, selari dengan perubahan teknologi dan pasaran kerja."

Selain itu, pendekatan kepada masyarakat Melayu khususnya juga perlu diperhalusi, tambah beliau.

"Bagi masyarakat kita, pendekatan perlu lebih bersifat mendekati dan bermakna. Kita perlu mengubah naratif masyarakat kita dari aspek pembelajaran bahawa belajar bukan hanya untuk naik pangkat tetapi untuk memperbaiki mutu hidup, keyakinan diri dan daya tahan dalam kehidupan kita."

BAGAIMANA UNTUK GALAKKAN MASYARAKAT MANFAATKAN KREDIT SKILLSFUTURE?
Related article image
Walaupun tokokan kredit berjumlah S$500 bakal luput pada 31 Disember ini, kredit awal SkillsFuture sebanyak S$500 masih kekal.

Begitu juga elaun latihan bernilai S$4,000 yang tersedia untuk mereka yang berumur 40 tahun ke atas.

Lantas, Encik Affandi berkongsi beberapa saranan bagi menggalak lebih ramai masyarakat kita untuk memanfaatkan kredit yang tersedia sepenuhnya.

"Masyarakat kita lebih berminat kursus yang 'hands-on' atau praktikal. Jadi menawarkan lebih banyak kursus praktikal, jangka pendek dan mudah diaplikasikan dalam kehidupan harian dan juga pekerjaan."

Menurut pengalaman SSA Group, kursus-kursus yang melibatkan penyertaan secara berkumpulan lebih diminati orang Melayu. Lantas, kursus jenis sebegini sebaiknya dipertingkatkan.

"Pendekatan pembelajaran secara sosial ini menjadikan proses pembelajaran lebih selesa, dan juga menyeronokkan dan juga kurang menakutkan, terutamanya bagi mereka yang sudah lama meninggalkan alam format pembelajaran."

Bagi menyuntik semangat pula, kisah-kisah mereka yang berhasil mendaki tangga kejayaan selepas mengikuti kursus-kursus peningkatan diri, perlu diberi sorotan meluas, saran Encik Affandi.

"Menggunakan pendekatan penceritaan dan contoh kejayaan sebenar untuk menunjukkan impak positif kursus terhadap kehidupan peserta. Penglibatan aktif agensi-agensi, pertubuhan masyarakat dan para pemimpin masyarakat juga amat penting untuk menggalakkan budaya Pembelajaran Sepanjang Hayat."

Merumuskan topik perbincangan, COO SSG Group itu cukup yakin - dengan bimbingan yang tepat dan kursus-kursus yang relevan, matlamat inisiatif SkillsFuture dapat dicapai.

"Apabila individu melihat pembelajaran sebagai pelaburan untuk kerjaya yang lebih mampan dan kehidupan keluarga yang lebih baik, penyertaan akan berlaku secara semula jadi. Kami percaya, usaha peningkatan kemahiran ini akan meraih manfaat jangka panjang, bukan sahaja kepada individu, tetapi kepada keluarga dan masyarakat secara keseluruhan."
Sumber : BERITA Mediacorp/IQ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita