Skip to main content

Singapura

analisisBERITA: Mengapa penerima bantuan ComCare berkurangan, tetapi keganasan keluarga bertambah?

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Jumlah keluarga yang menerima bantuan ComCare jatuh ke paras terendah dalam tempoh lima tahun pada 2024.

Namun pada masa yang sama, kes keganasan keluarga yang dirujuk kepada agensi perlindungan pula terus meningkat.

Demikian menurut laporan terkini trend isi rumah keluarga berpendapatan rendah yang dikeluarkan oleh Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF) pada Selasa (16 Dis).

Mengapa terjadi dua trend yang berbeza ini, sehingga menimbulkan persoalan: Apakah antara faktor-faktor yang memacunya?

Dan apakah isyarat yang muncul daripada laporan itu berhubung tekanan yang sedang dihadapi keluarga-keluarga di sini?

Dua trend yang kelihatan bercanggah itu menggambarkan realiti baharu bagi sebahagian keluarga bergaji rendah di Singapura.
KEMAJUAN AWAL YANG POSITIF

Bagi Ketua Pegawai Eksekutif agensi khidmat keluarga Allkin Singapore Fareez Fahmy, jumlah penerima ComCare yang berkurangan merupakan satu kemajuan awal yang positif.

Secara terperinci, laporan yang dikeluarkan MSF itu menunjukkan sekitar 20,800 isi rumah mendapatkan bantuan jangka pendek hingga sederhana (SMTA) untuk keperluan asas mereka.

Ini sekitar 9 peratus lebih rendah berbanding 2023.

Sementara itu, jumlah keluarga yang mendapatkan bantuan jangka panjang (LTA) kerana tidak boleh bekerja dan tidak mempunyai sokongan keluarga, juga berkurangan hampir 7 peratus kepada 3,200 keluarga tahun lalu.

CABARAN KELUARGA SEBENARNYA TIDAK BERKURANGAN

Namun, ini tidak bermakna, cabaran keluarga Singapura sudah turut berkurangan, kata Encik Fareez.

Malah menurut beliau, masalah yang dihadapi keluarga-keluarga hari ini sebenarnya semakin rumit dan memerlukan bantuan yang lebih menyeluruh.

"Banyak keluarga harus berdepan dengan pendapatan yang tidak lengkap. Mereka (juga) ada tekanan keluarga, isu konflik keluarga dan mungkin masalah kesihatan kronik juga.

"Justeru keadaan ini membuat mereka mudah terjejas bila ada krisis yang kecil, seperti sakit, hilang kerja atau masalah tingkah laku," jelas Encik Fareez.

CABARAN KOMPLEKS, PERLU MASA & SOKONGAN DISELARAS

Bagi banyak keluarga yang terhimpit berbagai masalah ini, pendapatan yang tidak stabil menjadi antara punca utama kerumitan itu.

Malah hampir 40 peratus keluarga bergaji rendah di bawah ComLink+ tidak mempunyai seorang pun ahli keluarga dengan gaji tetap pada hujung 2024.
Walaupun terdapat pelbagai peluang dan sokongan tambahan disediakan untuk golongan tersebut, ramai antara mereka kata Encik Fareez, berdepan dengan keperluan yang kompleks. Menanganinya mengambil masa dan kepercayaan, serta sokongan yang diselaraskan.

Beliau menjelaskan bahawa ramai ibu bapa memerlukan kerja yang boleh menyesuaikan jadual atau kerja syif bagi menjaga anak kecil atau memenuhi keperluan perubatan ahli keluarga.

Akibatnya, ramai memilih pekerjaan ekonomi gig seperti menjadi pemandu Grab kerana boleh mendapatkan hasilnya dengan cepat dan jadualnya fleksibel.

Namun kerja sedemikian menyukarkan mereka membina simpanan CPF dan mengembangkan kerjaya jangka panjang.

TEKANAN BERGANDA BERI KESAN BURUK PADA KELUARGA

Tekanan berganda yang dihadapi keluarga-keluarga itu - daripada pendapatan yang tidak stabil hingga beban pekerjaan - boleh menyebabkan mereka lebih terdedah kepada konflik dan malangnya, keganasan keluarga.

Menurut laporan trend keluarga berpendapatan rendah MSF itu, jumlah kes baharu penderaan kanak-kanak Tahap 2 - iaitu kes berisiko tinggi - menurun dari 2021 hingga 2023, namun meningkat semula tahun lalu.

Kenaikan itu kebanyakannya dipacu oleh peningkatan kes penderaan fizikal, daripada 888 kes pada 2023 kepada hampir 1,200 pada 2024.

Menurut MSF, ini bermakna, hampir 3 daripada 1,000 kanak-kanak golongan itu mengalami penderaan tahun lalu. Ini berbanding kadar 2.4 pada 2023.
Related article image
Pengurus Pusat Kanan, Pusat Khidmat Keluarga PPIS (Timur) Nuraida Khalid menerangkan, apabila sesebuah keluarga menghadapi cabaran dari pelbagai sudut - dari segi kewangan, perumahan yang tidak stabil atau kesihatan dan lain-lain lagi - semakin sukar untuk anggota keluarga itu mengawal emosi mereka.

Ini justeru meningkatkan risiko berlakunya keganasan domestik.

PENTING TANGANI ISU & KESANNYA SUPAYA TIDAK BERLARUTAN

Sungguhpun demikian, Cik Nuraida menambah bahawa masyarakat kini mempunyai lebih banyak ruang untuk peka dan lebih bersedia membuat laporan sekiranya berlaku keganasan.

Antaranya adalah Talian Bantuan Nasional Anti-Keganasan dan Gangguan Seksual (NAVH).

Menurut Cik Nuraida, talian seperti NAVH membantu mendedahkan isu-isu keluarga yang sering berlaku di balik tabir agar tidak terus disembunyikan, supaya agensi-agensi berkaitan menyalurkan bantuan dan sokongan dengan lebih terperinci.
Di samping itu, Cik Nuraida juga menitipkan nasihat bahawa keluarga yang mengalami pelbagai cabaran - bukan sahaja keganasan keluarga - harus mendapatkan bantuan secepatnya supaya isu dan kesannya tidak berlarutan.

Ini terutama sekali kepada kanak-kanak, kerana impaknya mungkin hanya kelihatan pada masa akan datang.

"Anak-anak akan terjejas dari segi pembelajaran, emosi atau tingkah laku mereka di sekolah mahupun dengan anggota keluarga di rumah.

"Kadang-kadang mereka menjadi lebih terasing ataupun tidak mahu bercampur dengan orang dan bercerita," jelas Cik Nuraida.

Kadangkala ia memberi kesan berpanjangan terhadap pembangunan kanak-kanak, yang menurut Cik Nuraida mungkin tidak dilihat dalam waktu singkat tetapi akan tonjol dalam jangka masa panjang.

Justeru pekerja sosial itu menekankan, masyarakat sekitar juga harus prihatin dan memperhatikan sama ada kanak-kanak ataupun ahli keluarga dewasa menunjukkan sebarang tanda yang mencurigakan dan membuat laporan ke agensi-agensi relevan.
Sumber : BERITA Mediacorp/at
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita