Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

analisisBERITA: Mengapa peluasan subsidi prasekolah kepada ibu tidak bekerja 'langkah amat baik'

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Langkah pemerintah baru-baru ini mengumumkan subsidi lebih tinggi bagi jagaan anak untuk ibu tidak bekerja dari keluarga berpendapatan rendah, dianggap para pekerja sosial sebagai suatu langkah besar.

Langkah itu yang diumumkan Timbalan Perdana Menteri Lawrence Wong merangkap Menteri Kewangan, semasa Belanjawan Negara baru-baru ini, diharap menggiatkan lagi mobiliti sosial di kalangan golongan itu.

Namun adakah subsidi tersebut mencukupi dan apakah antara cabaran yang dijangka dihadapi dalam menarik golongan tersebut menyertainya?

SUBSIDI YANG AKAN DIBERIKAN...


Dalam satu perubahan dasar demi membantu sehingga 17,000 anak dari keluarga berpendapatan rendah, pemerintah menyatakan ibu yang tidak bekerja akan mendapat subsidi S$300 sebulan - jumlah subsidi yang kini diberi kepada ibu bekerja.

Sebelum itu, ibu tidak bekerja hanya mendapat subsidi S$150 sahaja.

Kini ibu tidak bekerja turut berpotensi menerima subsidi tambahan S$440 - sesuatu yang kini hanya diberi kepada ibu bekerja.

Selain itu Pakej Kemajuan ComLink+ yang diumumkan juga akan memberi tokokan S$500 kepada Akaun Pembangunan Anak jika keluarga berpendapatan rendah menghantar anak ke prasekolah pada usia tiga tahun.

PERALIHAN TUMPUAN KEPADA ANAK - BUKAN SOAL IBU BEKERJA ATAU TIDAK

Perubahan-perubahan ini sangat dialu-alukan agensi bantuan seperti Pusat Khidmat Keluarga Persatuan Pemudan Islam Singapura (PPIS).



"Saya rasa sudah masanya untuk fokus kepada apa yang penting, iaitu pendidikan anak-anak," kata Pengurus Pusat Kanan, Pusat Khidmat Keluarga PPIS West Nooraini Razak kepada BERITA Mediacorp.

"Mungkin pada awalnya, kepentingannya adalah untuk menggalakkan ibu-ibu untuk keluar bekerja untuk membantu mungkin ahli keluarga yang lain untuk menambahkan pendapatan keluarga dan sebagainya."

Namun kini dengan perubahan dasar tersebut, menurut Cik Nooraini, golongan ibu tidak bekerja dan anak mereka akan meraih manfaat pendidikan awal kanak-kanak.

"Jadi fokusnya ditumpukan kepada anak itu dan bukan kepada ibu yang bekerja atau tidak, saya rasa itu adalah satu langkah yang amat baik untuk perkembangan anak-anak di Singapura ini," tambah Cik Nooraini.

MEMAHAMI SITUASI YANG DIHADAPI INDIVIDU

Ini juga suatu pengiktirafan bahawa ibu tidak bekerja sebenarnya mungkin mempunyai situasi yang kompleks yang tidak membolehkan mereka bekerja.

Ia termasuklah faktor seperti mempunyai ramai anak termasuk anak kecil yang perlu dijaga, atau turut menjaga ibu bapa yang sudah uzur.

Lantaran itu, pengumuman pemerintah mengenai subsidi-subsidi itu suatu langkah positif yang diharap mampu meningkatkan lagi mobiliti sosial bagi golongan sedemikian.

"Saya rasa subsidi seperti ini amat penting untuk memperkasakan keluarga, di mana pendapatan mereka mungkin tidak mencukupi untuk menyara hidup mereka khususnya, dari segi pendidikan awal yang berkualiti untuk anak-anak mereka," menurut Cik Nooraini.

Beliau menambah bahawa berdasarkan pengalaman Pusat Khidmat Keluarga PPIS sendiri mengendalikan kes-kes sedemikian, apabila keluarga sedemikian dapat menghantar anak mereka ke pusat jagaan, ini membantu perkembangan anak.

Pendidikan awal yang anak ikuti juga dapat membantu perkembangannya, serta menyediakan mereka untuk peralihan ke Darjah Satu.

"Apabila anak-anak di pusat jagaan, kami memerhatikan bahawa ianya memperbolehkan ibu-ibu dan ayah itu untuk meneruskan pekerjaan dengan tenang.

"Juga ada di antara mereka yang mempertingkatkan diri mereka sebab anak-anak itu is dijaga baik di pusat jagaan. Itu yang pertama.

"Dan saya rasa bantuan (ini) 'upstream'. Ini bukan sebagai habuan," hujah Cik Nooraini. "Maknanya ianya bantuan huluan di mana setiap keluarga itu dapat memperkasakan diri mereka mulanya dengan memperkasakan education quality anak mereka."

CABARAN TARIK GOLONGAN SASARAN MENYERTAINYA

Cik Nooraini percaya bahawa subsidi yang diberi mencukupi kerana dapat mengurangkan penggunaan wang saku.

Mentelah lagi, kos sara hidup di Singapura semakin meningkat.

Namun apa lagi cabaran yang ada dalam mendapatkan golongan berpendapatan rendah ini menyahut bantuan yang diberi dan menghantar anak mereka ke prasekolah?

Menurut Cik Nooraini, jika sesebuah keluarga itu tidak menghantar anak-anak mereka ke pusat jagaan atau prasekolah, ini petanda bahawa mungkin ada faktor-faktor lain yang menjadi hambatan.

"Yang pertama mungkin dari segi kesedaran, ataupun dari segi maklumat. Mungkin mereka tidak mengetahui maklumat lanjut mengenai subsidi panjagaan anak ini jadi mungkin saranan kami adalah untuk memastikan maklumat ini diberi secara meluas," jelas beliau.

Kedua kata beliau, adakalanya proses untuk memasukkan anak-anak itu ke pusat-pusat jagaan adalah agak rumit bagi sesetengah keluarga.

"Jadi... harapan kami ialah untuk memastikan sama ada pusat jagaan tersebut atau mungkin badan-badan komuniti yang lain dapat membantu keluarga seperti ini untuk memahami proses permohonan, dan pastikan keluarga yang layak ini tidak dikecualikan kerana halangan pentadbiran seperti ini," tambah Cik Nooraini.

Pada akhirnya, menurut beliau, semua ibu bapa mempunyai aspirasi yang positif buat anak-anak mereka.

Sokongan masyarakat merupakan salah satu cara membawa mereka ke landasan yang betul.

Sumber : BERITA Mediacorp/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan