analisisBERITA: Mengapa pelajar Singapura kurang yakin mereka kreatif? Antaranya takut gagal...

Mereka sekali gus mengatasi remaja di negara-negara maju lain seperti Kanada, Australia dan New Zealand.
Namun hanya 47 peratus pelajar Singapura yakin atau sangat yakin mereka boleh menyampaikan cerita kreatif dan 42 peratus yakin boleh membuat lukisan baik.
Ini lebih rendah berbanding purata OECD, iaitu 61 dan 55 peratus.
Sementara itu, 57 peratus pelajar Singapura berasa mereka yakin meluahkan idea mereka secara kreatif, berbanding purata OECD iaitu 66 peratus.
Timbul persoalannya - mengapa pelajar Singapura tidak berasa diri mereka kreatif?
SISTEM PENDIDIKAN SANGAT TEKANKAN PENCAPAIAN AKADEMIK
Pensyarah Institut Pendidikan Nasional Dr Roszalina Rawi berkata, masih ada tekanan yang agak tinggi untuk mencapai kecemerlangan dari sudut akademik di mana para pelajar harus mengejar prestasi sahaja tanpa menitikberatkan proses pembelajaran.
"Ini mungkin menyebabkan kurangnya keyakinan dalam kebolehan kreativiti mereka kerana proses mereka berfikir secara kreatif itu kurang diberi perhatian dan kita hanya sibuk nak melihat hasilnya sahaja," kongsi Dr Roszalina.

Pelajar tambah beliau, tidak akan cenderung memikirkan idea baharu atau yang lain daripada lain dan keluar daripada zon keselesaan mereka.
Beliau prihatin, ini berpotensi menyekat kreativiti pelajar.

"Jadi dari perspektif ini, kadangkala seseorang individu itu meragui kebolehan kreatifnya sedangkan dia benar-benar kreatif tetapi dia bersikap merendah diri."
PENDIDIKAN LEBIH HOLISTIK DENGAN KURIKULUM KREATIVITI
Namun mereka yakin, ini akan berubah dengan pemerintah dijangka menerapkan kurikulum kreativiti dan pemikiran reka bentuk ataupun 'design thinking' sejak dari peringkat sekolah rendah lagi.
Ini diharap memastikan pelajar diberi pendidikan lebih menyeluruh, sambil memastikan mereka kekal berdaya saing dalam ekonomi yang pesat berubah.
Menurut Dr Roszalina, kreativiti merupakan satu anak kunci untuk inovasi dan dan daya saing dalam ekonomi global.
"Sebab dalam ekonomi yang semakin berpandukan inovasi, keupayaan untuk berfikir secara kreatif, menyelesaikan masalah secara inovatif, yang berasaskan empati ataupun memahami proses emosi manusia lain menjadi sangat, sangat penting," tambah Dr Roszalina.
Tambahan lagi, Dr Wan Rizal menekankan, pemikiran reka bentuk ini memberikan lebih banyak tekanan kepada peri pentingnya menanam sikap empati di kalangan pelajar, berbanding kaedah pembelajaran tradisional.
"Tidak seperti pembelajaran hafalan dahulu yang menumpukan kepada penghafalan, pemikiran reka bentuk ini menggalakkan pelajar untuk memahami keperluan dan perspektif orang lain."

Secara langsung, guru memainkan peranan besar dalam menggalakkan pelajar untuk meneroka dan mencari kreativiti tersendiri.
Bagi Dr Wan Rizal, mereka harus terus dipertingkatkan supaya dilengkapkan dengan kemahiran sesuai dalam menerapkan pemikiran reka bentuk di dalam kelas.
"Untuk mengintegrasikan pendekatan ini dengan lebih lanjut, Kementerian Pendidikan (MOE) boleh menyediakan pembangunan profesional yang berterusan untuk guru, melengkapkan mereka dengan kemahiran dan pengetahuan untuk memudahkan aktiviti pemikiran reka bentuk ini dengan berkesan lagi," saran Dr Wan Rizal.
Pun begitu, Dr Roszalina akur, bebannya tidak harus diletakkan atas bahu para guru sepenuhnya.
"Pada masa yang sama, saya juga rasa bahawa guru-guru kita sudah melakukan banyak sekali usaha untuk memastikan kanak-kanak diberi ruang untuk berkreatif.
"Yang kita hendak adalah kita menggalakkan mereka untuk mencari ruang-ruang ataupun kita siapkan ruang-ruang masa di mana bukan sahaja pelajar boleh berkreatif, tapi guru juga boleh turut sama berkreatif dengan pelajar dan menggalakkan kanak-kanak untuk menulis secara kreatif, melukis secara kreatif, menari, menyanyi kerana ini semua perkara-perkara yang autentik dan semula jadi."

Selain para guru, ibu bapa juga perlu memainkan peranan aktif dalam membina persekitaran yang merangsang kreativiti anak-anak mereka.
Misalnya kata Dr Wan Rizal, mereka boleh melibatkan anak-anak dalam perbincangan yang mencabar pemikiran mereka dan mendedahkan mereka kepada pelbagai pengalaman yang merangsang kreativiti.
Dr Roszalina bagaimanapun menegaskan, kreativiti harus dipupuk dan tidak boleh diajar hanya dengan menghadiri kelas tambahan.
"Contohnya setiap minggu dalam keluarga kita, kita siapkan ruang untuk menulis bersama ataupun setiap minggu kita siapkan ruang untuk kita bernyanyi bersama, menari bersama ke, itu sesuatu yang lebih organik dan sesuatu yang lebih mampan."
Menurut MOE, dapatan PISA itu berguna dan akan digunakan untuk meningkatkan kurikulum dan latihan para guru demi merangsang pemikiran kreatif di kalangan pelajar.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.