Skip to main content

Singapura

analisisBERITA: Menangani isu politik identiti penting bagi Singapura, namun perlu pendekatan yang strategik dan seimbang

Anggaran Waktu Membaca:
analisisBERITA: Menangani isu politik identiti penting bagi Singapura, namun perlu pendekatan yang strategik dan seimbang
Zulfikar Mohamad Shariff di akaun TikToknya, yang telah dilumpuhkan di Singapura. (Gambar: TikTok/Zulfikar Mohamad Shariff)
SINGAPURA: Arahan Pemerintah kepada platform media sosial TikTok dan Meta pada Rabu (26 Nov) untuk menyekat akaun bekas tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) Zulfikar Mohamad Shariff di Singapura menimbulkan tanda tanya - mengapa tindakan tegas diambil sekarang, sedangkan Zulfikar sudah lama memuat naik catatan serupa?

Menurut Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA), arahan itu dikeluarkan selepas Zulfikar - kini seorang rakyat Australia selepas melepaskan kerakyatan Singapura pada 2020 - berulang kali memuat naik catatan yang dinilai mencetuskan rasa tidak puas hati dalam kalangan masyarakat Melayu/Islam tempatan terhadap kaum Cina.

ISU POLITIK IDENTITI KEMBALI MEMUNCAK SEJAK GE2025

"Terus terang saya terkejut sedikit kerana Zulfikar ini sudah lebih 25 tahun berbicara tentang ini. Ini bukan satu hal atau isu yang baharu. Tetapi kalau kita lihat dalam arkitektur politik kita, iklim politik kita sejak pilihan raya, ada perbicaraan tentang politik identiti dan sebagainya. Jadi, wajar dari sudut itu kini ada reaksi," kongsi Pensyarah Sains Politik NUS Dr Bilveer Singh kepada BERITA Mediacorp.

Semasa GE2025, wujud kebimbangan bahawa isu kaum dan agama dijadikan modal politik, satu perkembangan yang dikritik hebat Pemerintah kerana menjadi ancaman kepada perpaduan dan keharmonian di Singapura.

Malah, Menteri Penyelaras bagi Keselamatan Negara K Shanmugam menegaskan, politik identiti dan campur tangan asing dalam proses pilihan raya tidak boleh diterima sama sekali di Singapura.

Encik Shanmugam berkata demikian berkaitan penceramah luar Noor Deros dan sebuah parti politik di seberang tambak yang dikatakan cuba mempengaruhi pengundi berdasarkan kaum dan agama.

Pada waktu itu, Encik Noor Deros memuat naik catatan ke Facebook, membentangkan senarai tuntutannya untuk parti-parti politik di Singapura.

Antaranya, termasuk penubuhan Akta Pentadbiran Undang-Undang Islam dan menjadikan Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) sebagai sebuah badan bebas.

Dia kemudian mendakwa bahawa parti Pekerja (WP) adalah satu-satunya parti politik yang memberikan respons, namun "tidak membuat janji konkrit".

Related article image
Petikan skrin komen yang dibuat oleh Noor Deros di Facebook, di mana dia kata dia telah bertemu dengan semua calon Melayu Parti Pekerja.
Related article image
Petikan skrin catatan Facebook yang dibuat oleh Noor Deros.
POLITIK IDENTITI PERMAINAN POLITIK ZULFIKAR SHARIFF

Namun bagi Dr Bilveer, dalam konteks Zulfikar, memanfaatkan politik identiti bukanlah sesuatu yang baharu.

Sejak awal tahun 2000-an lagi, naratif yang dibawa Zulfikar - termasuk dakwaan bahawa masyarakat Melayu/Islam Singapura ditindas - sudah sebati dengan isu-isu yang sering dilaungkannya.

"Yang dia bermain ini, corak politiknya. Ini adalah 'signature' atau tandatangan Zulfikar sejak 25 tahun atau lebih. Pertama, Singapura adalah negara Cina. Yang kedua, PAP (Parti Tindakan Rakyat) adalah parti politik Cina."

"Yang ketiga, PAP adalah parti yang kita sebut sebagai 'Parti Ketuanan China'. Keempat, rakyat minoriti khususnya Melayu dan kaum Islam selalu ditindas dan diskriminasikan oleh pemerintah sini."

Menurut pengamat politik mapan yang cukup masak dengan pelbagai tingkah Zulfikar, bekas tahanan ISA itu sering
mengaitkan layanan terhadap orang Melayu/Islam di Singapura dengan politik luar negara, serta kaitan rapat Singapura dengan kuasa Barat, dengan Israel dan sebagainya.

TINDAKAN PEMERINTAH WAJAR, TAPI "TERLALU PERLAHAN DAN LEWAT"

Dr Bilveer menegaskan, retorik sebegini berbahaya bagi Singapura kerana berpotensi memecahbelahkan rakyat dan menggugat perpaduan kaum yang menjadi tunjang keamanan negara.

Beliau menyifatkan langkah menyekat akaun Zulfikar itu wajar, namun dilakukan "terlalu perlahan dan lewat" memandangkan naratif yang sama telah disebarkan sejak sekian lama.

Pensyarah Sains Politik NUS itu menjelaskan, dengan keupayaan Zulfikar memanfaatkan pelbagai platform media sosial, usaha pemerintah kini hanyalah bersifat reaktif dan terhad.

"Zulfikar mahir sekali bermain dalam media sosial. Hebat dia. Jadi bukan hanya dalam dua platform, tetapi begitu banyak platform lain seperti WhatsApp dan sebagainya."

"Jadi apabila kita nak tangani apa yang dibicarakan oleh dia, kita hanya boleh meminta bantuan dari syarikat media sosial - 'Ok tutupkan akaun dia.' Itu sahaja. Selain daripada itu, kita tak boleh buat apa-apa," hujah beliau.

Dr Bilveer turut mempersoalkan keberkesanan langkah tersebut dalam menapis dan mencegah penyebaran kandungan online yang berbahaya.

"Kalau kita ada VPN, kita masih boleh mengakses apa yang dibicarakan. Jadi bagi saya, ini menunjukkan begitu susah payah bagi pemerintah untuk mengawasi apa yang sedang berlaku, baik oleh Zulfikar atau orang lain," akur Dr Bilveer.

PERLU PENDEKATAN SEIMBANG UNTUK TANGANI ISU POLITIK IDENTITI

Tindakan terhadap akaun media sosial Zulfikar juga menimbulkan persoalan tentang keselarasan tindakan.

Bermakna, jika akaun beliau boleh disekat atas alasan menyentuh sensitiviti kaum dan agama, mengapa tindakan yang sama tidak diambil terhadap akaun-akaun lain yang turut dianggap kontroversial?

Dr Bilveer akur, pertanyaan sedemikian wajar, dan beliau menyentuh individu lain yang juga pernah memuat naik catatan yang menyinggung perasaan sesetengah masyarakat.

"Kalau kita nak mengatasi orang seperti Zulfikar, kita juga harus mengatasi kumpulan-kumpulan lain. Baik Calvin Cheng, baik Critical Spectator dan banyak lagi," tegas beliau.

"Kalau kita nak katakan, ini adalah satu isu keamanan, kesatuan negara dan politik dan sosial, kita tidak boleh berpihak. Kalau salah tu semua salah. Jadi itu dari segi keadilan itu penting sekali. Jadi konsistensi kita untuk menghadapi ancaman, apalagi di dunia maya, di media sosial itu mesti kukuh dan berdaya tahan."
PENDAMPINGAN MASYARAKAT "PENAWAR" BAGI RETORIK BERBAHAYA

Dr Bilveer turut menekankan, menangani retorik berbahaya memerlukan pendekatan yang strategik, menyeluruh dan berterusan.

Lantas, beliau menyeru semua pihak dari peringkat pemerintah hingga individu untuk memainkan peranan aktif dalam menyekat sebarang mesej atau naratif yang boleh menghasut kepada perpecahan.

"Kalau ada ideologi yang membahayakan, kita harus menentang dan jangan segan. Jangan takut. Tidak kira orang Cina, Melayu dan India kerana bahaya itu bahaya. Api yang dinyala dengan kecil-kecil boleh merebak dan hutan rimba akan musnah," terang Dr Bilveer.

Di samping itu, beliau menekankan keperluan mewujudkan sebuah naratif secara sistematik dan bukan hanya ketika isu meletus.

"Kita hanya bicara, Zulfikar salah ini. Tapi di mana kita mendengar (yang betul)? Kita hanya dengar, bila dia melakukan sesuatu."

"Oleh itu kita perlu mewujudkan secara konsisten, sama ada melalui pendidikan atau sebagainya, naratif kita supaya orang seperti (Zulfikar) itu akan gagal."

Menyimpulkan perbincangan, Dr Bilveer mengingatkan, masyarakat juga harus sentiasa menghargai keharmonian yang wujud dan menyedari bahawa ia tidak datang dengan sendiri.

Justeru usaha mendampingi masyarakat harus terus dipergiat di setiap lapisan sebagai benteng awal serta "penawar" terhadap retorik yang memecahbelahkan.

"Ini bukan hal hanya Cina, Melayu, India dan lain-lain lagi. Zulfikar selalu bicara Cina dan Melayu. Tapi ini lebih penting dari dan lebih besar dari itu. Dan ini harus dilakukan setiap hari, 25 jam satu hari, di sekolah, rumah, oleh pemerintah, di masjid, di kuil Sikh dan di mana-mana sahaja. Yang ini adalah (naratif) kita."

Dr Bilveer turut menegaskan hakikat bahawa ancaman sebenar yang perlu diberi tumpuan adalah jauh lebih besar — termasuk pergolakan geopolitik dan cabaran ekonomi global yang boleh menggugat masa depan negara.

Yang paling penting ialah untuk memastikan Singapura terus kukuh, bersatu dan berdaya tahan untuk menghadapi pelbagai cabaran yang berada di hadapan.
 
Sumber : BERITA Mediacorp/at
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita