analisisBERITA: Masyarakat semakin kurang tolak ansur terhadap jiran bising?
Baru-baru ini, Singapura digemparkan dengan tragedi pergaduhan antara dua jiran yang tinggal di tingkat atas dan bawah di Blok 323 Yishun Central, sehingga berakhir dengan seorang wanita mati ditikam.
Puncanya ialah pertikaian mengenai bunyi bising yang sudah berlarutan buat beberapa ketika.
Adakah ini menunjukkan bahawa masyarakat semakin kurang bertolak ansur terhadap jiran yang bising? Dan sejauh mana kaedah pengantaraan masyarakat berhasil menangani konflik antara jiran yang bertikai?
APAKAH YANG DITAKRIFKAN SEBAGAI JIRAN YANG BISING?
Pertama sekali, apakah yang ditakrifkan sebagai jiran yang bising?
Ini penjelasan Prof Madya Razwana Begum. Beliau ialah pensyarah dan Ketua Program Keselamatan Awam di Universiti di Sekolah Ilmu Kemanusiaan & Sains Tingkah Laku, Universiti Sains Kemasyarakatan Singapura (SUSS).
"Dari segi undang-undang, hanya kerja tertentu yang kita boleh mengklasifikasikan sebagai bising seperti pembinaan. Bagi kerja-kerja itu, terdapat had masa dan tahap bunyi yang ditetapkan, dipanggil dB (desibel).
"Tetapi dalam kehidupan seharian juga, ada perkara-perkara yang kita tidak boleh terima kerana ia bising, terlalu bising. Namun ini bergantung kepada masyarakat ataupun jiran-jiran yang tinggal bersama," kata beliau.
Contohnya, kata Prof Razwana, aktiviti yang kita selalu lakukan seperti menonton televisyen ataupun dengar muzik.
Pada waktu siang, tiada masalah.
"Tetapi jika muzik yang terlalu kuat ataupun kita membuat kerja-kerja pengubahsuaian di rumah pada waktu malam, pada pukul 2.00 atau 3.00 pagi, perkara seperti itu akan menjadi mengganggu," jelas beliau.
2,500 ADUAN BUNYI BISING SEBULAN
Menurut Kementerian Undang-Undang dan Kementerian Pembangunan Negara, secara purata, 2,500 aduan mengenai bunyi bising dilaporkan setiap bulan pada separuh pertama tahun ini.
Ia peningkatan berbanding 2,160 aduan setiap bulan yang diterima pihak berkuasa dalam tempoh yang sama tahun lalu.
Jumlah aduan yang tinggi itu, kata Prof Razwana, disebabkan persekitaran tempat tinggal dan isu toleransi masyarakat terhadap bunyi bising.
Hakikatnya, bunyi bising bukan sekadar menimbulkan gangguan, tetapi boleh juga mengancam kesihatan.
APA ANTARA KESAN BUNYI BISING?
"Bunyi berlebihan boleh menjejaskan tidur, meningkatkan tekanan dan memberi kesan kepada kesihatan mental. Jadi daripada sudut sosial ini, ia boleh merenggangkan hubungan sesama jiran," kata Prof Razwana.
Beliau memberi amaran bahawa perasaan marah boleh timbul apabila kehilangan kepercayaan antara satu sama lain.
"Apabila kita sudah tidak mempunyai kepercayaan ataupun kita rasa bahawa jiran kita tidak akan berubah, perkara ini akan berlanjut daripada perasaan marah, perasaan geram. Ini akan menimbulkan perasaan konflik dan ia akan menjejaskan keharmonian dalam masyarakat," katanya.
Itulah yang berlaku di Yishun Central sehingga menyebabkan natijah ekstrem, iaitu seorang jiran membunuh jiran lain pada 24 Sep.
Januari tahun lalu pula, satu kejadian membunuh juga berlaku ekoran pertikaian mengenai bunyi bising di Bukit Batok.
Dalam kes di Yishun, usaha perantaraan bagi menghuraikan isu itu tidak berlaku kerana proses perantaraan tidak disahut salah satu pihak.
DIALOG, KOMUNIKASI ANTARA JIRAN BERTIKAI DIGALAK
Menurut pihak berkuasa, pemerintah mengutamakan dialog dan komunikasi antara jiran yang bertikai dalam menangani pertikaian antara jiran. Iaitu menggalakkan jiran yang bertikai membincangkan isu mereka secara baik.
Jika perlu, mereka digalak mendapatkan bantuan daripada pemimpin akar umbi mereka melalui Kelab Masyarakat terdekat atau memohon bagi menjalani pengantaraan di Pusat Pengantaraan Masyarakat (CMC).
Sekitar 80 peratus kes pengantaraan sukarela oleh CMC berjaya dihuraikan.
Namun kurang 30 peratus daripada kes yang didaftarkan di CMC meneruskan proses pengantaraan kerana salah satu pihak yang enggan turut serta.
"Cabaran yang paling besar adalah mereka tidak mahu mencuba. Mereka berasa perkara ini tidak akan memberi apa-apa faedah. Ramai yang berfikir bahawa jiran mereka tidak akan berubah.
"Mereka juga berfikir bahawa mereka tidak patut berkompromi kerana boleh melakukan apa yang mereka mahukan di dalam ruang peribadi mereka, rumah mereka," kata Prof Razwana.
Menerusi proses pengantaraan dengan bantuan pengantara terlatih, mereka boleh mencari jalan tengah kepada isu yang dihadapi.
Namun selain itu, membina sifat empati, kata Prof Razwana, adalah penting dan boleh membantu menghindari konflik yang sering berlaku dalam kalangan jiran.
"Menjadi jiran bukan sekadar tinggal bersebelahan sahaja tetapi kita sebenarnya berkongsi ruang hidup bersama. Jadi sedikit empati atau bertanya sama ada bunyi (dari rumah kita) mengganggu boleh menjadi langkah kecil yang boleh membawa ketenangan yang besar kepada jiran-jiran kita," kongsi beliau lagi.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.