Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

analisisBERITA: Masih adakah budaya 'balik kampung' bagi kota kosmopolitan SG?

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Bila tiba Hari Raya, di Malaysia ada budaya "Balik Kampung" dan di Indonesia pula budaya serupa dipanggil ‘Mudik Lebaran’, di mana masyarakat pulang ke kampung halaman untuk meraikan Aidilfitri bersama sanak-saudara.

Bagaimana pula kota kosmopolitan Singapura dengan penduduknya yang semakin menjadi warga global? Adakah kita juga masih punya atau masih mengamalkan budaya sedemikian?

Pensyarah Pengajian Melayu di NUS, Dr Sher Banu berpendapat istilah balik kampung di Singapura berbeza daripada di Malaysia dan Indonesia.

"Kita di Singapura tidak ada konsep kampung yang fizikal, tapi kalau kami fahami konsep kampung dari ciri nilai-nilai seperti perkongsian, kekeluargaan, kekitaan, tentu sekali kami juga meraikannya di Singapura," ujar Dr Sher Banu.

Nilai-nilai sebeginilah yang boleh dianggap masih kental dalam jiwa masyarakat Melayu/Islam, termasuk mereka yang menetap di luar negara – satu trend yang kini semakin ketara.

Pada pendapatnya, masyarakat Singapura kini sudah begitu global sehinggakan apabila mereka pulang ke tanah air, jaringannya itu turut bersifat global.

"Mereka pasti akan pulang, kalau mereka ada kejiwaan yang Singapura merupakan rumah mereka," tambah pensyarah NUS ini yang banyak melakukan kajian berkaitan masyarakat Melayu global.

ANAK MUDA AMBIL PELUANG CUTI SEKOLAH UNTUK BERAYA DI SG...

Seorang mahasiswa tahun terakhir Universiti Sunderland di UK, Insyirah Razak, merupakan salah contoh warga Singapura di perantauan yang pulang ke tanah air sempena Aidilfitri ini.
Anak muda berusia 25 tahun ini mengambil peluang untuk pulang ke Singapura memandangkan bulan Ramadan dan Syawal jatuh pada masa cuti sekolah.
"Saya rindu keluarga dan kawan-kawan dan saya juga rindu tradisi di rumah, seperti membuat kuih dengan ibu, menganyam ketupat dengan adik," kata Insyirah.

Insyirah juga akur, selain masalah cuti, biaya untuk pulang juga boleh menjadi satu penghambat bagi mereka yang ingin pulang untuk menyambut Hari Raya.

"Tiket kapal terbang untuk pulang ke Singapura pada masa ini agak mahal, jadi saya pilih tarikh-tarikh yang murah untuk pulang ke Singapura dan memandangkan saya seorang pelajar, saya juga dapat diskaun," ujarnya.

ADA PULA YANG PILIH ANTARA AIDILFITRI ATAU AIDILADHA

Bagi Encik Muhammad Noh Abdul Rahman pula, dia memilih untuk tidak pulang pada Aidilfitri kali ini dan sebaliknya semasa Aidiladha nanti.
Ekspatriat asal Singapura di Dubai ini sudah 13 tahun menyerantau bersama keluarga dan berusaha untuk pulang setiap tiba musim perayaan.

Pada tahun-tahun awal sejak dia merantau, Encik Muhammad Noh berpeluang untuk pulang pada Hari Raya Aidilfitri kerana ia bersempena dengan musim cuti sekolah di Dubai.

Dia sekeluarga kemudian pulang untuk menyambut Hari Raya Aidiladha apabila Hari Raya Aidilfitri tidak lagi jatuh pada musim cuti sekolah.

"Hari Raya adalah yang terbaiklah untuk saya pulang, terutama kerana saya bekerja di luar negara," ujar Encik Muhammad Noh.

Walaupun tidak bersama sanak-saudara di Singapura pada Hari Raya tahun ini, semangat merayakannnya bersama tetap sebati dalam diri Encik Muhammad Noh.

Tambahnya, semasa pandemik COVID-19 melanda, dia sekeluarga meraikan Aidilfitri menerusi wadah Zoom.

"Tahun pertama, terasa janggal sedikit tetapi selepas itu menjadi kebiasaan," kata Encik Muhammad Noh.

Lantaran itu, jika dia tidak dapat pulang pada salah satu Hari Raya, keluarganya akan menggunakan Zoom untuk berjumpa apabila keluarganya di Singapura berkumpul.

"Kita pakai Zoom dan banyak kawan-kawan di sini yang buat sama juga," kata Encik Muhammad Noh.

AIDILFITRI SENTIASA KEKAL BERMAKNA NAMUN KINI BERCORAK GLOBAL

Sama ada berada di sini atau jauh di perantauan, jelas Aidilfitri sentiasa kekal bermakna, lebih-lebih lagi dalam konteks masyarakat global hari ini. Malah, menurut Dr Sher Banu, cara menyambutnya juga kini semakin bercorak global ekoran budaya menyerantau yang terus meningkat.

Pensyarah ini juga menekankan bahawa unsur-unsur global bagaimanapun sudah banyak diserap oleh masyarakat di Singapura dan juga di Nusantara.

"Kalau kita tengok seperti juadah hari raya di atas meja, kami tidak cuma ada ketupat atau lontong, kami ada nasi beriani, kami ada kebab, sabsuka, baklava, halwa," jelasnya.
Semua unsur ini, kata Dr Sher Banu, memperkayakan lagi budaya raya Nusantara.

Maka itu, beliau berpendapat cara istimewa Nusantara meraikan Hari Raya adalah menerusi budaya perayaan yang kaya, global dan juga inklusif.
 
Sumber : BERITA Mediacorp/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan