analisisBERITA: Mandat kukuh yang diraih PAP dalam GE2025. Bagaimana ia boleh mencorak gaya kepimpinan SG seterusnya?
Parti Tindakan Rakyat (PAP) yang memerintah mencatat kemenangan besar dalam pilihan raya 3 Mei lalu, selain menyekat kemaraan dan pengaruh pembangkang yang menampilkan calon-calon yang bermutu.
Kejayaan ini malah diraih sedang PAP dicabar pelbagai rungutan rakyat termasuk isu inflasi dan kos sara hidup lebih tinggi, serta negara dipimpin Perdana Menteri baharu yang mengetengahkan lebih 30 calon muka baharu.
Jadi, apakah di antara faktor yang menyumbang kepada pencapaian tersebut?
Serta, apakah yang boleh rakyat jangkakan selepas memberi PAP mandat kukuh?
Pakar politik veteran dari Universiti Nasional Singapura (NUS) Prof Madya Bilveer Singh, berkongsi perspektif beliau.
"Terus terang, kalau ada Perdana Menteri baharu dan kali ini termasuk barisan 4G baharu, selalunya undi mereka merosot. Tetapi kali ini, undi Perdana Menteri dan 4G itu bangkit. Saya fikir ini penting sekali. Dasar-dasar pemerintah dianggap sebagai positif yang membantu rakyat, apa lagi dalam keadaan iklim politik dan ekonomi yang menakutkan - inflasi, perang di Gaza, perang di Ukraine, dan macam-macam lagi. Dalam situasi yang tidak stabil, kita lihat rakyat kita itu masih mahu PAP, walaupun ada kelemahan, ada skandal-skandal macam-macam - skandal seksual, menteri-menteri dengan rumah yang besar. Rakyat katakan baiklah, ini pemimpin kita, baik Perdana Menteri atau partinya, akan menolong kita, membantu kita. Ini adalah tangan-tangan yang selamat."
GE2025 - Pelbagai faktor bantu PAP raih kemenangan kukuh

Menurut Dr Bilveer, pilihan rakyat dalam GE2025 serupa dengan trend di peringkat global.
Jika setahun dua lalu, para pengundi di pelbagai negara menolak parti-parti yang memerintah, ia serta merta berubah sekembalinya Trump ke Rumah Putih.
Contohnya, dasar ekonomi dan politik Trump yang bersikap antiglobalisasi, membantu parti-parti yang memerintah di Kanada dan Australia untuk kekal berkuasa.
"Kita masih satu negara yang kecil di lokasi yang tidak tenteram dan kerana situasi dan realiti politik berbilang bangsa, berbilang kaum, jadi kita selalu bermain politik yang saya menilai sebagai selamat. Kita masih senang dengan parti yang memerintah,tidak kiralah ada Trump ke tidak ada Trump. Kerana apa? Kerana, satu, pengundi kita itu tidak mahu membuat perubahan yang begitu menonjol. Yang kedua, asalkan pemerintah berfungsi, positif, memberi hasil, rakyat pasti akan membantu dan memilih mereka. Pengundi kita itu rasional, pengundi kita itu berfikir lima kali sebelum mereka itu mengundi, mereka itu tidak buat keputusan secara tiba-tiba atau ikutkan hati."
GE2025 - Keputusan GRC Tampines bukan cerminan sikap & undi Melayu

Pertembungan di GRC Tampines antara pasukan PAP pimpinan Encik Masagos dan pencabarnya dari WP yang diketuai Encik Faisal Manap mendapat sorotan masyarakat Melayu/Islam khususnya.
Namun Dr Bilveer tidak bersetuju dengan pandangan bahawa keputusan di GRC itu menunjukkan sikap atau pendirian orang Melayu terhadap parti pemerintah.
"Masagos menang karena kekuatan PAP tetapi juga undi dia jatuh dari tahun 2020 karena ada parti yang kuat, khususnya Parti Pekerja. Bagi saya, ia terkait peribadi orang tersebut, bukan kepada masyarakat Melayu. Kerana isu khusus yang telah bangkit dalam tiga hampir tiga tahun yang akhir, iaitu Gaza, pembantaian Islam, genosida, kejahatan perang. Apa yang menjadikan Tampines dan Masagos berbeza sekali ini bukan kerana politik dalam negeri secara seluruhnya, tetapi kerana politik luar negeri, khususnya isu Gaza."
GE2025 - Mandat kukuh boleh jadi pemangkin kepada PAP yang berwajah baharu

"Saya dan pasukan saya akan menggunakan mandat ini untuk berkhidmat dengan rendah hati dah penuh tanggungjawab. Kami akan berkhidmat untuk semua rakyat Singapura tanpa mengira siapa yang anda undi. Kami akan terus berusaha keras untuk memperbaiki kehidupan anda, menghadapi segala cabaran yang mendatang, dan memastikan masa hadapan yang lebih cerah untuk semua."
Dr Bilveer akur, terdapat pelbagai isu yang perlu ditangani segera oleh barisan kepimpinan Singapura yang bakal dibentuk nanti.
"Walaupun pemerintah diberi mandat untuk berkuasa, tapi ini tidak bererti tidak ada isu. Macam-macam isu. Saya fikir selepas Pilihan Raya 2025 kesannya pasti kepada pemerintah. Bagaimana memenangkan atau memoderatkan isu-isu yang telah bangkit sewaktu kempen tahun ini. Kita berharap kita boleh mendapat sesuatu keadaan di mana kita kembali kepada persatuan dan kesatuan, apalagi dari segi perpaduan sosial di Singapura."
Mandat kukuh yang diraih PM Wong sebagai peneraju parti dan pemerintah juga diharap dapat menjadi pemangkin untuk beliau memimpin dengan corak dan gaya tersendiri, sesuai dengan selera para pengundi yang juga semakin berubah.
Demikian harapan tinggi yang dikongsi Dr Bilveer Singh.
"Jangan lupa dia itu bukan pilihan pertama, dia yang kedua selepas Heng Swee Keat mundur. Kalau cara dia itu mungkin membangunkan konsensus. Yang kedua, dia pintar bermain dalam membangunkan pasukan. Lihat corak kepimpinan dia itu, dia tidak katakan, Ini saya! berbanding dengan mereka! Tidak. Beliau selalunya - kami! kami! kami!"
GE2025 - Wajah baharu PAP perlu tampil dengan segera

"Sebaiknya secepat mungkin PM Wong membezakan dirinya dan muncul dengan gaya sistem politik baharu - kerana kita itu ada pengundi baharu, situasi baharu, cabaran baharu dan macam-macam. Kerana bapa kita dengan datuk kita waktu itu tutup mata mendukung PAP. Sekarang tidak, pengundi berfikir. Kali ini mereka berfikir dan mendukung PAP bukan kerana apa-apa tapi transaksional. Kalau PAP gagal berubah, mungkin pilihan raya yang akan datang, pengundi akan tarik balik sokongan mereka."
Dengan pilihan raya kini sudah berlalu, semua perhatian tertumpu pula kepada siapakah yang nantinya mengisi senarai kabinet yang bakal diumumkan PM Wong - khususnya peranan yang akan diserahkan kepada kepimpinan 4G.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.