Skip to main content

Singapura

analisisBERITA: Langkah Australia larang penggunaan media sosial untuk kanak-kanak bawah 16 tahun - wajarkah ditiru negara-negara lain, termasuk Singapura?

Australia menguatkuasakan larangan menyeluruh penggunaan media sosial untuk kanak-kanak bawah 16 tahun - yang pertama seumpamanya di dunia.
Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Australia menguatkuasakan larangan menyeluruh penggunaan media sosial untuk kanak-kanak bawah 16 tahun - yang pertama seumpamanya di dunia.

Sejauh mana langkah drastik ini berkesan bagi melindungi golongan remaja dan kanak-kanak daripada anasir-anasir buruk di ruang siber?

Adakah ia wajar dicontohi oleh negara-negara lain, termasuk Singapura?

Pakar kajian kesan media dari Universiti Nasional Singapura (NUS) Profesor Madya Dr Elmie Nekmat berkongsi pandangan beliau.

KEBERKESANAN LARANGAN MEDIA SOSIAL

Sejak Rabu 10 Disember, 10 platform media sosial - antaranya Facebook, Youtube, Instagram dan TikTok, diarahkan untuk menyekat akses bagi pengguna muda di Australia.

Jika gagal berbuat demikian, platform terbabit boleh dikenakan denda sehingga AS$33 juta.

Namun, bukan bermakna akses golongan remaja kepada internet disekat sepenuhnya.

Menurut pensyarah NUS, Dr Elmie Nekmat, remaja di Australia masih boleh mendapatkan kandungan media sosial daripada enjin pencarian internet seperti Google.

Namun dengan larangan terbaharu ini, pendedahan mereka kepada kandungan, anasir berbahaya atau tidak berfaedah di media sosial akan berkurangan.
Related article image
<p>Australia mula menguatkuasakan larangan penggunaan media sosial untuk kanak-kanak bawah 16 tahun, yang disifatkan sebagai yang pertama seumpamanya di dunia. (Gambar: REUTERS)</p> <p></p>
Setakat ini, lebih sejuta akaun media sosial pengguna di bawah usia 16 tahun di Australia dilaporkan sudah dipadam.

Satu kajian menunjukkan secara purata, remaja Australia meluangkan masa sehingga lapan jam sehari menggunakan alat digital serta berada dalam talian.

Lebih 90 peratus juga menggunakan media sosial.

Jadi, apakah kegiatan alternatif yang boleh dilakukan remaja-remaja di Australia yang kini mempunyai lebih banyak masa terluang?

"Persoalannya, masa sekarang yang dilapangkan hasil larangan media sosial haruslah diisikan dengan aktiviti-aktiviti yang berfaedah dan mendatangkan kebaikan kepada remaja-remaja tersebut. Oleh itu, ibu bapa memainkan peranan yang penting untuk memastikan anak-anak mereka mengisi masa lapang tersebut dengan lebih berfaedah lagi," tegas Dr Elmie Nekmat.

WAJARKAH LARANGAN MEDIA SOSIAL

Adakah langkah Australia melarang penggunaan media sosial bagi melindungi golongan remaja daripada anasir buruk di ruang siber, suatu langkah yang tepat?

Atau mungkinkah sebaliknya ia menyekat perkembangan serta pendedahan sosial mereka?

Menurut Dr Elmie Nekmat, ia bergantung kepada tahap sosialisasi atau perwatakan remaja itu sendiri.

"Bagi mereka yang lebih "introvert" atau senyap atau suka bersendirian, mereka mungkin bergantung kepada platform media sosial untuk berhubung atau menjalin persahabatan untuk berinteraksi bersama rakan-rakan mereka seperti bermain 'game' atau berkongsi pengalaman, nasihat atau hiburan antara satu sama lain."

"Jadi media sosial ada juga kebaikannya. Adalah lebih penting untuk kita mengajar atau mendidik kecelikan media sosial di kalangan kanak-kanak dan remaja kita."

HAD PENGGUNAAN PERANTI DI SEKOLAH SG
Related article image
Para pelajar peringkat menengah mengikuti pelajaran di bilik darjah. (Gambar fail: CNA/Raydza Rahman)
Bulan lalu, Kementerian Pendidikan (MOE) mengumumkan bahawa mulai Januari depan, para pelajar sekolah menengah tidak dibenar menggunakan telefon bijak atau jam tangan bijak di luar waktu pembelajaran.

Antaranya, termasuk waktu rehat, kegiatan ko-kurikular, serta kelas tambahan, pengayaan atau pemulihan.

Ini sebagai tambahan kepada larangan penggunaannya di kelas sebelum ini.

Menurut MOE, tujuannya adalah bagi memupuk tabiat penggunaan skrin yang lebih sihat dalam kalangan pelajar.

Namun Dr Elmie mengingatkan peraturan itu hanya di sekolah dan tidak di tempat-tempat lain seperti di dalam rumah dan di luar waktu sekolah.

"Oleh itu peranan ibu bapa, keluarga dan rakan-rakan baik di dalam rumah atau di luar sekolah dalam mengawal "screen time" adalah satu "piece of the puzzle" yang penting untuk memastikan larangan di sekolah mendapat keberkesanannya yang sebaik mungkin di Singapura."

PENDIDIKAN KECELIKAN MEDIA SOSIAL

Dr Elmie juga menyarankan agar golongan remaja diajar cara-cara mengenal pasti apa itu algoritma di media sosial dan mengesan bagaimana ia boleh memberi kesan kepada diri sendiri serta orang lain.

"Mereka harus tahu bagaimana dan mengapa mereka melihat atau menerima sesuatu kandungan dalam media sosial. Selain daripada itu, mereka juga boleh diajar untuk mengenal pasti lagi kandungan yang dimanupulasi atau "manipulated content" yang tidak sahih atau "misinformation" yang mendatangkan bahaya dan bahan-bahan yang menaikkan emosi seperti "rage bait" dan lain lagi," nasihat Dr Elmie.

Tambah pensyarah NUS di bidang media itu, remaja juga perlu memahami bagaimana penggunaan berleluasa media sosial boleh mendatangkan kesan-kesan ketagihan pada diri, serta bagaimana untuk mendapatkan bantuan jika mereka terjerat.

PERLUKAH SG IKUT JEJAK AUSTRALIA?
Related article image
Ikon-ikon media sosial terpapar pada skrin telefon bijak. (Gambar: Brett Jordan/Pexels)
Ketika ditanya, sama ada Singapura perlu mengikut jejak Australia untuk menyekat sepenuhnya remaja dari pelbagai platform media sosial, Dr Elmie berpendapat, larangan penggunaan telefon dan jam bijak sepenuhnya di sekolah tempatan adalah mencukupi buat masa ini.

"Kalau kita campur larangan penggunaan peranti-peranti tersebut dengan didikan "media literasi" atau yang setimpalnya untuk melindungi kanak-kanak dan remaja-remaja kita, ia adalah lebih baik jika kita bandingkan dengan larangan secara menyeluruh atau amnya," kongsi Dr Elmie.

Beliau menambah program-program ini dijalankan di bawah program Pendidikan Perwatakan & Kewarganegaraan atau CCE di sekolah-sekolah tempatan.

Di Singapura juga terdapat Majlis Celik Media yang menjalankan program-program tersebut.

Program Pendidikan Perwatakan & Kewarganegaraan CCE yang sudah diperkenalkan di sekolah-sekolah di sini sejak 2012 dan program Kesejahteraan Siber - bertujuan melengkapi pengetahuan dan kemahiran para pelajar dalam menghadapi cabaran-cabaran masa hadapan.
Sumber : BERITA Mediacorp/AA/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita