Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

analisisBERITA: Kumpulan kerja dibentuk khusus untuk masyarakat Melayu raikan SG60

2025 merupakan tahun yang sangat istimewa kerana genap enam dekad Singapura merdeka.

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: 2025 merupakan tahun yang sangat istimewa kerana genap enam dekad Singapura merdeka.

Di peringkat nasional, pelbagai acara diatur bagi meraikan titik bersejarah sempena SG60 tersebut.

Kini, satu kumpulan kerja yang baharu dilantik, sedang mengatur sambutan istimewa bagi masyarakat Melayu/Islam pula.

Pembentukan Kumpulan Kerja SG60 Bersama, didedahkan Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam Masagos Zulkifli semasa perayaan ulang tahun ke-6 Wisma Geylang Serai (WGS) pada Sabtu lalu, 25 Januari.

Ia antara lain dianggotai oleh wakil-wakil pertubuhan Melayu/Islam atau MMO, agensi-agensi pemerintah serta kumpulan di peringkat akar-umbi.

Dr Faishal Ibrahim dilantik selaku pengerusi kumpulan kerja tersebut, sedang WGS pula bertindak selaku sekretariat bagi menyelaras pelbagai kegiatan yang disarankan.

"Saya melantik WGS sebagai sekretariat kerana saya maklum akan etika kerja mereka dan yakin mereka boleh menghimpun pertubuhan-pertubuhan melayu Islam seperti MUIS, MENDAKI, MESRA, PPIS, SMCCI dan sebagainya supaya mereka boleh sama-sama memainkan peranan dan juga mahu melibatkan diri, serta menggerakkan masyarakat Melayu/Islam di Singapura ini.

Penasihat Utama WGS itu turut berkongsi rasa teruja melihat sambutan yang diterima sejauh ini.

"Kami telah bermesyuarat sejak sebulan lalu dan saya rasa gembira kerana saya dapat merasakan semangat dan bagaimana badan-badan ini semua mereka rasa kita nak meraikan bersama dan itu satu pemulaan yang baiklah. Sekarang kita sedang menyusun senarai program-program yang dirancang. Ada yang menganjurkan acara tersendiri dan ada juga yang bekerjasama untuk menganjurkan acara untuk meraikan SG60."

Dr Faishal menjelaskan, walaupun terdapat pelbagai acara yang dianjurkan di peringkat nasional, satu program khusus yang ditumpukan kepada masyarakat Melayu/Islam tetap diperlukan.

"Masyarakat Melayu telah menyumbang dalam berbagai bidang seperti politik, ekonomi, budaya, pendidikan dan membantu membentuk identiti negara dan memperkukuh perpaduan. Jadi sambutan SG60 ini memberi peluang untuk mengiktiraf pencapaian kita dan merancang langkah seterusnya. Melalui penglibatan dalam SG60 kita meraikan sejarah dan memastikan generasi akan datang terus menyumbang kepada kemajuan negara."

Beberapa acara sudah dilakar SG60 Bersama, termasuk lukisan mural

Kumpulan kerja SG60 Bersama mungkin baru berusia sebulan, namun beberapa acara utama sudah pun dirancang sehingga ke penghujung 2025.

Antaranya, satu inisiatif menarik yang diajukan kumpulan-kumpulan kesenian Melayu melibatkan tembok di persada budaya WGS.

"Mereka hendak bersama-sama untuk melukis mural dengan masyarakat Melayu di Singapura dan juga kita menjemput sesiapa yang mahu bersama-sama kita untuk melukis mural ini dimana ia memaparkan bukan sahaja dari segi fizikal, iaitu lanskap negara kita yang berbilang bangsa, ia juga melambangkan setiap masyarakat di Singapura ini memainkan peranan yang penting dalam pembangunan negara kita, ini termasuk masyarakat Melayu"

Dr Faishal menekankan, serupa seperti idea mural tersebut, pelbagai acara SG60 Bersama perlukan penyertaan orang ramai bagi menjayakannya.

Lantas, beliau menggalak masyarakat Melayu untuk ikut serta, atau lebih baik lagi, menyarankan atau menganjurkan acara khas sempena sambutan SG60.

"Mereka boleh menyuarakan hasrat untuk menyumbang kepada program-program telah dirancang oleh kumpulan kerja SG60. Mereka juga boleh mencadangkan acara atau program baru yang berpaksikan tiga teras - 'Perhubungan', 'Sumbangan' dan 'Menunjukkan Ihsan' dan mengirimkan e-mel kepada WGS."

Bagi mereka yang mungkin bimbang mengenai biaya program yang disaran, dana turut tersedia, jelas Dr Faishal.

"Mereka boleh ke lelaman Our Singapore Fund, iaitu www.sg/oursingaporefund. Ini adalah satu aspek di mana kita ingin meraikan, tetapi yang penting bagaimana kita boleh mengimbas kembali sejarah kita dan menghadap ke hadapan untuk terus membangunkan negara kita Singapura."

(Gambar: WGS)
Namun Dr Faishal mengingatkan, sambutan SG60 bukan sekadar menganjurkan acara-acara menarik.

Ia sebenarnya satu peluang berharga untuk merenung dan mengimbas bersama perjalanan masyarakat dan negara sepanjang enam dekad lalu, demi menentukan hala tuju Singapura selanjutnya.

"Pembangunan Singapura ini adalah satu aspek kerja yang masih berjalan Justeru, dengan adanya idea-idea yang telah diketengahkan, dikongsi masyarakat Singapura dalam pendekatan 'ForwardSG' atau Melakar Hala Tuju Singapura, kita sedang meneruskan usaha untuk bukan sahaja menilai dan membentuk berbagai aspek dasar-dasar yang harus dilakarkan, juga bagaimana kita boleh terus membangunkan Singapura dalam era kompak sosial yang baharu ini."

Merumus perkongsian, Dr Faishal akur, pelbagai inisiatif yang disusun kumpulan kerja SG60 Bersama dan WGS, hanya akan berjaya jika anggota masyarakat ikut memberi sokongan penuh.
Sumber : BERITA Mediacorp/IQ/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan