analisisBERITA: Konsert mega boleh jadikan SG destinasi lebih menarik, rangsang ekonomi negara
Selepas kumpulan rock popular dari Britain Coldplay membuat persembahan di Singapura pada Januari lalu, kini giliran bintang pop Amerika Taylor Swift pula mengadakan konsert siri jelajah The Eras Tour selama enam malam di sini - iaitu satu-satunya persinggahan beliau di Asia Tenggara.
SINGAPURA: Selepas kumpulan rock popular dari Britain Coldplay membuat persembahan di Singapura pada Januari lalu, kini giliran bintang pop Amerika Taylor Swift pula mengadakan konsert siri jelajah The Eras Tour selama enam malam di sini - iaitu satu-satunya persinggahan beliau di Asia Tenggara.
Konsert penyanyi lagu 'Love Story' di Singapura cukup sensasi, namun bahangnya tidak terhad di pentas persembahan sahaja. Ini menyusuli pendedahan mengenai geran yang ditawarkan untuk menjadikan Singapura tuan rumah konsert tersebut. Pemerintah menjelaskan bahawa ia didasari pertimbangan skala ekonomi, melihat kepada biaya konsert mega sedemikian.
APA MANFAAT YANG DIRAIH EKONOMI TEMPATAN?
Lebih 300,000 tiket habis dijual, menjadi rebutan para peminat dari Singapura dan negara-negara serantau. Dengan begitu ramai peminat dari dalam dan luar negara sanggup berbelanja ribuan dolar untuk peluang menyaksikan idola mereka, adakah Singapura mengintai acara mega seperti ini sebagai pemacu ekonomi negara?
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Nasional Singapura bagi Kerjasama Ekonomi Pasifik, Dr Tan Khee Giap, konsert mega itu boleh menjana sekurangnya-kurangnya $500 juta dalam bentuk manfaat ekonomi ke Singapura.
"Industri pelayanan ataupun makanan dan minuman (F&B) dan SME akan terus menerima manfaat. Ini satu dasar, yang pada anggapan saya, paling bagus. Tetapi manfaat kepada Singapura bukan sahaja dari segi ekonomi, sosial dan budaya. Ini adalah satu jenama atau 'brand name' untuk Singapura. Dari segi pelancongan antarabangsa, ia terus meletakkan Singapura sebagai satu titik merah di peringkat antarabangsa. Lebih ramai pelancong dari banyak negara akan terus datang ke Singapura," kata pakar ekonomi itu.
Namun usaha sedemikian tentunya memerlukan strategi, perancangan dan pelaburan, terutama bagi menarik acara-acara bertaraf dunia, yang sekali gus dapat menjadikan Singapura sebuah destinasi yang lebih menarik.
Mengenai geran yang ditawarkan Singapura, Dr Tan berkata ia demi membantu membangunkan Singapura sebagai sebuah pusat kebudayaan antarabangsa.
"Ini tiada salahnya. Jika kita membelanjakan $3 juta, kita dapat manfaat $300 juta. Ini adalah satu perhitungan atau satu pertimbangan yang teliti sekali," kata beliau.
MENARIK PELBAGAI ACARA MEGA KE SG STRATEGI YANG TEPAT
Dr Tan menambah menjadi tuan rumah kepada pelbagai acara berprestij boleh membantu memulihkan sektor pelancongan negara, yang teruk terjejas akibat pandemik COVID-19.
Namun, bagaimana strategi sedemikian perlu dilihat dalam konteks serantau, memandangkan timbulnya kritikan?
Ini pandangan Dr Tan: "Persaingan adalah sihat sekali, persaingan sihat antara negara-negara rantau kita, tetapi ini bukan "zero sum game". Keputusan untuk datang ke Singapura bukan hanya wakil Singapura dapat menentukannya. Ini terpulang kepada pengurus Taylor Swift. Ada syarat-syarat yang anda mesti memuaskan seperti tahap keselamatan dan kemudahan yang moden, di samping keupayaan untuk merancangkan konsert sebegitu besar sekali, dengan mengambil kira langkah kawalan kesesakan dan keselamatan".
Kelebihan sebegini, tambah beliau, mampu menjadikan Singapura sebagai destinasi global untuk acara-acara mega.
STRATEGI YANG BOLEH SALING MENGUNTUNGKAN SERANTAU
Pada pandangan Dr Tan, strategi ini bukan sekadar memberi manfaat kepada Singapura sendiri, malah ia boleh saling menguntungkan negara-negara jiran memandangkan Singapura mempunyai ketersambungan udara yang baik.
"Ini boleh menjadikan ASEAN sebagai sebuah pusat pelancongan. Apabila peminat-peminat dari Eropah atau Amerika misalnya datang ke Singapura, mereka boleh melancong ke negara-negara serantau seperti Indonesia, Thailand atau Filipina. Jika ada konsert-konsert mega di Malaysia atau Indonesia, Singapura juga akan terus menerima manfaat sebab mereka harus singgah ke Lapangan Terbang Changi," katanya.
Namun lebih daripada memberi manfaat kepada ekonomi tempatan, yang lebih penting adalah pelbagai manfaat yang mungkin tidak ketara. Umpamanya, menyemarakkan lagi sektor seni dan budaya di Singapura, serta mengeratkan perpaduan rakyat.
Di Parlimen hari ini, Kementerian Kebudayaan, Masyarakat dan Belia (MCCY) berkongsi pelbagai inisiatif baharu, termasuk dari sudut prasarana dan dana bagi menarik acara-acara bertaraf dunia ke sini.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.