analisisBERITA: Kolej Pengajian Islam SG bakal ditubuhkan - bagaimana wajah & bentuknya nanti?
Perdana Menteri Lawrence Wong baru-baru ini mengumumkan tentang projek Kolej Pengajian Islam Singapura (SCIS) yang bertujuan melahirkan para pemimpin Islam Singapura masa depan. Apakah ciri-ciri yang diharapkan ada pada Kolej itu, serta adakah ia akan menjadi pesaing kepada kolej-kolej Islam swasta yang sudahpun ada sekarang?
Dalam ucapannya semasa Rapat Umum Hari Kebangsaan (NDR) Ahad lalu, PM Wong berkata beliau akan hanya mendedahkan butirannya apabila tiba masanya.
Persoalannya, bagaimanakah nanti wajah dan bentuk Kolej Pengajian Islam Singapura itu? Apakah ciri-ciri yang diharapkan ada pada Kolej itu, serta adakah ia akan menjadi pesaing kepada kolej-kolej Islam swasta yang sudahpun ada sekarang?
Gagasan mengenai penubuhan sebuah kolej Islam pertama disuarakan pihak berkuasa sekitar lapan tahun lalu.
Ia bertujuan menghasilkan asatizah yang mahir untuk membimbing masyarakat Muslim mengikut konteks tempatan yang berbilang kaum dan agama.
Dalam catatannya pada Selasa (20 Ogos), Mufti Negara Dr Nazirudin Mohd Nasir membayangkan kolej itu akan "menawarkan pendidikan universiti kita sendiri".
Ini bermakna ia akan sekurang-kurangnya menawarkan pendidikan peringkat ijazah.
Mengulas perkembangan tersebut, Pengerusi AMP Ustaz Fathurrahman Dawoed yakin SCIS adalah pelengkap baik bagi enam madrasah sepenuh masa Singapura yang menawarkan pendidikan sehingga tahap prauniversiti.
"Jadi saya fikir baik juga jika Kolej (Pengajian) Islam ini memberi tumpuan kepada pendidikan di peringkat posmenengah - ijazah sarjana muda dan mungkin di peringkat sarjana juga pada masa hadapan. Pendidikan di peringkat Kolej (Pengajian) Islam itu sendiri boleh melengkapkan apa yang tidak diajarkan di peringkat rendah - di peringkat menengah dan juga di bawah posmenengah.
"Ilmu-ilmu yang lain seperti ekonomi, ilmu tentang sosiopolitik dan sebagainya. Bukan sahaja khusus dalam pendidikan agama, subjek-subjek agama, tetapi subjek-subjek lain juga dimasukkan," kata Ustaz Fathurrahman, yang juga Pengerusi Eksekutif Andalus.
SEJAUH MANA PELAJAR TERBUKA PILIH SCIS?
Secara tradisinya, lulusan prauniversiti madrasah tempatan akan ke luar negara seperti Universiti Al-Azhar dan Universiti Madinah bagi melanjutkan pengajian ukhrawi di menara gading.
Persoalannya, sejauh mana pelajar akan lebih terbuka melanjutkan pengajian ijazah ukhrawi di tanah air sendiri?
Ustaz Fathurrahman berkata dari perspektif pelajar madrasah itu sendiri, yang sudah mengikuti lebih 10 tahun pengajian di madrasah, mereka "tentunya semangat" untuk belajar ke luar negara, khususnya di tanah Arab.
Pun begitu, beliau pasti masih ada sebahagian pelajar yang ingin kekal untuk meneruskan pengajian di Singapura atas pelbagai sebab.
"Salah satu, antaranya ialah peluang untuk ke luar negara itu tidak ada. Atas pelbagai sebab, sebab kewangan. Sebab tidak selesa untuk belajar di luar dari Singapura dan sebagainya. Jadi Kolej (Pengajian) Islam ini juga sebagai satu peluang untuk mereka," ungkap Setiausaha Madrasah Wak Tanjong Al-Islamiah itu.
AKAN ADA PERSAINGAN SENGIT KEPADA PUSAT SEDIA ADA?
Beliau juga menarik perhatian program-program peringkat sarjana muda sudahpun ditawarkan beberapa pertubuhan Melayu/Islam dan pengendali swasta lain di sini, hasil kolaborasi dengan universiti-universiti luar negara.
Antaranya oleh PERGAS, Kolej Islam Muhammadiyah dan Institut Pengajian Tinggi Al-Zuhri.
Lantaran itu, mungkinkah penubuhan SCIS akan menimbulkan persaingan tempatan lebih sengit bagi menarik kemasukan mahasiswa ukhrawi?
"Jadi tentunya ini sebagai satu cabaran untuk mereka kerana dengan kelompok yang sedikit ini, ada yang hendak pergi belajar di sini, ada yang hendak pergi belajar di sana, bukan? Tapi kita lihat ia sebagai satu persaingan yang hebat. Mungkin pada masa hadapan juga boleh ada kolaborasi," ulas Ustaz Fathurrahman.
"Juga saya fikir penting untuk badan-badan ini ada kolaborasi di luar sekadar pengajian program. Mungkin dari sudut kajian bersama dan sebagainya boleh kita luaskan manfaat tersebut."
Ini seperti yang pernah diutarakan Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam Masagos Zulkifli pada 2022 bahawa kolej itu mungkin juga berbentuk sebuah pusat penyelidikan.
Jika tidak, sebuah institusi possiswazah yang mengeluarkan ijazahnya sendiri.
"Tentang pentauliahan itu sendiri, sama ada kita ada kolaborasi dengan universiti lain dan sijil tersebut adalah sijil bersama, pentauliahan bersama oleh mana-mana universiti dengan Kolej (Pengajian) Islam sendiri," kata Ustaz Fathurrahman.
ADAKAH SCIS AKAN TURUT AMBIL PELAJAR LUAR NEGARA?
Mufti Dr Nazirudin kelmarin juga menyatakan masyarakat Islam tempatan harus memanfaatkan model pendidikan dan jenama Singapura yang merupakan antara yang terbaik di dunia.
Maka muncul persoalan, adalah SCIS nanti akan juga menjadi institusi yang turut mengambil pelajar dari luar negara?
"Rangkanya belum lagi dapat kita pastikan tetapi kalau kita lihat sebagai peluang, kenapa tidak? Kita juga boleh menerima pelajar-pelajar dari luar negara yang melihat sistem pendidikan agama di Singapura ini memang baik, sesuai dan boleh diterapkan juga di luar Singapura," jawab Ustaz Fathurrahman.
"Bukan sahaja ilmu agama secara tradisional tapi juga dengan ilmu...kalau kita gunakan ilmu alat dan ilmu-ilmu lain yang saling melengkapi diri seseorang asatizah itu (agar) lebih luas pandangannya dan lebih sesuai. Untuk memahami satu konteks itu, ia bukan sahaja perlukan ilmu tapi juga pengalaman. Pengalaman itu baik jika seorang asatizah itu dapat mengikuti bukan sahaja dari sudut teori tapi kehidupan bersama, interaksi bersama dan sebagainya," tambahnya lanjut.
DI MANA LOKASI BANGUNAN KOLEH ISLAM SG?
Menyentuh tentang soal di manakah SCIS akan ditempatkan, Ustaz Fathurrahman berasa ada dua lokasi yang mungkin menjadi pilihan.
"Selain daripada mungkin di bangunan MUIS sendiri, di Bencoolen itu ada satu tempat sekarang ini dijalankan pengajian PCICS (Sijil Possiswazah Islam dalam Masyarakat Kontemporari). Pada masa hadapan, Kolej (Pengajian) Islam ini juga boleh bertapak di situ. Kita perlu lihat jugalah apakah perkembangan Kolej (Pengajian) Islam ini pada masa akan datang," ujarnya.
Buat masa ini, belum lagi didedahkan bila SCIS akan beroperasi.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.