Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

analisisBERITA: Keselamatan jalan raya SG tanggungjawab bersama

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Perangkaan polis menunjukkan, sejak empat tahun lalu bilangan kemalangan maut dan kematian di jalan raya terus menyaksikan trend meningkat.

Adakah sudah tiba masanya untuk mengenakan hukuman lebih berat lagi bagi kesalahan jalan raya yang membawa kepada kematian?

Inilah antara persoalan yang akan dikemukakan Anggota Parlimen GRC Bishan-Toa Payoh Saktiandi Supaat, di Parlimen pada 7 Mei.

Encik Saktiandi, yang juga Pengerusi Jawatankuasa Parlimen Pemerintah yang menyelia bahagian pengangkutan berkongsi pandangannya berkaitan keselamatan jalan raya dalam segmen analisisBERITA.

Beliau juga sudah membangkitkan beberapa soalan parlimen kepada Kementerian Pengangkutan dan Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA).

Parlimen akan bersidang pada 7 Mei.

JALAN RAYA PERLU LEBIH SELAMAT UNTUK GOLONGAN LEMAH
Dari sudut jumlah kemalangan yang membawa maut, perangkaan menunjukkan, trendnya terus meningkat sejak 2020 - iaitu daripada 80 kes kepada lebih 130 kes tahun lalu.

Kematian di jalan raya juga melonjak daripada 83 kes kepada 136 kes dalam masa empat tahun.
Begitu juga dengan angka bagi kemalangan yang menyebabkan kecederaan serta jumlah kecederaan yang menimpa pengguna jalan raya.

"Saya rasa amat sedih untuk melihat kemalangan seperti itu berlaku di Singapura. Yang menjadi keprihatinan saya adalah keselamatan bagi warga Singapura, terutama sekali, warga senja kita, warga emas kita, kerana tidak tahu Singapura semakin menua," kata Encik Saktiandi kepada BERITA Mediacorp.

"Selain itu juga adalah keselamatan kanak-kanak kita. Terutama sekali, ketika pelajar pergi ke sekolah dan pulang dari sekolah. Ramai, anak-anak muda kita pergi ke sekolah secara bersendirian. Jadi saya rasa penting untuk kita meningkatkan kesedaran tentang keselamatan di jalan raya, dan juga meningkatkan prasarana keselamatan jalan raya kita"

PENGUATKUASAAN LEBIH KETAT, HUKUMAN LEBIH BERAT SEBAGAI HURAIAN?

Kebimbangan Encik Saktiandi nampaknya disokong oleh perangkaan, kerana jumlah kemalangan melibatkan warga emas melonjak semula sejak tiga tahun lalu.
Lebih-lebih lagi jika dikaitkan dengan purata hampir 30 kes kematian setahun yang disebabkan oleh kenderaan yang dipandu laju. Warga emas dan kanak-kanak lebih terdedah kepada bahaya.

Lantas, demi melindungi golongan lemah sebegini, timbul persoalan - wajarkah pemandu yang didapati bersalah menyebabkan kematian akibat tindakan cuai mereka, dikenakan hukuman lebih berat?

"Saya telah kemukakan soalan itu untuk sidang Parlimen akan datang. Saya menanyakan sama ada kita boleh mempertingkatkan dari segi penguatkuasaan, dari segi perundangan sama ada hukumannya boleh dipertingkatkan. Jika kita lihat hukuman-hukuman di negara lain, umpamanya di United Kingdom, di negara-negara lain, saya rasa hukumannya lebih berat.

"Dan juga dari segi penguatkuasaan, saya rasa Singapura sudah ada penguatkuasaan yang baik. Tetapi bagaimana kita boleh menggunakan teknologi, menggunakan peningkatan penguatkuasaan yang lebih cerdik, menggunakan teknologi bijak umpamanya"

MANFAATKAN TEKNOLOGI
(Gambar: Nicole Logan/Unsplash)
Satu lagi penggunaan meluas teknologi hari ini adalah kamera yang dipasang di dalam kenderaan bagi merakam semua perkara yang berlaku semasa berada di jalan raya. Jika berlaku kemalangan, kecemasan atau sesuatu insiden, klip tersebut dengan cepat dimuat naik ke laman tertentu untuk tatapan ramai.

Menurut pandangan Encik Saktiandi, ia boleh memberi manfaat jika digunakan dengan betul.

"Saya ingin katakan bahwa ada positifnya kerana saya rasa ada faktor mengurangkan kemalangan kerana pengguna kenderaan sedar sekarang, kereta, motosikal semuanya ada merakamkan klip video.

"Jadi, pengguna kenderaaan perlu berwaspada. Tetapi menggunakannya (rakaman kejadian) untuk mengaibkan atau mencari kesalahan pengguna jalan raya, saya rasa, kita perlu sikap berbudi juga, perlu ada di jalan raya, dan juga di alam siber. Tetapi ada positifnya kerana ia boleh mendorong sikap positif pengguna kerana adanya teknologi."

KESELAMATAN JALAN RAYA TANGGUNGJAWAB BERSAMA
(Gambar: Jeremy Long/CNA)
Namun Encik Saktiandi akur, tidak semua masalah di jalan raya dapat diselesaikan menerusi langkah penguatkuasaan serta undang-undang.

Seketat mana pun langkah-langkah demikian sekalipun,ia tetap kembali kepada sikap dan mentaliti pengguna apabila berada di jalan raya.

Lantas, faktor seperti rasa tertekan atau ingin menegakkan hak atau 'self-entitlement', tidak dapat dijadikan alasan, kata Encik Saktiandi.

"Menggunakan faktor seperti stress, ataupun sikap 'entitlement' untuk memberikan satu gambaran, atau satu alasan untuk mengabaikan tata tertib di jalan raya, atau mengabaikan lampu isyarat, saya rasa tidak wajar. Saya rasa perlu sama ada mereka yang menggunakan kenderaan di jalan raya, ataupun mungkin pejalan kaki perlu mempunyai tata tertib yang elok untuk menggunakan jalan raya, kerna ia ada memberi kesan kepada nyawa seseorang"

Encik Saktiandi berharap, semua pihak dapat mencedok pelbagai pelajaran berharga daripada nahas raya yang berlaku sebelumnya, agar ia semakin dapat dihindari pada masa hadapan.

"Saya rasa di Singapura secara amnya, pengguna jalan raya ada sikap berbudi, tetapi ia boleh dipertingkatkan lagi. Saya rasa umpamanya, saya memberi satu contoh, jika sesebuah kereta ingin memotong di depan anda, jangan cuba pecut untuk tidak memberi peluang untuk mereka. Mengalah kepada kenderaan lain memberikan satu kepuasan yang lebih baik daripada memecut untuk tidak memberi laluan. Jadi saya rasa dari segi 'psyche' atau minda yang kita perlu tukar untuk pengguna kenderaan di jalan raya di Singapura. Perlu semua bekerjasama, ketahui bahawa prasarana itu adalah untuk semua. Jadi kita perlu mempunyai tata tertib, jadi pengguna jalan raya yang baik."
Sumber : BERITA Mediacorp/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan