analisisBERITA: Kes belia hilangkan diri - Di mana letaknya batas undang-undang dan tanggungjawab keluarga?
Aishah Siregar, 20 tahun, akhirnya berjaya ditemui di Phnom Penh, Kemboja, dan membuat kenyataan menjelaskan kedudukan sebenar.
Laporan polis yang difailkan berhubung orang hilang meningkat kebelakangan ini melibatkan dua golongan ketara – belia serta warga emas.
Sekitar 1,450 laporan orang hilang difailkan tahun lalu, iaitu jumlah tertinggi sejak 2021.
Namun dalam kes Aishah Siregar, ia melibatkan kawalan sempadan kerana dia ke Kemboja tanpa izin keluarga. Lantas, mencetuskan persoalan tentang sejauh mana anak muda bebas ke luar negara tanpa pengetahuan ibu bapa mereka?
BELUM CECAH USIA DEWASA 'PENUH', SEJAUH MANA KEBEBASAN KE LUAR NEGARA?
Di Singapura, individu mendapat hak penuh sebagai seorang dewasa pada usia 21 tahun.
Maka, seorang peguam mapan berkongsi bahawa individu bawah umur 21 tahun mungkin diminta menunjukkan bukti sudah beroleh izin ibu bapa atau penjaganya, tetapi ini bukan satu kewajipan.
Sebagai contoh, terang peguam mapan Encik Abdul Rahman Mohd Hanipah, pihak yang menguruskan perjalanan atau pelancongan mungkin meminta butiran bahawa individu berkenaan diberi pelepasan bagi tujuan tersebut.
"Kalau anak itu memang sangat muda, tentulah pihak syarikat penerbangan, pihak agensi pelancongan mungkin akan minta supaya ada teman dan sebagainya. Tetapi dari segi undang undang, tidak ada peraturan tertentu untuk adanya keizinan daripada orang dewasa," kat Encik Rahman, Pengarah Urusan ARLC.
"Kalau kita nak cakap pasal syarikat penerbangan ataupun (langkah) keselamatan lapangan terbang, apa fokus atau tumpuan mereka, biasanya kepada kesahan pasport, kepada visa yang kita perlukan untuk destinasi yang kita nak pergi. Tetapi sama ada umur, sama ada keizinan ibu bapa itu ada ke tidak, itu tidak menjadi satu keperluan untuk mereka periksa," jelasnya lanjut.
Agensi-agensi khidmat sosial tempatan menyatakan belia yang dilaporkan hilang biasanya keluar rumah angkara konflik dalam keluarga atau berasa tertekan.
Hakikatnya, itulah alasan di sebalik kes terbaharu ini, di mana gadis berkenaan membawa diri ke luar negara atas kehendaknya sendiri.
Persoalannya, bolehkah mereka dalam situasi sedemikian dipaksa pulang ke tanah air?
"Selagi dia belum mencapai status dewasa, belum mencapai umur yang memberikannya keupayaan untuk membuat keputusan atas diri sendiri, tentulah mak bapaknya boleh membuat keputusan mutlak minta supaya dipulangkan (kembali ke negara). Kalau dia sudah capai umur 21 tahun, asalkan dia di negara tu dengan cara yang sah, itu keinginan dia, dia seorang dewasa - tidak ada orang boleh paksa dia pulang," garis beliau.
BELIA MELANCONG SENDIRI SATU TREND; APAKAH KEKANGAN JIKA BAWAH UMUR?
Kedudukan undang-undang, bagaimanapun, tidak menghapuskan risiko.
Mentelah dengan trend yang semakin meningkat dalam kalangan penduduk muda Singapura untuk melancong secara bebas pada usia muda.
Satu tinjauan oleh platform tempahan pelancongan, Skyscanner, mendapati hampir separuh daripada 1,000 belia yang ditinjau sudah pun membuat perjalanan ke luar negara tanpa pengawasan ibu bapa, sebelum mencecah usia 18 tahun.
Peguam mapan itu menarik perhatian kepada cabaran-cabaran tatkala berada di negeri orang, apatah jika belum mencecah umur dewasa penuh.
"Kita nak kena sedar tidak semua tempat selamat macam Singapura. Kadang-kadang anak-anak muda ni, dalam pengalaman saya, mereka rasa mana-mana pergi pun okey selamat sahaja. Tidak begitu. Kemudian kita juga hendak kena faham tiap-tiap negara ada undang-undangnya sendiri."
"Macam Singapura, kalau awak hendak datang sini, awak nak kena ada pas lawatan sosial. Jadi ini terpulang kepada situasi. Kalau kita belum mencapai umur yang sepatutnya, kita nak buat permohonan pun tidak boleh. Itu yang masalahnya," ulas beliau.
RISIKO MERAYU DI MEDIA SOSIAL
Encik Rahman menambah jika berdepan keadaan sulit di mana anak melarikan diri dari rumah, pihak keluarga dinasihati supaya menggunakan saluran-saluran rasmi untuk mendapatkan bantuan. Khususnya, membuat laporan polis dan menghubungi kedutaan berkaitan.
Ini kerana perkongsian secara terbuka di wadah media sosial boleh mengundang bahaya yang tidak diingini.
"Kalau kita lihat ada satu skim penipuan di mana mereka akan menggunakan media sosial untuk mendapatkan informasi, latar belakang keluarga kita. Jadi menggunakan media sosial untuk salah gunakan informasi yang ada di sana, ini dah menjadi satu kebiasaan."
"Kita tidak boleh ambil lewa situasi ini. Bayangkan kalau kita letak, "oh anak aku terperangkap di negara X", dan kita letak di media sosial. Kalau ada pengganas di sana? Kalau ada orang yang ada niat buruk di sana? "Mak bapak kau pun tidak ada kan?" Ini tentulah satu risiko."
Pucuk pangkalnya, isu belia ‘hilang’ bukan soal sama ada anak muda boleh bebas melakukan perjalanan ke luar negara tanpa izin keluarga.
Sebaliknya, tekan Encik Rahman, ialah tunjang sebuah keharmonian keluarga yang tercabar.
"Anak muda sekarang ini sangat lain daripada anak muda dulu. Kita nak kena ada ruang selamat dengan anak kita untuk mereka berbual dengan kita tentang apa yang berada dalam minda mereka. Apa pendapat mereka tanpa dihakimi oleh mak bapa mereka. Kalau tidak, mereka tidak akan berterus terang. Bila mereka tidak berterus terang, mereka berasa tertekan. Mereka rasa macam anak kena jauhkan diri. Itulah akibatnya," ungkap beliau.
Kesimpulannya, peningkatan pada kes belia hilang melangkaui isu perundangan.
Ia cerminan lebih luas tentang hubungan keluarga – disemai oleh kepercayaan dan kesejahteraan emosi – sesuatu yang tidak dapat dileraikan mengikut jalur undang-undang.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.