Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

analisisBERITA: Kenapa pencegahan bunuh diri perlu dianggap sebagai kepentingan negara?

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Meskipun jumlah kes bunuh diri di Singapura sudah merosot dan mencapai paras terendah tahun lalu menurut perangkaan Samaritans of Singapore, jumlahnya masih membimbangkan.

Maka itu, sebuah kumpulan masyarakat 'SG Mental Health Matters' melancarkan satu kertas putih pada Selasa lalu (10 Sep) yang menggariskan beberapa strategi untuk menangani kebimbangan yang kian meningkat berhubung kes bunuh diri.
Diberi nama Projek Hayat, hasil dapatannya juga merangkumi pendapat pelbagai pihak termasuk para pakar, pengkaji, pemimpin agama serta mereka yang pernah menjadi mangsa bunuh diri.

Saranan utama kertas putih itu termasuk penubuhan sebuah pejabat nasional yang dikhususkan bagi pencegahan bunuh diri di Singapura.
KENAPA PENCEGAHAN BUNUH DIRI PERLU DIANGGAP KEPENTINGAN NEGARA?

Ini memandangkan penyelidikannya mendapati lebih 80 peratus responden menganggap pencegahan bunuh diri adalah satu kepentingan negara.

Pakar kesihatan mental yang juga Pengasas dan Presiden Kelab HEAL Dr Radiah Salim mengalu-alukan langkah ini.
 
"Fenomena bunuh diri ini adalah satu respons kepada keperitan hidup, dari segi fizikal, emosi dan dari segi sosial dan ia bukan sahaja fenomena peribadi tapi satu gejala sosial jadi memang penting untuk negara ambil berat tentang perkara ini," tekannya.

Ini kerana, setiap kali terjadi satu kejadian bunuh diri, ia menjejaskan bukan hanya orang yang menjadi mangsa tetapi juga memberi kesan kepada ramai orang lain, seperti anggota keluarga, sahabat handai dan orang awam juga.
Gambar hiasan: Nuria Ling/TODAY
TEKANAN DARI RUANG SIBER

Dalam satu perangkaan yang didedahkan Samaritans of Singapore, kes bunuh diri adalah punca utama kematian golongan yang berusia antara 10 hingga 29 tahun untuk lima tahun berturut-turut.

Kira-kira 30 peratus kematian dalam lingkaran usia itu disebabkan tindakan membunuh diri.

Menurut Dr Radiah, ini didorong oleh ruang siber yang mampu memberi banyak jenis tekanan kepada anak-anak muda.

"Ada banyak perbandingan yang membuat anak muda kita ingin bersaing, misalnya dalam takrifan kejayaan atau keputusan cemerlang dalam peperiksaan.

Selain saingan yang tidak sihat ini, fenomena pembulian siber juga memberi tekanan kepada pengguna siber, sehingga mengambil nyawa sendiri.

GEJALA BUNUH DIRI DALAM KALANGAN WARGA EMAS

Selain para belia, satu lagi golongan yang rentan kepada gejala bunuh diri adalah golongan warga emas.

Ini terutama bagi mereka yang menghidapi penyakit serius atau hidup sebatang kara.

(Gambar: CNA/Gaya Chandramohan)


Memandangkan trend penduduk Singapura semakin menua, kes-kes bunuh diri dalam kalangan golongan ini mungkin meningkat dek rasa kesunyian.

"Sebagai seorang doktor, bila saya jumpa pesakit, ada juga pesakit yang sudah lanjut usia, katakan yang dia rasa perit sangat sebab dia kata mati lagi baik doktor," kongsi Dr Radiah.

Maka itu, beliau tidak mahu gejala ini terus meningkat dalam semua lapisan masyarakat dan sangat mengalu-alukan Kertas Putih yang dibentangkan, yang menggariskan strategi nasional menyeluruh dalam menangani gejala bunuh diri ini.

Ini memandangkan punca seseorang membunuh diri adalah perkara yang kompleks.

"Misalnya, faktor biologi, sekiranya seseorang itu mempunyai penyakit mental yang tidak dirawat seperti masalah bipolar sehinggia ke tahap yang dia ingin bunuh diri. Ada juga faktor psikologi seperti seseorang yang mengalami kemurungan dan tekanan hidup. Kemudian faktor sosial, apabila seseorang itu rasa dirinya keseorangan atau mempunyai masalah kewangan," jelas pakar kesihatan mental itu.

Memandangkan puncanya pelbagai, pendekatannya juga harus holistik dan semua pihak harus mengambil berat, termasuk anggota keluarga, sahabat handai, pihak sekolah, majikan dan pemerintah.

BUNUH DIRI BUKAN ISU KETARA MASYARAKAT MELAYU/ISLAM

Dr Radiah akur bunuh diri bukan isu ketara dalam masyarakat Melayu/Islam.

Malah, dalam satu lagi laporan Samaritans of Singapore, sejak tahun 2015 lagi, kadar bunuh diri dalam kalangan masyarakat Melayu konsisten rendah berbanding masyarakat lain, iaitu antara tiga hingga hampir enam peratus sahaja.

"Kekuatan dalam masyarakat Melayu/Islam itu termasuk dari segi agama, yang mana agama Islam itu memberi kekuatan spiritual, terutama dalam kalangan warga senja," kata Dr Radiah.

KEUTUHAN INSTITUSI KELUARGA PENTING

Namun beliau tekankan peri pentingnya untuk memelihara keutuhan institusi keluarga demi mencegah trend bunuh diri daripada menjadi ikutan, terutama dalam kalangan remaja.

"Kalau institusi keluarga itu tidak kukuh dan semakin runtuh, ia boleh menyebabkan trend meningkatnya kejadian bunuh diri kerana perkara yang paling penting adalah mempunyai orang-orang yang menyokong kita," tambah Dr Radiah.

Kesimpulannya, penting untuk masyarakat, individu dan keluarga berganding bahu untuk menangani masalah ini.

Kertas Putih Projek Hayat akan dibentangkan kepada pemerintah pada akhir September ini.
 

Sumber : BERITA Mediacorp/ia
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan