Skip to main content

Singapura

analisisBERITA: Harga COE jatuh hingga $40,000 - adakah ini permulaan trend COE merosot?

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Setelah mencecah paras rekod tertinggi bagi enam bidaan berturut-turut, premium Sijil Hak Memiliki Kenderaan (COE) sekali lagi menjadi tajuk berita pada Rabu lalu (8 November).

Namun kali ini, premiumnya bagi Kategori Terbuka dan Kategori B masing-masing menjunam cukup besar - iaitu masing-masing hampir $33,000 dan $40,000.

Apakah para penjual kereta kini sudah boleh mengukir senyuman lebar dan adakah ini bermakna perniagaan semakin rancak? Timbul juga persoalan sama ada ini satu petanda bahawa harga COE akan mula menyaksikan trend merosot?

MENGAPA HARGA COE MENJUNAM?

"Jika kita lihat, pemerintah ataupun pihak berkuasa cuba menambah kuota COE dan mereka tambah, bukan sekali, dua kali, sebelum bidaan yang terakhir. Penambahan itu adalah luar biasa. Dari segi jumlahnya, adalah banyak. Ini yang mempengaruhi harga COE untuk menjunam begitu banyak," kata Encik Mohamed Taifoor Mohamed, pemilik MTM Mohamed Taifoor Motoring.

Awal bulan ini, Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) mengumumkan kuota COE bagi November ini hingga Januari 2024, akan dinaikkan. Misalnya, LTA mengagihkan semula tambahan sekitar 1,600 COE bagi Kategori A, B dan C kepada kuota itu, selain hampir 1,900 COE yang sudah diumumkan bulan lalu.

Bagi Kategori A dan B, kuota kedua-duanya naik 35 peratus berbanding suku sebelumnya.

ADAKAH TREND HARGA COE AKAN MULA TURUN?

Para penganalisis yang ditemui Mediacorp berkata kemerosotan mendadak pada premium COE adalah disebabkan notis singkat kepada tambahan kuota itu, yang menyebabkan pasaran tidak dapat bertindak balas dengan cepat. Bagaimanapun, mereka memberi amaran bahawa penurunan itu berkemungkinan hasil jangka pendek, dengan lebih ramai pembeli dijangka ke bilik pameran kerana harga COE yang lebih rendah.

"Jika kita lihat trend COE yang akan datang, ia boleh juga turun sedikit. Ia akan mula turun sedikit, demi sedikit. Ini akan membuat pasaran kembali lagi. Pembeli akan keluar (ke bilik pameran kereta) kerana COE sudah mula turun. Mereka juga sudah mula bertanya tentang harga-harga kereta yang baharu (setelah) harga COE menjunam," kata Encik Mohamed Taifoor.

BAGAIMANA SAMBUTAN TERHADAP KEJATUHAN COE SEJAUH INI?

Namun demikian, buat masa ini, beberapa syarikat-syarikat pengedar kereta yang Mediacorp temui akur, walaupun pertanyaan daripada pelanggan meningkat seganda, minat untuk membeli kereta masih belum rancak.

Ini, kata Encik Mohamed Taifoor, kerana walaupun harga COE sudah menjunam, ia masih berada di paras yang agak tinggi.

"Biarpun COE turun, tetapi jika COE bagi Kategori A tidak turun di bawah paras $60,000, pasaran tidak akan rancak. Tetapi jika COE jatuh di paras $60,000 bagi Kategori A, pasaran akan jadi luar biasa rancaknya.

"Untuk Kategori B pula, COE pada paras $110,000 masih tinggi sekali. Jika ia boleh turun kepada paras $70,000 atau $80,000, jumlah pembeli akan mula bertambah," katanya lagi.

Bilik-bilik pameran kereta rata-rata masih lagi lengang kerana ramai pembeli kini mengambil pendekatan "tunggu dan lihat" sambil memantau keadaan pasaran.

Timbalan Pengerusi Tan Chong International, Glenn Tan, berkata, "Ini baru satu pusingan. Maksud saya, ia belum jatuh sehingga harga $50,000, masih $110,000 bagi Kategori B."

MASA TERBAIK UNTUK BELI KERETA

Jadi bila mungkin masa terbaik atau trend membeli kereta dijangka meningkat?

Ini ramalan para penjual kereta:

"Saya rasa tahun depan, dengan (harga) COE dijangka semakin merosot, ia adalah masa yang terbaik, terutama kerana (COE) mereka bakal cecah 10 tahun. Bagi pelanggan baru, saya rasa mereka masih mengambil pendekatan tunggu dan lihat," kata Encik Tan.

"Barangkali kalau kita melihat, ia akan turun dalam 2%, 3%, 2%, 3%. Tetapi kalau harga COE terus turun untuk, misalnya, empat kali bidaan, maka ia akan mempengaruhi para pembeli untuk membeli kereta.

Yang pasti, kata Encik Mohamed Taifoor, jika terlalu banyak pelanggan mula membeli kereta pada tahun depan dan bekalan COE tidak begitu tinggi, harga COE akan kembali menjulang.

Sumber : BERITA Mediacorp/at
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita