Skip to main content

Singapura

analisisBERITA: Golongan muda bentuk sebahagian penting pengundi Pilihan Raya Presiden; apakah yang diteliti mereka semasa tempoh berkempen ini?

Anggaran Waktu Membaca:
analisisBERITA: Golongan muda bentuk sebahagian penting pengundi Pilihan Raya Presiden; apakah yang diteliti mereka semasa tempoh berkempen ini?

Encik Ng Kok Song, Encik Tharman Shanmugaratnam dan Encik Tan Kin Lian bercakap kepada para wartawan pada 22 Ogos 2023 selepas disahkan sebagai calon dalam Pilihan Raya Presiden. (Gambar-gambar: Jeremy Long/CNA)

Diterbitkan : 22 Aug 2023 11:03PM Dikemas Kini : 25 Aug 2023 06:59AM

SINGAPURA: Kini tiba masanya ketiga-tiga calon Presiden menunjukkan taring dan menonjolkan 'senjata' kempen masing-masing dalam usaha menambat hati rakyat Singapura supaya mengundi mereka sebagai Ketua Negara pada 1 September nanti.

Ketiga-tiga calon itu ialah mantan Ketua Pegawai Pelaburan GIC Ng Kok Song, mantan Menteri Kanan Tharman Shanmugratnam dan mantan Ketua Pegawai Eksekutif NTUC Income Tan Kin Lian.

Pengundi kali pertama dijangka memainkan peranan penting dalam menentukan keputusan Pilihan Raya Presiden 2023 kerana golongan itu membentuk sebahagian ketara daripada jumlah pengundi yang layak.

Maka, apakah yang akan diamati golongan pengundi tersebut dalam Pilihan Raya Presiden ini?

Bagi masyarakat Melayu pula, adakah pola pengundian mereka akan berbeza bagi Pilihan Raya Presiden berbanding Pilihan Raya Umum?

Pakar politik Zamil Kanan dan Penyelaras bagi Program Kajian Sosial & Budaya Serantau di ISEAS - Institut Yusof Ishak, Dr Norshahril Saat, memberi ulasan beliau dalam segmen ANALISIS sempena Hari Penamaan Calon pada Selasa (22 Ogos).

Related article image
SOALAN: Melihat kepada interaksi para calon dengan masyarakat dan kenyataan-kenyataan yang dibuat masing-masing sebelum ini, apa yang boleh dijangkakan daripada mereka semasa tempoh berkempen yang kini sudahpun bermula?

Kita perlu akur bahawa ada calon yang sudah lebih dikenali berbanding dengan yang lain. Misalnya, Encik Tharman Shanmugaratnam, mantan menteri Kabinet. Encik Tan Kin Lian pernah bertanding dalam Pilihan Raya 2011. Encik Ng Kok Song mungkin adalah seorang muka baharu. Justeru, kempen-kempen mereka ini perlu disesuaikan dengan keadaan ini.

Tentu sekali dalam setiap Pilihan Raya, semua calon pasti mahu meyakinkan rakyat. Saya fikir memandangkan Pilihan Raya Presiden bukan Pilihan Raya Umum, justeru, bukan soal dasar. Bukan perbincangan dasar yang menjadi perkara utama.

Saya fikir tiga perkara yang penting. Pertama adalah bagaimana seorang calon Presiden boleh meyakinkan rakyat tentang kebolehan teknikal mereka terutama sekali cara mereka menguruskan rizab negara. Itu yang pertama.

Kedua adalah bagaimana calon-calon meyakinkan rakyat dengan rekod prestasi mereka, dari segi personaliti mereka, kejujuran mereka dan sebagainya.

Yang ketiga yang saya fikir paling penting adalah sentuhan keperibadian mereka sepanjang berkempen. Ini aspek yang paling penting kerana calon-calon perlu mendekati seberapa ramai mungkin rakyat sepanjang kempen ini.

SOALAN: Dalam Pilihan Raya Presiden ini, 2.7 juta rakyat layak mengundi. Hampir separuh daripada mereka adalah pengundi kali pertama. Apa yang mungkin diteliti golongan pengundi muda ini khususnya?

Pandangan saya, pengundi muda ini sama juga dengan pengundi pada umumnya. Mereka tidak mengharapkan presiden yang boleh mengubah dasar-dasar negara kerana itu bukan bidang kuasa seorang presiden, itu bidang kuasa Parlimen dan juga Pemerintah. Presiden di Singapura juga bukan tugasnya untuk menyemak atau mengimbangi pemerintah.

Tentu sekali golongan belia dan pengundi amnya, mereka ada persepsi mereka sendiri lebih daripada apa yang digariskan di dalam perlembagaan tentang tugas-tugas presiden dan perkara ini kita tidak boleh kawal. Jadi ada golongan muda yang mungkin ada cabaran mereka tersendiri, ada aspirasi mereka tersendiri. Golongan ini juga rencam, seperti mana kita tahu. Mungkin dari segi cabaran-cabaran yang mereka hadapi adalah isu-isu pekerjaan. Definisi identiti yang baharu, wacana ekonomi dan wacana politik yang baharu dan berbeza dengan generasi sebelumnya. Justeru, setiap calon presiden perlu menyantuni golongan ini dan perlu memahami aspirasi ini. Walaupun ini di luar bidang kuasa presiden, seorang presiden perlu memahami generasi dan sekitaran yang berbeza ini.

SOALAN: Jadi bagaimana agaknya para calon akan memikat para pengundi muda atau pengundi kali pertama ini?

Saya fikir bahawa yang paling penting bagi setiap calon presiden adalah sentuhan keperibadian mereka. Saya rasa bahawa golongan muda sedang memerhatikan bukan hanya calon-calon presiden tetapi kumpulan yang berdamping dengan calon-calon ini. Apakah golongan yang dekat dengan calon-calon presiden ini mewakili mereka? Apakah mereka boleh membawa idea-idea yang baharu?

Saya lihat mungkin calon-calon yang ada ini lebih cenderung untuk memerhatikan perwakilan kaum sebagai penyetuju atau assentors mereka tetapi kurang memerhatikan tentang sentimen golongan muda. Saya fikir semasa berkempen ini, golongan muda dan golongan belia ini, pengundi pertama ini perlu disantuni dan calon-calon presiden perlu ke hadapan dan memahami apakah sebenarnya aspirasi mereka.

SOALAN: Bagaimana pula mungkin pola pengundian masyarakat Melayu?

Saya lihat bahawa dari segi masyarakat Melayu ini tidak banyak berbeza dengan masyarakat lain. Tentu sekali aspirasi mereka, harapan mereka terhadap seorang calon presiden itu sama. Tentu sekali yang penting adalah calon-calon presiden ini, siapa pun yang menang, mempunyai sifat empati terhadap masyarakat Melayu. Ia bukan sekadar simbol sahaja boleh bercakap Melayu dan sebagainya tapi bersifat yang memahami keadaan mereka. Yang penting adalah bukan soal etnik saja tetapi juga melihat tentang kelas yang berbeza dalam masyarakat.

Seorang presiden bukan sahaja menyatukan kepelbagaian kaum tapi juga bagaimana memerangi jurang perbezaan sosioekonomi dalam masyarakat secara amnya.

SOALAN: Presiden memainkan peranan sebagai tokoh penyatu negara. Setiap presiden itu memperjuangkan isu yang berbeza-beza. Pada pendapat anda, adakah ini boleh menyebabkan sesetengah masyarakat terasa terasing apabila sesuatu isu lebih menonjol daripada yang lain?

Dalam setiap masyarakat moden ini tentu sekali ada pandangan-pandangan yang berbeza, isu-isu yang berbeza dan dalam satu isu yang sama juga, misalnya, dari segi soal keluarga, soal pendidikan, soal perubahan iklim. Kita ada pelbagai golongan dalam masyarakat dan kita hidup dalam satu masyarakat yang rencam.

Presiden itu adalah penyatu dalam satu masyarakat. Seringkali wacananya itu berkisar tentang etnik, tentang perbezaan kaum. Tapi bagaimana Presiden seharusnya mengetengahkan satu model baharu untuk menyatukan isu-isu yang berbeza yang dikongsi oleh setiap masyarakat. Ini mungkin kita lihat dari aspek kelas, dari segi aspek pendidikan dan sebagainya.

Cabaran-cabaran yang dihadapi oleh setiap kaum ada juga cabaran-cabaran yang sama misalnya. Jadi bagaimana seorang presiden itu boleh menemukan aspirasi ini dan memimpin rakyat agar mengurangkan jurang perbezaan dalam rakyat Singapura.
Sumber : BERITA Mediacorp/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita