Skip to main content

Singapura

analisisBERITA: Gencatan senjata Israel-Iran - mampu rintis jalan diplomasi sebenar?

Pertempuran berdarah selama 12 hari antara Israel dengan Iran berakhir dengan satu gencatan senjata yang diusulkan oleh Amerika Syarikat dan berkuat kuasa hampir serta-merta.

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Pertempuran berdarah selama 12 hari antara Israel dengan Iran berakhir dengan satu gencatan senjata yang diusulkan oleh Amerika Syarikat dan berkuat kuasa hampir serta-merta.

Gencatan senjata itu mungkin berjaya menghentikan pertempuran dalam jangka pendek, namun ia kekal rapuh dengan kemungkinan berlakunya serang menyerang antara kedua-dua pihak yang bertelagah.

Persoalannya kini, adakah tempoh jeda yang disaksikan sekarang dapat merintis jalan bagi diplomasi serta meredakan konflik di Timur Tengah?

Sejauh manakah pula kesannya ke atas program nuklear Iran?

SERANGAN KE ATAS IRAN MUNGKIN KUATKAN TEKADNYA MILIKI SENJATA NUKLEAR: PENGAMAT

Operasi 'Rising Lion' yang dilancarkan Israel ke atas Iran sekitar dua minggu lalu menyasarkan kemudahan nuklear, ketenteraan serta kepimpinan tertinggi tentera negara itu.

Apa yang dimulakan Israel, ditamatkan oleh sekutu kuatnya, Amerika Syarikat, apabila ia mengebom kemudahan-kemudahan nuklear utama Iran, dengan tujuan untuk melumpuhkannya.

Serangan kemuncak itu menegaskan pendirian Presiden Amerika Donald Trump bahawa Iran tidak boleh memiliki senjata nuklear sama sekali.

"Serangan yang telah dibuat oleh Amerika Syarikat kepada negara Iran itu melanggar undang undang antarabangsa. Peranan yang telah diambil oleh Presiden Trump telah memburukkan keadaan atau situasi di Timur Tengah. Saya rasa ia telah mempercepatkan lagi hasrat atau iltizam rejim Iran atau pemerintah di Iran untuk memulakan semula program nuklear dan juga untuk mempunyai senjata nuklear."

Demikian menurut pandangan Dr Mustafa Izzuddin, Penganalisis Kanan Ehwal Antarabangsa di firma rundingan dasar dan perniagaan, Solaris Strategies Singapore.

Kejayaan Israel dan Amerika untuk menyerang pelbagai sasaran di Iran menurut para pemerhati Timur Tengah, mendedahkan kelemahan rejim yang sudah sekian lama berkuasa di Tehran.

Lantas, timbul kemungkinan bahawa selain melumpuhkan program nuklear Iran, terdapat juga tujuan untuk memacu perubahan rejim dalam kalangan rakyatnya.

"Saya tidak rasa niat sebenar Presiden Trump adalah untuk menukar rejim Iran. Itu adalah niat sebenar negara Israel. Apa yang dimahukan oleh Presiden Trump adalah untuk menunjukkan pemerintahan di Israel iaitu negara Amerika Syarikat ada bersama dengan negara Israel dalam konflik ini."

Malah, menurut Dr Mustafa, serangan yang dilancarkan oleh Encik Trump perlu turut dilihat dari sudut politik dalam negeri.

"Ada faktor domestik di dalam Amerika Syarikat yang telah menggalakkan Presiden Donald Trump untuk membuat tindakan untuk menyerang negara lain. Faktor domestik itu dikatakan lobi pro-Israel dalam Amerika Syarikat dan ia telah mendorong Presiden Trump untuk bertindak dengan tegas untuk menyerang negara Iran. Sentimen domestik dan faktor domestik itu harus diambil kira untuk untuk memahami keadaan sekarang di Timur Tengah."

PENTING PASTIKAN GENCATA SENJATA KEKAL

Tumpuan dunia kini, kata Dr Mustafa, adalah untuk memastikan gencatan senjata antara Israel dengan Iran berkekalan. Ini memandangkan gangguan kepada laluan penerbangan udara di Timur Tengah serta pelayaran kapal di Selat Hormuz.

Dengan gencatan senjata, ia dapat mengurangkan risiko gangguan bekalan minyak yang boleh menyebabkan harganya di peringkat global menjadi tidak menentu.

"Pada masa sekarang, saya rasa amat penting untuk konflik antara Iran dan Israel tidak dibesar-besarkan lagi untuk memastikan ekonomi global tidak merosot dan juga tidak menjejas harga minyak. Itu akan membawa kesan yang tidak begitu baik kepada negara-negara dan penduduk-penduduk di rantau lain di dunia ini," ujar beliau.

Meskipun kedua-dua Israel dan Iran bersetuju dengan gencatan senjata yang diusulkan Trump, kedua-dua pihak sentiasa bersedia untuk bertindak balas jika berlaku sebarang pencabulan.

Dr Mustafa memilih untuk bersikap optimis, selagi presiden Trump terus memainkan peranannya untuk menekan Israel agar mematuhi gencatan senjata tersebut.

"Amerika Syarikat harus memainkan peranan yang penting untuk menekan negara Israel untuk mematuhi gencatan senjata bukan dengan Iran sahaja, tetapi juga dengan dengan konflik dengan Palestin. Usaha yang harus dibuat oleh negara-negara di dalam Timur Tengah itu amat penting untuk memastikan kestabilan rantau itu."

Dr Mustafa turut berkongsi pandangan, mungkin konflik Israel-Iran dapat memacu langkah untuk menyemak semula kesepakatan sedia ada mengenai kepemilikan tenaga nuklear.

Namun ia perlu penglibatan semua pihak, terutama kuasa-kuasa besar dunia, walaupun dunia kini semakin berpecah.

"Dengan ada gencatan senjata, ada kemungkinan untuk membincangkan tentang program-program nuklear yang mungkin dimahukan oleh negara-negara di Timur Tengah dan juga negara-negara luar Timur Tengah. Ini adalah satu perbincangan yang harus diadakan di tahap global atau di bawah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB)." ungkap Dr Mustafa.

Amerika Syarikat dan Iran dijangka mengadakan rundingan nuklear minggu depan, yang kemungkinan membawa kepada satu kesepakatan baharu.
Sumber : BERITA Mediacorp/FZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita