analisisBERITA: Gejala buli pelajar terus berulang - Apa yang perlu anda tahu

(Gambar: iStock)
Awal minggu ini, sebuah video tersebar di WhatsApp dan Telegram, menunjukkan seorang remaja menyerang seorang murid dari Sekolah Rendah Qihua.
Baru sekitar seminggu sebelum itu, tular di TikTok video insiden buli membabitkan pelajar Sekolah Menengah Bukit View.
Insiden-insiden buli seumpama itu mungkin tidak diketahui umum jika tidak dirakam dan kemudian dikongsi secara online atau media sosial.
Persoalannya, mengapa pembuli merakamkan aksi mereka?
"Mereka melakukannya untuk mendapatkan perhatian lebih luas tentang kekuasaan dan dominasi mereka yang ada. Berbalik kepada sebab mereka melakukan aksi pembulian ini.
"Jadi kalau lebih ramai orang yang dapat melihat, mereka mengharapkan bahawa lebih ramai lagi akan menjadi gerun atau menghormati mereka," jelas Ahli Psikologi Klinikal, Muhammad Haikal Jamil.
"Rakaman yang disimpan juga boleh menjadi satu cara untuk si pembuli meneruskan dominasi ke atas mangsa itu. Mangsa buli itu boleh diancam untuk dimalukan dengan lebih lagi setelah kejadian tersebut.
"Dan/atau mangsa itu boleh diingatkan tentang apa yang pernah terjadi agar dia terus mengikut kehendak si pembuli itu," tambah Pengasas ImPossible Psychological Services itu lagi.
Dengan penggunaan media sosial menjadi sebati dalam kehidupan seharian belia sekarang, pembuli boleh pada bila-bila masa sahaja beralih ke wadah online untuk terus memalukan mangsa.
Para mangsa lazimnya tidak mempunyai sikap bertegas atau keupayaan untuk menyuarakan diri mereka, kata beliau.
"Jadi ini akan terus menggalakkan si pembuli itu untuk terus melakukannya kerana apa yang mereka lakukan tidak ada akibat kepada diri mereka," ujar Encik Haikal.
PEMBULI & MANGSA PUNYA KEYAKINAN DIRI RAPUH
Hakikatnya, video yang sudah menjangkaui khalayak online lebih luas mendatangkan kesan berpanjangan terhadap pembuli sendiri kerana ia mengundang warga maya untuk mengutuk keras tindakan tidak bermoral mereka.
"Selalunya kedua-dua pembuli dan mangsa buli mempunyai keyakinan diri yang agak rapuh. Jadi emosi mereka lebih mudah terjejas oleh sebab insiden ini setelah diungkit oleh lebih ramai orang lagi. Juga, mereka akan rasa lebih mencabar untuk melupakan atau mengatasi kesan-kesan emosi ke atas diri mereka kerana bukti insiden itu akan berkekalan dengan lebih lama.
"Mangsa buli dan pembuli juga mungkin akan mengasingkan diri mereka daripada orang-orang yang terdekat untuk mengelakkan diri mereka daripada merasakan bahawa mereka dihakimi oleh orang luar," kata Encik Haikal.
Hal ini juga, tambah beliau, boleh meningkatkan kemungkinan bahawa kedua-dua mangsa buli dan pembuli mendapatkan keperluan emosi mereka menerusi media sosial yang sebaliknya boleh mendatangkan kesan negatif.
5 KES BULI BAGI SETIAP 1,000 PELAJAR MENENGAH
Menurut Kementerian Pendidikan (MOE), pada 2020, jumlah aduan kes buli yang dibuat kepada sekolah adalah dua daripada setiap 1,000 murid sekolah rendah manakala lima insiden sedemikian bagi setiap 1,000 pelajar sekolah menengah.
Perangkaan itu kekal sama setiap tahun sejak 2013.
Namun, pembulian sebenarnya sukar dipantau lebih-lebih lagi jika ia berlaku di luar persekitaran sekolah.
Ini sebabnya, tegas Encik Haikal, ibu bapa harus menjadi benteng pertahanan pertama terhadap pembulian dengan mengenal pasti tanda-tanda sama ada anak mereka adalah mangsa buli atau pembuli.
MANGSA BULI ATAU PEMBULI - APA SIMPTOMNYA?
"Mangsa-mangsa buli akan menunjukkan simptom-simptom kemurungan atau kebimbangan. Keceriaan mereka akan berkurangan. Mereka akan lebih selesa berdiam diri atau sering kelihatan risau. Dari segi perubahan fizikal, mereka cuba mengelakkan diri mereka daripada pergi ke sekolah," kongsi Encik Haikal.
"Jadi untuk si pembuli itu, bagaimana ibu bapa boleh tahu adalah dengan melihat rakan-rakan mereka. Apakah aktiviti-aktiviti yang dilakukan?
"Juga, boleh melihat cara dia mengatasi masalah. Jadi kalau dia mempunyai masalah (dan) untuk mengatasinya dengan sering berasa marah atau sering impulsif.
"Ini adalah satu satu tanda bahawa mereka itu mempunyai risiko tinggi untuk menjadi seorang yang melakukan perbuatan pembulian ini," tambahnya lagi.
LINDUNGI SAKSI BULI; BENTUK RUANG SELAMAT
Selain itu, Encik Haikal berkata langkah-langkah boleh diambil bagi memperkasakan pelajar yang menjadi saksi kepada insiden buli untuk melaporkannya kepada pihak sekolah.
Beliau menambah pihak sekolah harus memastikan adanya ruang selamat untuk pengadu melaporkan insiden sedemikian agar mereka tidak berasa terancam untuk membuka mulut.
"Guru-guru juga harus menjadi lebih prihatin untuk tidak mengatakan bahawa 'OK, perkara ini terjadi kerana budak ini yang mengadu' kerana kalau mereka membuat penyiasatan ini dan murid-murid yang membuat laporan ini juga terlibat.
"Mereka akan rasa diri mereka tidak selamat. Jadi apabila menjalani penyiasatan ini, murid-murid harus dijauhkan dan juga identiti mereka juga tidak boleh diberitahu," nasihat Encik Haikal.
TINDAKAN SEKOLAH TERHADAP PEMBULI
MOE menyatakan apabila aduan dibuat mengenai dakwaan kes buli, sekolah akan menjalankan siasatan dan tindakan disiplin yang dikenakan termasuklah arahan kerja pembetulan hinggalah digantung dari sekolah.
Sekalipun dasar-dasar antipembulian serta antipembulian siber dilaksanakan di sekolah-sekolah, Encik Haikal berpendapat usaha pencegahan harus lebih tertumpu kepada pelajar yang dikenal pasti sebagai berisiko tinggi menjadi seorang pembuli.
"Ini termasuk mereka yang mempunyai sifat impulsif. Mereka yang pernah menjadi mangsa buli, mereka yang kurang mendapat perhatian di rumah," Encik Haikal memberi contoh.
"Saya menekankan bahawa mendapatkan sokongan profesional dan kaunseling adalah penting. Kita tidak boleh hanya mengenakan tindakan disiplin kepada mereka. Lepas itu, kita tidak melakukan apa apa.
"Jadi dengan sokongan profesional, si pembuli boleh mempelajari cara-cara untuk mendapat keperluan emosi mereka dengan cara yang lebih sihat.
"Ini termasuk mengubah cara pemikiran mereka dan belajar untuk menyalurkan kemarahan mereka kepada cara yang tidak memudaratkan," ungkapnya lanjut.
Encik Haikal berkata dalam jangka masa panjang, pembuli memerlukan sokongan emosi serta psikologi untuk mengisi kekosongan yang lazimnya mereka rasai dan di sinilah pelibatan keluarga menjadi lebih penting lagi.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.