Skip to main content

Singapura

analisisBERITA: Gaya kepimpinan Dr Faishal Ibrahim ibarat 'Jokowi Singapura'?

Diam tak diam, pada Ahad (31 Ogos), genap 100 hari Dr Muhammad Faishal Ibrahim memangku jawatan Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam.

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Diam tak diam, pada Ahad (31 Ogos), genap 100 hari Dr Muhammad Faishal Ibrahim memangku jawatan Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam.

Baru-baru ini, beliau sudahpun mengumumkan akan mewujudkan sebuah rangkaian baharu demi mengadakan kerjasama lebih dinamik antara badan-badan Melayu/Islam (MMO) dengan badan-badan India Muslim (IMO) dan kumpulan-kumpulan 'tidak formal'.

Dr Faishal juga mengekalkan lima bidang tumpuan atau 'Focus Area' sedia ada bagi para penjawat politik Melayu/Islam - petanda ada kesinambungan dalam bidang seperti keluarga, pendidikan, daya kerja dan belia.

Jadi, berdasarkan apa yang sudah beliau pamerkan dan tunjukkan kepada awam sejauh ini, sebenarnya apakah gaya kepimpinan dan pendekatan unik Dr Faishal?

GAYA KEPIMPINAN & PENDEKATAN UNIK DR FAISHAL

Dalam ulasannya kepada BERITA Mediacorp, pakar politik tempatan Dr Norshahril Saat berkata sebagai seorang Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Dr Faishal mempunyai gaya kepimpinan dan kekuatannya yang tersendiri.

"Beliau ini amat kerap turun ke padang, berjumpa dengan rakyat biasa tanpa membuat apa-apa pengisytiharan. Beliau bukan sahaja hadir di acara-acara besar, di mana beliau menjadi tetamu terhormat tetapi beliau juga turun padang mendapatkan maklum balas. Ini gaya kepimpinan beliau yang sebati dengan beliau, " kata Dr Norshahril.

Menurut Zamil Kanan ISEAS-Institut Yusof Ishak itu, Dr Faishal sudah lama mengamalkan gaya kepimpinan seumpama itu, malah sebelum dilantik sebagai menteri lagi.

"Kalau kita hendak buat perbandingan dengan tokoh politik yang amat dekat dan menggunakan strategi yang sama.

"Saya bandingkan beliau sebagai 'Jokowi Singapura'. Presiden Jokowi suatu ketika dahulu, apabila dia mahu mendekati masyarakat, dia dikenali sebagai seorang yang mengamalkan blusukan - turun ke padang tanpa membuat apa-apa pengumuman dan ingin mendapatkan maklum balas daripada suara hati rakyat secara langsung. Jadi, saya lihat gaya kepimpinan itu serupa dengan beliau," katanya.

PERUBAHAN DIJANGKAKAN, APA PULA KELAINANNYA?

Sememangnya sejak mengangkat sumpah jawatan pada 23 Mei lalu, Dr Faishal cukup giat turun padang untuk bertemu dengan pelbagai lapisan masyarakat di merata Singapura - sama ada di masjid-masjid, kawasan kejiranan mahupun semasa acara kemasyarakatan.

Dr Norshahril akur bahawa proses mendapatkan maklum balas orang ramai memang memakan masa.

Namun beliau percaya berdasarkan pengumuman yang dibuat sejauh ini, akan ada perubahan ketara yang akan dilakukan.

Hakikatnya, apa lagi kelainan yang boleh dijangkakan masyarakat daripada Dr Faishal? Ini pandangan Dr Norshahril:

"Mungkin sejauh ini, fokus kepada masyarakat Melayu itu tetap sama. Sosiobudaya itu menjadi satu teras yang mungkin kita lihat dikesampingkan. Tetapi kalau kita lihat sebelum ini, penekanan diberikan kepada aspek sosioagama dan juga sosioekonomi, dan ini termasuk dalam aspek pendidikan."

Tetapi kalau kita lihat sebagai satu 'DNA' dalam masyarakat Melayu/Islam, kata Dr Norshahril, sosiobudaya dan warisan juga menjadi satu perkara yang penting.

Seni juga satu perkara yang penting bagi masyarakat Melayu, tambah beliau.

"Justeru, kita lihat bahawa mungkin dari segi apa isyarat yang beliau ingin berikan sepanjang tempoh 100 hari ini, kita lihat bahawa mungkin akan ada semacam perubahan dan pengiktirafan dalam aspek tersebut.

"Dan bagaimana aspek tersebut akan dikembangkan lagi untuk memastikan bahawa aspek yang selama ini dikesampingkan itu memberikan satu kebaikan kepada masyarakat Melayu/Islam di Singapura," ujar Dr Norshahril lagi.

CABARAN BAHARU YANG AKAN DR FAISHAL HADAPI

Dr Faishal diangkat memimpin masyarakat Melayu/Islam di tengah-tengah pelbagai cabaran tempatan dan global.

Ini termasuk kegenjotan politik dan ekonomi global, krisis Israel-Hamas yang semakin memuncak, krisis bahaya online yang membimbangkan, serta isu vape dan etomidate yang memprihatinkan.

Bagi Dr Faishal dan para pemimpin Melayu/Islam lain pula, antara cabaran-cabaran baharu yang perlu mereka tangani, menurut Dr Norshahril, termasuklah merapatkan jurang antara kelas pertengahan dan bawahan.

"Kita lihat bahawa kelas menengah dalam masyarakat Singapura itu sedang membangun. Tetapi dalam masa yang sama, kelas bawahan, iaitu kelas yang mungkin dilihat sebagai golongan yang masih memerlukan, juga masih wujud dalam kalangan masyarakat Melayu.

"Jadi bagaimana kita ingin menjalinkan kekuatan kita dalam mengurangkan lagi jurang di antara kedua-dua golongan ini?", ulas Dr Norshahril.

Namun demikian, isu-isu domestik juga, tambah beliau, bukan satu-satunya yang menjadi tumpuan masyarakat Melayu/Islam tempatan.

Terang Dr Norshahril lanjut: "Kalau kita lihat aspek global, apa yang berlaku di Timur Tengah, cabaran-cabaran yang dihadapi di sudut ekonomi global dan sebagainya juga akan memberikan kesan kepada masyarakat Melayu.

"Jadi politik dan juga keprihatinan masyarakat itu tidak hanya tertumpu pada isu-isu masyarakat Melayu sahaja, tetapi juga isu-isu nasional dan global.

"Ini mungkin akan disempitkan lagi kerana kita ada wadah-wadah yang sebelum ini mungkin tidak diberi perhatian iaitu wadah media sosial. Wadah-wadah baharu yang mungkin menyebabkan cara kita berkomunikasi juga mengalami perubahan."

Yang pasti, kata Dr Norshahril, cara seseorang pemimpin itu berkomunikasi dan mendekati masyarakat juga harus mengikut perkembangan semasa.
Sumber : BERITA Mediacorp/AI/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita