Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

analisisBERITA: Gaji asatizah SG akan disemak tahun ini tapi berapakah gaji bulanan yang wajar?

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Para asatizah lulusan universiti yang bekerja di masjid dan madrasah seharusnya menerima gaji sekurang-kurangnya $3,000 sebulan.

Ini menurut saranan Anggota Parlimen Dilantik yang juga Naib Presiden NTUC, Abdul Samad Abdul Wahab, berikutan pengumuman bahawa Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) akan melaksanakan Garis Panduan Gaji Umum Asatizah (CSG) secara berperingkat mulai tahun ini.

Di Singapura kini, ada lebih 5,000 asatizah yang bertugas dalam sektor keagamaan.

Sekitar 2,700 daripada mereka adalah siswazah, dengan lebih 320 daripada mereka bekerja di madrasah dan masjid. 62 peratus daripada golongan asatizah yang bertugas di madrasah dan masjid itu menerima gaji antara $2,000 hingga $3,000 sebulan.

Peratusan perangkaan itu didedahkan Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam Masagos Zulkifli baru-baru ini dalam jawapannya kepada soalan parlimen yang diajukan oleh Encik Abdul Samad.
Jika dibandingkan dengan para siswazah daripada universiti-universiti tempatan, jelas ada jurang gaji yang ketara.

Menurut Tinjauan Bersama Pekerjaan Siswazah Universiti Berautonomi 2022 - oleh Universiti Nasional Singapura (NUS), Unversiti Teknologi Nanyang (NTU), Universiti Pengurusan Singapura (SMU) dan Universiti Sains Kemasyarakatan Singapura (SUSS)- gaji median kasar bulanan siswazah baru jurusan Kemanusiaan dan Sains Kemasyarakatan yang bekerja tetap sepenuh masa pada tahun lalu adalah $3,800.

"MESTI BERMULA DENGAN $3,000", SARAN NMP ABDUL SAMAD

Namun, hanya 7 peratus asatizah berijazah yang bekerja di madrasah dan masjid meraih gaji setara iaitu lebih $4,000 sebulan.

30 peratus daripada golongan itu pula berpendapatan antara $3,000 hingga $4,000 sebulan, manakala hanya 2 peratus membawa pulang gaji kurang $2,000.
Perangkaan itu, bagaimanapun, tidak menyatakan tempoh perkhidmatan para asatizah tersebut atau sekiranya mereka merupakan siswazah baru.

Jadi, berapakah gaji yang memadai untuk mereka, mengikut pasaran sekarang?

"Kalau anda tanya saya, sekurang-kurangnya mesti bermula dengan $3,000 (untuk) lulusan ijazah. Kalau sekarang siswazah biasa dapat dalam $2,000 lebih, $2,600, takkanlah balik pulang (dari luar negara), lulusan universiti dapat $2,000 hingga $3,000? Kita perlu berfikir kenapa sebabnya mereka dibayar gaji yang sedemikian? Saya rasa ini yang menjadi punca kenapa mereka mengeluh kesah," ujar Encik Abdul Samad.

Isu gaji asatizah tempatan diakui dan usaha untuk menyelaraskannya dengan kadar pasaran sudah diutarakan sekurang-kurangnya tiga tahun lalu.

Pada 2020, Jawatankuasa Asatizah Masa Depan (COFA) membentangkan garis panduan bagi gaji serta peningkatan faedah untuk asatizah yang bekerja di institusi-institusi utama termasuk madrasah dan masjid.

Tahun lalu, Encik Masagos mengumumkan Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) akan bekerjasama dengan institusi madrasah dan masjid untuk melaksanakan Garis Panduan Gaji Umum (CSG) Asatizah.

Menurut Encik Masagos, penyelarasan gaji itu akan berlandaskan sistem berdasarkan prestasi asatizah di tempat kerja mereka.

Dalam satu kemas kini di Parlimen pada minggu lalu, beliau berkata MUIS akan melaksanakan CSG Asatizah itu secara berperingkat mulai tahun ini.

MUIS, PERGAS PERLU TELUS JUMLAH ASATIZAH DIPERLUKAN SETIAP TAHUN

Mengapa boleh wujud jurang pendapatan sedemikian?

"Apakah sebabnya tidak boleh dibayar? Apakah kekurangan dana? Ataupun dari segi kecekapannya tidak membiarkan mereka berkelayakan untuk mendapat gaji sebenar?," soal Encik Abdul Samad.

Menurut beliau, keadaan bekalan dan permintaan asatizah di pasaran semasa juga mungkin antara faktor yang mempengaruhi pendapatan.

Mentelah dengan penempatan kerjaya yang agak terhad bagi golongan asatizah, di mana khidmat mereka diperlukan khusus di masjid dan madrasah selain badan-badan Islam lain.

Maka itu, beliau berkata adalah penting bagi MUIS dan PERGAS bersikap telus dengan masyarakat tentang jumlah asatizah yang diperlukan setiap tahun agar ibu bapa serta para penuntut bidang keagamaan sedia maklum dan boleh menyesuaikan jangkaan mereka.

"PERGAS dan MUIS harus duduk bersama dan berterus terang, sama juga macam pemerintah membuat penilaian, satu tahun perlu berapa ratus jurutera, perlu berapa ratus doktor dan sini kita harus berterus terang."

Berdasarkan Kajian Perancangan Tenaga Manusia Asatizah (AMPS) MUIS yang dijalankan pada 2021, sekitar 350 asatizah baru diperlukan sepanjang tempoh lima tahun ini, atau puratanya, 70 asatizah baru setiap tahun.

"Kalau bekalan kita kurang, ia adalah pasaran pekerja. Saya boleh meletakkan harga saya. Tapi kalau dah terlalu ramai di luar sana, maka ia sudah menjadi pasaran majikan. Masjid akan dapat hanya memberi gaji setakat kemampuan dana mereka," jelasnya.

BUKAN 'MASALAH' PIHAK TERTENTU SEMATA

Encik Abdul Samad bagaimanapun berkata langkah untuk melaksanakan kenaikan gaji asatizah perlu melibatkan usaha seluruh masyarakat dan bukannya terletak di pundak mana-mana pihak tertentu.

Pertama sekali, kata beliau, masyarakat harus mengubah minda dalam cara mereka memberikan nilai sewajarnya kepada bakat ukhrawi.

Ini memandangkan yuran dibayar juga mengalir sebagai antara sumber yang membentuk gaji asatizah.

"Kita tidak boleh sesuka hati sebut ajar agama kena ikhlas. Ini minda masyarakat harus berubah. Ikhlas tidak bererti tidak ada nilai ya. Madrasah yang ada itu, yang menggajikan asatizah, ataupun masjid, berapa sebagai ibu bapa kita mampu bayar? Kadang-kadang kita pergi konsert boleh bayar $200 tapi tuntut ilmu, kita mengira.Tetapi pucuk pangkalnya, berapa banyakkah yang masjid mampu membayar mereka dan kekuatan dana sesuatu badan itu penting."

Keupayaan pendanaan itu kemudian berbalik kepada sumbangan derma masyarakat selain daripada saluran rasmi menerusi MUIS.

Di sini, kata Encik Abdul Samad, pertubuhan-pertubuhan Melayu/Islam harus memikirkan bagaimana ia boleh memainkan peranan untuk membantu 'menokok' gaji asatizah.

"Kita mendengar terlalu banyak sekali skim-skim dana yang ada yang dibuat oleh badan-badan Islam. Jadi di manakah masyarakat Islam dapat membantu supaya kita dapat memastikan asatizah kembali dengan gaji yang setimpal. Sekiranya gaji mereka nak dinaikkan, harus mengikuti kursus, meningkatkan kemahiran mereka, itu semua kerja kesatuan," ungkapnya.

Pokoknya, jangkaan gaji yang diletakkan harus juga seiring dengan kemahiran dan keupayaan setiap asatizah.

"Kalau kata asatizah gaji boleh $4,000 harus ada kemahiran A, B, C, D, maka kita bentangkan dari awal sebelum awak keluar negeri mencari ijazah, inilah harus ada, inilah gaji yang ada. Jadi anak itu yang pergi ke luar negara untuk belajar, dia tahu apakah kerjaya yang menantinya apabila dia pulang," katanya lanjut.

Walaupun akan melaksanakan Garis Panduan Gaji Umum Asatizah (CSG) mulai tahun ini, MUIS belum membayangkan berapa banyak gaji asatizah akan dinaikkan.
Sumber : BERITA Mediacorp/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan